Diskusi menarik, penceramah berwibawa mantapkan Forum Media Kebangsaan 2016
Perbincangan empat topik menarik disampaikan belasan penceramah berwibawa terdiri daripada tokoh-tokoh dunia akademik dan para pengarang kanan media Malaysia di Forum Media Kebangsaan 2016 yang berlansung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 28 September lalu berjaya memantapkan lagi kandungan program tersebut dan mencapai matlamatnya.
Ia diakui oleh lebih tujuh puluh pemimpin editorial, wartawan dan ahli akademik dalam bidang komunikasi, media dan kewartawanan yang hadir sebagai peserta. Rata-rata mereka bersetuju nama-nama besar dunia akademik dan kewartawanan yang hadir sebagai ahli panel dan moderator berjaya menghidupkan perbincangan tiap sesi forum apatah lagi topik-topik yang dipilih amat relevan dengan situasi semasa kewartawanan dan media di negara ini.
Wacana ilmu ini kali ketiga dianjurkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Institut Pengajian Kewartawanan (IJS), UiTM sejak dimulakan pada 2014. Bertemakan Halatuju dan Masa Depan Kewartawanan Malaysia, perbincangan forum kali ini bertumpu kepada empat isu utama iaitu peranan media dalam amalan demokrasi dan hubungan etnik di Malaysia, kesesuaian akta dan undang-undang negara mengenai media pada masa kini, mendepani cabaran dan agenda media antarabangsa dan penilaian semula pengajian kewartawanan di Malaysia.
Antara tokoh akademik, peneraju editorial dan ilmuwan kewartawanan yang hadir dan mengambil bahagian dalam forum ini termasuklah Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM; Prof. Dr. Faridah Ibrahim, Dekan, Fakulti Sastera, Komunikasi & Pendidikan (FACE), Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur dan Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Eksekutif Editor Berita, Rencana dan Digital, Berita Harian yang membentangkan tajuk sesi pertama “Media, Demokrasi dan Hubungan Etnik di Malaysia”.
Sesi kedua, ahli panel terdiri daripada Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan, USM; Aat Surya Safaat, Ketua Pengarang ANTARA, Jakarta dan Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli, Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan (IJS), UiTM membincangkan tajuk “Mendepani Cabaran dan Agenda Media Antarabangsa”.
Sebelah petang, sesi ketiga bertajuk “Media, Undang-Undang dan Negara” dibincangkan oleh Ahmad Hamid Abdul Murad, Peguam Syarie mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM); Dr. Mohd Safar Hasim, Mantan Felo Utama, Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS), UKM dan Datuk Abdul Jalil Ali, Penasihat Eksekutif Editorial, Kumpulan Media Karangkraf.
Forum kian hangat pada sesi akhir mengenai “Pengajian Kewartawanan di Malaysia : Satu Penilaian Semula” dibentangkan oleh Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican dari Pusat Penyelidikan Polisi dan Antarabangsa (CenPRIS), USM dan Dato’ Mustapa Omar, Pengarang Kumpulan, Harian Metro serta dipengerusikan oleh Dato’ Mohd. Zaini Hassan, Penolong Ketua Pengarang 1, Kumpulan Utusan sebagai moderator.
Pengarah IJS, Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli menutup majlis forum dengan mengusulkan beberapa rumusan daripada kesemua sesi tersebut, iaitu ;
- Secara keseluruhannya, peranan media arus perdana dalam mengenengahkan isu perpaduan antara etnik masih belum mencapai tahap memuaskan. Jika dibandingkan dengan media sosial yang lebih berani, media arus perdana seharusnya lebih peka dan bekerja lebih keras dalam usaha mengekalkan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk Malaysia tanpa meninggalkan aspek komunikasi pembangunan.
- Dalam mendepani cabaran dan agenda media antarabangsa, pertama sekali negara perlu menerima hakikat bahawa kedua-duanya telah wujud sejak dulu lagi. Cabaran masa kini jauh lebih hebat di mana negara perlu bersiap sedia dengan strategi baru khususnya yang melibatkan maklumat. Apatah lagi isu-isu yang diketengahkan oleh media barat yang ditunjangi oleh agenda Zionisme seperti hak asasi manusia dan kebebasan akhbar, pemisahan agama dan negara dan pasaran ekonomi bebas memerlukan media menjiwai aspirasi negara supaya dapat menangkis agenda dan pengaruh negatif daripada laporan berita media antarabangsa.
- Walaupun telah ada usaha yang digerakkan untuk menilai semula undang-undang berkaitan media yang sedia ada namun semua pihak sama ada media arus perdana dan media baharu masih belum terlepas dari tindakan mengikut akta-akta yang tersedia ada. Di sinilah letaknya kematangan dan kebijaksanaan pengamal media dalam menyiar dan menyebar luaskan berita-berita berasaskan kebenaran.
- Kupasan sesi pengajian kewartawanan di Malaysia memperlihatkan asakan-asakan semasa terutama yang dibawa oleh perkembangan teknologi menunjukkan bidang pengajian ini perlukan perubahan. Tiba masanya perspektif pengajian kewartawanan bukan hanya melibatkan aspek teknikal atau kemahiran tetapi juga melibatkan perspektif yang bersifat holistik seperti epistemologi dan sosiologi kewartawanan serta penerapan kursus yang bersifat “world views” kepada pelajar. Begitu juga, pengajian kewartawanan perlu menjuarai “Graduate School of Journalism” nya sendiri demi memartabatkan lagi ilmu kewartawanan di dalam negara mahupun di luar seperti ASEAN.
Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya dalam ucapannya pada awal majlis memaklumkan program Forum Media Kebangsaan ini akan diperluaskan penganjurannya ke seluruh negara menerusi kerjasama dengan pusat-pusat pengajian kewartawanan, media serta komunikasi universiti awam lain pada masa akan datang.
“Pada tahun depan mungkin kita akan mengadakan forum ini di Universiti Sains Malaysia (USM) dan kemudian ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) agar kita dapat menarik pandangan baharu untuk membincangkan isu kewartawanan. Langkah ini dapat memastikan program ini benar-benar bertaraf kebangsaan dalam erti kata ia akan bergerak ke segenap pelosok tanah air dan diharap hasil daripada forum ini, ia dapat memberikan pandangan untuk mengusulkan penambahbaikan dalam bidang media dan kewartawanan kepada pihak kerajaan,” ujar beliau.
Beliau turut menambah, penganjuran forum pada tahun ini juga lebih istimewa kerana diadakan bersempena ulang tahun ke-50 MPI yang ditubuhkan pada tarikh yang sama, 28 September pada 1966. Selain forum, Pameran 50 Tahun Penubuhan MPI yang memaparkan dokumen, keratan akhbar dan foto penting berkaitan MPI turut diadakan.
FOTO-FOTO SEKITAR FORUM :
Para peserta wartawan dan pensyarah komunikasi ketika sesi pendaftaran.
Atas & bawah : Peserta memberi tumpuan ketika sesi forum berlangsung.
Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI menyampaikan ucapan aluan sebelum forum.
Ahli panel sesi pertama “Media, Demokrasi dan Hubungan Etnik di Malaysia” terdiri daripada Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM (kiri) dan Prof. Dr. Faridah Ibrahim, Dekan Fakulti Sastera, Komunikasi & Pendidikan (FACE), IUKL manakala Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Eksekutif Editor Berita, Rencana dan Digital, Berita Harian (tengah) selaku moderator.
Mohd. Azri Atan, Pengurus Perkhidmatan Editorial Editorial TV3 (paling kanan) yang juga salah seorang Ahli Majlis Pentadbir MPI menyampaikan cenderahati kepada ahli panel dan moderator sesi pertama.
Foto grup, dari kiri : Aat Surya Safaat (ANTARA, Jakarta), Mohd. Azri Atan (TV3/MPI), Foo Tick Fat (Nanyang/MPI), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin (Institut Kajian Etnik – KITA), Ahmad Zaini Kamaruzzaman (Berita Harian), Datuk Dr. Chamil Wariya (MPI), T. Selva (Star/MPI), Prof. Dr. Faridah Ibrahim (IUKL), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican (CenPRIS, USM), Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein (USM), Datuk Abdul Jalil Ali (Karangkraf) dan Prof. Madya Dr. Mohd. Yahya Ariffin (USIM).
Sesi kedua “Mendepani Cabaran dan Agenda Media Asing” dibentang oleh Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein,Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan, USM (kiri) dan Bapak Aat Surya Safaat, Ketua Pengarang ANTARA, Jakarta (kanan) dan dipengerusikan oleh Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli, Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan (IJS), UiTM.
Foo Tick Fat, Pengarang Berita, Nanyang Siang Pau (kanan) yang juga merupakan Ahli Majlis Pentadbir MPI menyampaikan cenderahati kepada tiap ahli panel dan moderator sesi kedua.
Ahli panel sesi ketiga “Media, Undang-Undang dan Negara” terdiri daripada Dr. Mohd Safar Hasim, Mantan Felo Utama, Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS) (kiri), Ahmad Hamid Abdul Marican, Peguam Syarie, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSiM) (kanan) dan Datuk Abdul Jalil Ali, Penasihat Eksekutif Editorial, Kumpulan Media Karangkraf sebagai moderator.
T. Selva, Pengarang Perunding Kanan, The Star yang juga merupakan Ahli Majlis Pentadbir MPI menyampaikan cederahati kepada ahli panel dan moderator sesi ketiga.
Sesi terakhir “Pengajian Kewartawanan di Malaysia : Satu Penilaian Semula” mendapat respon sangat baik dari kalangan peserta, disampaikan oleh Dato’ Mustapa Omar, Pengarang Kumpulan, Harian Metro dan Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican dari Pusat Penyelidikan Polisi dan Antarabangsa (CenPRIS), USM dan dipengerusikan oleh Dato’ Mohd. Zaini Hassan, Penolong Ketua Pengarang 1, Kumpulan Utusan selaku moderator.
Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli, Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan (IJS), UiTM membentang rumusan sebelum forum berakhir.
Antara peserta yang aktif menyertai perbincangan forum ; 1. Dr. G. Manimaran (mantan wartawan Utusan), 2. Khairdzir Md Yunus (BERNAMA), 3. Nor Azzura Azizul Azman (IUKL) dan 4. Prof. Madya Dr. Mohd. Yahya Mohamed Ariffin (USIM).
3)Antara pensyarah jabatan komunikasi universiti yang turut hadir menyertai forum; 1. Dr. Akmar Hayati (Universiti Putra Malaysia) dan Azahar Kasim (Universiti Utara Malaysia). 2. Dr. Nik Norma Nik Hasan (Universiti Sains Malaysia). 3. Dr. Hamisah Zaharah Hasan (Universiti Putra Malaysia).
3.1,2,& 3 : Suasana santai dan ramah mesra ketika forum berehat sebentar dengan hidangan jamuan ringan.
Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI memotong pulut kuning sebagai simbolik meraikan ulangtahun ke-50 MPI. Turut menyaksikan, dari kiri ; Mohd. Azri Atan (TV3/MPI), T. Selva (Star/MPI), Aat Surya Safaat (ANTARA, Jakarta), Dr. Mohd. Safar Hasim (IKMAS, UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin (Institut Kajian Etnik – KITA), Datuk Abdul Jalil Ali (Karangkraf), Foo Tick Fat (Nanyang/MPI) dan Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein (USM).
Datuk Dr. Chamil Wariya (kiri) memberi penerangan ringkas kepada tetamu dan anggota panel yang melawat pameran gambar MPI sempena ulangtahun ke-50 di majlis forum ini.
3)Para pemberita tidak melepaskan peluang menemuramah : 1. Datuk Dr. Chamil, 2. Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican dan 3. Prof. Dr. Azmuddin Ibrahim (UNISEL) selepas majlis forum berakhir.