Kursus
DOKUMENKAN KISAH HIDUP SENDIRI DALAM SEBUAH BENTUK BUKU

DOKUMENKAN KISAH HIDUP SENDIRI DALAM SEBUAH BENTUK BUKU

Disediakan oleh: Shahirah Shukor

Penganjuran Bengkel Penulisan Kisah Hidup yang telah dianjurkan pada 22 – 23 Februari yang lalu memperlihatkan perbezaan tema latihan yang dibawakan oleh Unit Latihan MPI.

Dikendalikan oleh Sri Diah Shaharuddin, Pengasas Uniknya Inspirasi Kisah Hidup (UniKH), Pembimbing Penulisan Kerjaya dan pemegang Certified Trainer HRD Corp menyatakan terdapat banyak elemen emosi dan penceritaan tentang memori manis, pahit, gelap dan sebagainya memerlukan sentuhan magis penulis dalam menyusun karya kisah hidup.

Menurut penceramah, penulis mestilah mengekalkan keindahan keseluruhan karya atau ‘value’ cerita tersebut tanpa perlu membongkarkan aib seseorang secara terperinci walaupun itulah realiti kehidupan yang pernah dilalui penulis.

Beliau juga menasihatkan peserta supaya meletakkan sasaran mengikut perenggan, minimum halaman muka surat, jumlah patah perkataan dan keperluan adanya tarikh akhir untuk mempastikan setiap bab dapat disiapkan.

Bagi mengekalkan idea ketika sedang menulis, penceramah menasihatkan peserta untuk mengabaikan setiap kesalahan ejaan atau teknikal ketika menulis yang mungkin akan mengganggu idea keseluruhan penulis ketika itu. Mereka diminta menetapkan satu hari sebagai hari “editing” atau penyuntingan bertujuan sebagai hari semakan menyeluruh tentang karya yang dihasilkan.

Di akhir kursus, tiga orang peserta daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengakui pengalaman luas tenaga pengajar sangat membantu mereka mendapatkan idea-idea baharu, kepentingan penyusunan tema dan plot dalam menjentik emosi pembaca untuk kekal membaca dengan menggunakan teknik dan taktik yang diajar selama berkursus dapat membantu mereka dalam penyediaan projek tiga buah buku Sasterawan Negara terbitan DBP.

1. Sri Diah Shaharuddin, berkongsi teknik dan taktik dalam penulisan buku kisah hidup
2. Haslina meneliti karya kisah hidup yang dihasilkan oleh peserta hasil bimbingan penceramah.
3. Aksi Saiful ketika bertanyakan beberapa soalan kepada penceramah.
4. Template kenangan Haslina menggunakan ‘google keep’ memberikan beliau idea untuk menerbitkan kisah hidupnya.
5. Shahrun (tengah) berkongsi hasil ’20 kenangan’ yang dibuat beliau kepada rakan-rakan yang lain.
6. Penulis DBP : Haslina, Saifullizan dan Shahrun Nizal bergambar kenangan dengan penceramah, Sri Diah Shaharuddin.