MPI release
Dua prasyarat untuk media berunding dengan gergasi teknologi

Dua prasyarat untuk media berunding dengan gergasi teknologi

Pautan asal ucapan: Dua prasyarat untuk media berunding dengan gergasi teknologi – VOA Media Network (home.blog)

Ucapan Pengerusi Malaysian Press Institute, Datuk Dr. Chamil Wariya, pada majlis penutup Forum Media Nasional 2023 di Hotel Aloft, KL Sentral pada 25 Julai 2023, jam 12.15 tengah hari.

Alhamdulilah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan inzinNya, kita tiba di penghujung Forum Media Nasional 2023 sebentar lagi. Majlis penutupan secara rasmi akan disempurnakan oleh Yang Berusaha, Puan Mastura Ahmad Mustafa, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD). Terima kasih Puan Mastura.

Saya juga merakamkan penghargaan saya kepada para moderator, barisan ahli panel dan para peserta yang telah menjayakan forum ini.

Bagi tahun ini, tema yang telah dipilih untuk Forum Media Kebangsaan ini memberi fokus kepada kemampanan media atau media sustainability dalam konteks apa yang boleh kita pelajari dari negara-negara luar dalam upaya untuk mendapatkan pampasan yang adil dan setimpal daripada para gergasi teknologi apabila kandungan kewartawanan tempatan yang kita hasilkan digunakan oleh pelbagai platform media sosial mereka.

Hal ini kerana pelbagai produk kewartawanan kita digunakan secara percuma oleh mereka untuk disajikan dalam Google, Facebook, TikTok dan lain-lain dan melalui penggunaannya, mereka menjana pendapatan yang agak lumayan. Mereka tidak membayar apa-apa kepada organisasi media kita.

Justeru untuk memahamkan kita tentang apa yang berlaku di Australia, Indonesia, Kanada dan tempat lain di dunia ini, kita telah mengundang empat orang ahli panel mewakili negara-negara tersebut.

Dalam sesi kedua forum ini tadi, kita telah mendengar dengan panjang lebar penjelasan oleh Tuan Yang Terutama, Mr. Wayne Robson, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia mengenai perkembangan terbaharu di negara tersebut berikutan keputusan Parlimen Kanada meluluskan The Online News Act yang mewajibkan gergasi teknologi atau big tech membayar kandungan tempatan yang ia gunakan.

Kita juga mendengar penerangan Mr. Nelson Yap mengenai hasil pengenalan The News Media Bargaining Code di Australia yang memberi manfaat kepada bukan sahaja organisasi media besar, tetapi kecil.

Kita juga diberitahu oleh Bapak Agus Sudibyo bahawa di Indonesia kerangka perundangan untuk membolehkan industri media di negara itu mendapat bayaran bagi kandungan tempatan yang digunakan oleh big tech berkemungkinan diluluskan melalui perintah presiden atau presidential decree pada 17 Ogos nanti – sempena hari kemerdekaan Republik Indonesia.

Perkembangan yang berlaku di kawasan lain di dunia terutama di benua Afrika, Amerika Selatan, Eropah pula diceritakan oleh Helena Rea, yang baru-baru ini menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Big Tech and Journalism di Johannesburg, Afrika Selatan.

Di Malaysia, kerajaan telah menyatakan kesediaannya untuk memperkenalkan kerangka perundangan yang diperlukan untuk membantu media tempatan berunding dengan big tech bagi mendapakan bayaran pampasan yang setimpal dan adil bagi kandungan tempatan yang digunakan dalam pelbagai platform sosial media masing-masing.

Dalam sesi pertama forum tadi yang menampilkan empat orang wartawan yang telah mengusahakan portal berita masing-masing, kita telah mendengar bisnes model baharu perniagaan media pada era digital sekarang ini. DagangNews, UtusanTV, Kosmpolitan.com dan Vanakam.com masing-masing sedang berusaha untuk membina tapak perniagaan yang mampan untuk bisnes media masing-masing setelah berlaku revolusi digital. Moga mereka berjaya.

Setelah mendengar perbincangan-perbincangan tadi, saya merumuskan ada dua prasyarat penting untuk kita melangkahkan ke hadapan bagi mendapatkan pampasan yang adil dan setimpal daripada gergasi teknologi bagi penggunaan kandungan tempatan.

Pertama, solidariti industri media itu sendiri. Yang besar mungkin lebih mudah untuk berunding. Tetapi organisasi media yang kecil juga boleh mendapatkan bahagian mereka sekiranya mereka bersatu di bawah sebuah persatuan seperti yang berlaku di Australia melalui Public Interest Publishers Alliance atau PIPA.

Kedua, tekad politik atau political will pada pihak kerajaan juga penting. Ini boleh dilakukan dengan mewujudkan kerangka perundangan untuk memudahkan perundingan diadakan antara media tempatan dengan gergasi teknologi itu. Australia dan Kanada serta tidak lama lagi, Indonesia telah menunjukkan jalannya. Kita boleh menirunya tetapi disesuaikan dengan dinamika tempatan di Malaysia tentunya. Yang penting kerajaan berkewajipan untuk melindungi industri media tempatan daripada dibuli oleh gergasi teknologi.

Ayuh marilah kita sama-sama menyingsing lengan untuk mendapatkan hak kita sebagai pencipta kandungan yang pada waktu ini digunakan percuma oleh gergasi teknologi untuk membuat keuntungan.

Kita tidak mahu keadaan susu punya lembu, sapi buat untung berterusan. Kita tidak ada pilihan kecuali memecahkan ruyung, kalau kita ingin merasakan sagunya.

Sebelum berundur saya ingin merakamkan terima kasih juga kepada Tan Sri Johan Jaaffar, Tokoh Wartawan Negara yang telah menyampaikan ucapan pembukaan dan bertindak sebagai moderator sesi pertama. Terima kasih kepada Farrah Naz Karim, editor kumpulan New Straits Times yang bertindak sebagai moderator sesi kedua.

Kepada ahli-ahli panel sesi pertama yang terdiri daripada Datuk Zulkefli Hamzah, Encik Faizal Zakaria, Encik Johardy Maulana Ibrahim, Encik Thiaga Rajan Muthusamy juga terima kasih.

Kepada ahli-ahli penal sesi kedua yang terdiri daripada TYT Mr. Wayne Robson, Mr. Nelson Yap, Bapak Agus Sudibyo dan Helena Rea, juga saya panjangkan penghargaan MPI atas kesudian anda berkongsi pengalaman dengan para peserta mengenai kewartawanan dan big tech di Kanada, Australia dan Indoneia. Terima kasih kerana sudi terbang ke mari untuk memberi pencerahan perkembangan-perkembangan yang berlaku di negara-negara anda.

Akhir sekali berbanyak terima kasih kepada Puan Mastura mewakili Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan seterusnya untuk menutup Forum Media Kebangsaan 2023, anjuran Malaysian Press Institute.

DATUK DR. CHAMIL WARIYA

Pengerusi

Malaysian Press Institute (MPI)