Duta Besar Republik Indonesia raikan ISWAMI
Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Bapak Herman Prayitno meraikan kepimpinan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indoneia (ISWAMI) dalam satu majlis makan tengah hari di sebuah restoran terkemuka di Kuala Lumpur pada 12 November 2014.
Rombongan ISWAMI ke majlis itu dipimpin oleh Presidennya, Datuk Zulkefli Salleh yang juga Ketua Pengarang Bernama.
Hadir sama ialah ahli Majlis Pentadbir ISWAMI yang lain iaitu Timbalan Presiden, Zulkefli Hamzah (Timbalan Pengarang Utusan Malaysia), Naib Presiden ISWAMI yang juga Penasihat Editorial Karangkraf, Datuk A. Jalil Ali, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia merangkap Bendahari ISWAMI, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) yang pernah menjadi pemangku presiden ISWAMI, Datuk Chamil Wariya, dua orang mantan presiden ISWAMI, Datuk Ahmad A. Talib dan Datuk Mior Kamarul Sahid turut hadir.
Pengarang-pengarang kanan lain yang turut serta ialah Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin, Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV, Datuk Ibrahim Yahaya, Timbalan Ketua Pengarang Bernama TV, Mokhtar Hussin, Ketua Pegawai Operasi BERNAMA Radio24, Azlan Idris, Setiausaha Kerja ISWAMI, Sabaruddin Ahmad Sabri.
Dalam ucapan ringkasnya, Bapak Prayitno menerangkan keutamaan dan hala tuju dasar baru republik itu di bawah kepimpinan presiden baharunya, Joko Jokowi.
Satu perkara menarik yang dijelaskan oleh beliau adalah Presiden Jokowi memutuskan untuk menggunakan Bahasa Indonesia dalam pertemuan formal beliau dengan para pemimpin dunia. Ini pertama kali dilakukan pada Persidangan APEC di Beijing dan juga Persidangan Kemuncak ASEAN di Myanmar pada pertengahan November 2014.
Beliau juga akan berucap menggunakan bahasa Indonesia apabila menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu nanti.
“Ini adalah keputusan Jokowi sendiri dalam upaya untuk mempromosi Bahasa Indonesia di peringkat antarabangsa,” kata Dubes itu.
Bagaimanapun, barangkali untuk menjelaskan bahawa penggunaan Bahasa Indonesia itu tidak kaitan dengan ketidakmampuan Jokowi bertutur dalam Bahasa Inggeris, Bapak Prayitno menyatakan bahawa pada pertemuan dengan para pemimpin bisnes dan tokoh korporat, Presiden Jokowi akan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium.
Bapak Prayitno juga menzahirkan hasrat untuk mengadakan kerjasama yang lebih akrab dengan media Malaysia.
ISWAMI Malaysia merancang untuk mengadakan satu forum wartawanan Malaysia-Indonesia pada awal Disember dengan kerjasama Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI) yang dipimpin oleh Tan Sri Rais Yatim, bekas Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi yang kini bertindak sebagai penasihat sosio budaya kerajaan Malaysia.
Enam belas wartawan muda dari Indonesia dan tidak kurang 20 orang wartawan muda Malaysia dijangka menghadiri forum tersebut yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
Selain itu, ISWAMI juga akan mengadakan satu majlis makan malam untuk mengumpul dana pada Januari 2015, juga dijayakan dengan kerjasama YIRMI.
ISWAMI Malaysia juga akan menjadi tetamu Hari Pers Nasional Indonesia yang dijadualkan berlangsung di Batam, Indonesia pada 9 hingga 12 Februari tahun depan. Rombongan ISWAMI ke Batam juga akan turut disertai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Dubes Republik Indonesia, Bapak Prayitno (berdiri) berucap pada majlis makan tengah hari meraikan kepimpinan ISWAMI Malaysia. Kelihatan dalam foto ialah Datuk Chamil Wariya (duduk tiga dari kiri) dan Datuk Ahmad A. Talib (duduk empat dari kiri).