Kursus
Eksekutif C-Suites Bank Islam jalani kursus jurucakap organisasi berkesan

Eksekutif C-Suites Bank Islam jalani kursus jurucakap organisasi berkesan

Sembilan eksekutif C-Suites Bank Islam telah menjalani latihan praktikal menjadi jurucakap organisasi yang berkesan pada 23 Mei baru-baru ini di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur. Mereka yang mengetuai jabatan masing-masing seperti Shariah, Social Finance, Investment Management, Securities, Ar Rahnu & Retail Asset, Economy, Digital dan Deposit & Cards berpendapat, kursus ini berjaya membuka perspektif baharu tentang keupayaan sebenar di sebalik jawatan mereka dalam menangani temu bual ketika berhadapan kamera TV dan sidang media.

Kursus yang dinamakan ‘Media Training for C-Suites of Bank Islam’ ini diadakan atas permintaan organisasi bank tersebut, susulan daripada kejayaan kursus pertama yang dianjurkan pada Oktober 2022 lalu. Pengajar yang sama, Datin Yusanani Yushak, mantan Penyampai Berita TV3 dan berpengalaman luas dalam kewartawanan TV telah berkongsi pelbagai teknik berkesan yang banyak membantu eksekutif-eksekutif tertinggi tersebut meningkatkan lagi keyakinan diri, lebih berketrampilan dan lebih petah berbicara. Elemen-eleman seperti ‘eye contact’, ‘body movement’ dan pemilihan warna pakaian, contohnya, amat dititik-beratkan dalam latihan ini agar mereka tampil lebih dipercayai dan mampu menarik minat pelanggan membeli dan menggunakan produk Bank Islam terutama yang disiarkan di kaca TV.

Sebagai bank patuh Syariah pertama di Malaysia yang ditubuhkan sejak 1983, Bank Islam diakui menjadi pilihan utama rakyat negara ini untuk mendapatkan produk dan kemudahan perbankan berlandaskan prinsip Islam berbanding perbankan konvensional yang telah lama bertapak. Para eksekutif kursus memanfaatkan kelebihan pasaran yang tersedia ada ini dengan menyampaikan pencerahan mengenai strategi perniagaan jabatan masing-masing sejak berdekad lalu di samping mempromosi produk-produk organisasi menerusi latihan temu bual dan sidang media yang diadakan.

Gaya penyampaian dan kandungan ucapan kempen mereka mengenai produk seperti perbankan runcit, perbankan institusi, digital, perusahaan kecil dan sederhana, pengurusan kekayaan dan kewangan sosial dinilai dan ditambah baik pada sesi latihan itu juga. Kursus menjadi lebih santai apabila pelbagai aksi lucu dan spontan yang sempat dirakam turut dikongsikan. Mereka rancak bertanyakan soalan dan bertukar pandangan bersama pengajar hinggalah kursus berakhir pada jam 6.30 petang.

Sebelum bersurai, Puan Rohazida Mohamed, Ketua Komunikasi Korporat Bank Islam dalam ucapannya turut mengucapkan terima kasih kepada MPI dan pengajar serta mengalu-alukan kerjasama berterusan bersama MPI untuk kursus-kursus pada masa akan datang.

LENSA KAMERA:

Para eksekutif C-Suites Bank Islam berpuas hati menimba ilmu daripada pengajar, Datin Yusanani Yushak. Turut kelihatan Puan Rohazida Mohamed (paling kanan), Ketua Komunikasi Korporat Bank Islam.
Kursus dimulakan dengan teori komunikasi berkesan.
Eksekutif C-Suites mendengar dengan teliti ilmu yang disampaikan.
Sesekali eksekutif C-Suites mencelah bertanyakan soalan.
Datin Yusanani Yushak merupakan mantan Penyampai Berita TV3 yang berpengalaman luas dalam kewartawanan TV.
Wawancara ‘jolok’ – jurucakap organisasi perlu sentiasa bersedia dan berhati-hati ketika diterjah soalan daripada wartawan.
Sidang media – jurucakap organisasi hendaklah berkeyakinan tinggi dan tuntas ketika menjawab soalan-soalan wartawan.
Temu bual studio – Elemen ‘eye contact’, ‘body movement’ dan pemilihan warna pakaian amat dititik-beratkan ketika ditemu bual dalam sesebuah program TV.