Empat ancaman terhadap kewartawanan

Kewartawanan, sebagai satu profesion, kini sedang berhadapan dengan empat cabaran besar yang bakal menentukan kelangsungan masa depannya berikutan munculnya media baharu yang dipacu oleh perkembangan teknologi revolusi industri 4.0, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute, Datuk Dr. Chamil Wariya.

Dalam ucap utama yang disampaikan pada seminar Islamic Media & Journalism (iMEJ 2017) anjuran Mahasiswa Komunikasi Kewartawanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  pada 7 Disember lalu, beliau memberitahu empat cabaran utama itu ialah:

Pertama, kemerosotan edaran akhbar; kedua, tekanan pasaran;  ketiga, kesan reputasi kewartawanan yang tercalar kerana tidak lagi berpegang kepada etika dan nilai moral yang tinggi; dan keempat kehilangan identiti akibat teknologi baharu yang menawarkan alat pelbagai komunikasi kepada khalayak.

Menurut Chamil, kemunculan penyebar berita bukan tradisional seperti agregator berita, blogger, enjin carian, halaman rangkaian sosial dan penyedia maklumat telah berkembang lebih pantas berbanding khalayak outlet berita tradisional.

Menurut beliau, anak-anak muda lebih banyak menggunakan blog, chatrooms dan pelbagai media sosial seperti Facebook, MySpace untuk mendapatkan apa yang mereka anggap sebagai berita.

“Akibatnya apa yang dimaksudkan sebagai kewartawanan dan apa yang diertikan untuk menjadi wartawan tidak lagi jelas seperti satu waktu dulu apabila kelompok wartawan adalah pemberita, editor yang berkhidmat dengan suratkhabar, media penyiaran dan agensi berita.

“Jika khalayak semakin berkurangan untuk mendapatkan maklumat yang telah dihidangkan menerusi proses penyelidikan, verifikasi secara profesional iaitu kaedah yang digunakan oleh wartawan sebelum sesuatu maklumat disebarkan, maka kewartawanan akan kehilangan fungsi terasnya,” tegas beliau.

Menurut Chamil tekanan pasaran terhadap kewartawanan diajukan dalam dua bentuk – untuk mendapatkan khalayak dan untuk mendapatkan iklan sehingga autonomi berita tidak lagi dapat dipertahankan.

Akibat tekanan pasaran itu, maka kualiti kewartawanan mula merosot dan dalam usaha mencari keuntungan, para wartawan tidak lagi berpegang kepada prinsip objektiviti dan bahan-bahan hiburan dan sensasi mengisi ruangan akhbar, kata beliau.

Kira-kira 120 orang mahasiswa tahun akhir kewartawanan serta tenaga akademik bidang komunikasi USIM hadir pada seminar tersebut.

Selain ucap utama, tiga orang lagi wartawan dan bekas wartawan bertindak sebagai ahli panel perbincangan yang bertemakan: Wartawan Tanpa Sempadan: Adakah ia menggugat profesionalisme kewartawanan itu.

Mereka ialah Adam Salleh (Harian Metro), Syahril A Kadir (bekas wartawan Utusan Malaysia) dan Yusof Ghani (mantan wartawan the Star).

Rakaman Gambar-Gambar :

1. Poster besar Seminar Media dan Journalism (iMej 2017)
2. Ketua Program Media Baharu USIM, Dr. Rosninawati Hussin melancarkan seminar
3. Chamil sedang menyampaikan ucapan utama
4. Profesor Dr. Mohd Yahya Mohammed Ariffin, Penasihat iMej 2017 menyampaikan cenderahati kepada Datuk Dr. Chamil. Turut kelihatan Dr. Rosninawati Hussin (kiri).

    Gambar-gambar ihsan daripada Dr. Siti Suriani Othman, USIM.