Empat penyanyi tersohor bergelar Datuk hiburkan tetamu MWM 2017

Empat orang penyanyi tersohor tanah air bergelar Datuk akan menghiburkan 700 orang tetamu Malam Wartawan Malaysia 2017 yang bakal berlangsung pada 21 April 2017 bertempat di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur.

Tetamu kehormat malam tersebut ialah Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Penghibur yang bernaung di bawah Briged Kesenian Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang teruja untuk membuat persembahan pada Malam Wartawan Malaysia 2017 itu ialah Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Hattan, Datuk Nash dan Datuk Malek Ridhuan.

Persetujuan untuk menampilkan penyanyi-penyanyi itu dimaklumkan sendiri oleh Penasihat Briged Kesenian KDN, Datuk Dr. Ibrahim Yahaya dan Datuk Malek Ridhuan kepada pihak MPI pada pertemuan semalam.

Hadir mewakili MPI pada perbincangan tersebut ialah Pengurus Kanan Operasi, Puan Norlida Jamain dan Setiausaha Pentadbiran, Puan Nur Ramizah Abdul Aziz.

Menurut Norlida, pihak MPI menyambut baik berita gembira itu.

Beliau yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraan MPI berkata: “Bagi pihak MPI, saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kemurahan hati beliau yang telah mengizinkan Briged Kesenian KDN untuk membuat persembahan pada Malam Wartawan Malaysia yang akan diserikan oleh Perdana Menteri.”

Norlida juga memberitahu: “Bagi pihak MPI, saya turut berterima kasih kepada Datuk Dr. Ibrahim Yahaya kerana telah menyatakan kesediaan Briged Kesenian KDN untuk membantu menjayakan segmen hiburan pada malam wartawan kali ini tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada kami.”

Menurut beliau kehadiran empat penyanyi tersohor itu adalah “satu hadiah kepada MPI kerana tanpa persetujuan pihak Briged Kesenian KDN, kami tidak mampu untuk membawa mereka untuk membuat persembahan. Sebagai sebuah yayasan yang tidak bermotifkan untung, MPI tidak ada kemampuan untuk menampilkan penghibur hebat seperti mereka”.

Datuk Malek, selaku orang kuat Briged Kesenian KDN pula memberitahu kesediaan Briged Kesenian KDN membuat penampilan “adalah sebagai penghargaan penghibur tanah air kepada pengamal media yang banyak membantu artis bertapak dan membina nama di dalam industri hiburan.”

“Inilah salah satu cara untuk kami menyatakan terima kasih kami kerana begitu banyak publisiti yang mereka berikan kepada golongan seniman yang telah membolehkan kami menjadi ternama dan terkenal,” tegas Datuk Malek.

Beliau mengakui tanpa liputan media, artis berkemungkinan tidak akan dikenali ramai. Justeru bagi beliau cara terbaik untuk membalas jasa para wartawan adalah untuk tidak berkira sangat, apa lagi mengenakan bayaran yang mahal, apabila diminta untuk membuat persembahan pada majlis seperti Malam Wartawan Malaysia.

Idea untuk menampilkan Briged Kesenian KDN menyerikan Malam Wartawan Malaysia anjuran Malaysian Press Institute (MPI) ini timbul apabila Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KDN, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang hadir sebagai tetamu kehormat majlis tersebut tahun lalu (2016) menawarkan MPI supaya memanfaatkan anak seni Briged bagi memeriahkan Malam Wartawan Malaysia 2017.

Tawaran tersebut beliau panjangkan kepada kepada Datuk Dr. Chamil Wariya selaku pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2016.

Berikutan itu, pihak MPI telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Datuk Dr. Ibrahim yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Kementerian Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri.


Mar 22 empat orang penyanyi 11. Satu sejarah tercatat: Perbincangan antara pengurusan Briged Kesenian KDN dan MPI. Dari kiri Datuk Malek Ridhuan; Datuk Dr. Ibrahim Yahaya; Puan Norlida Jamain dan Puan Nur Ramizah Abd Aziz di sebuah restoran di Bangsar, Kuala Lumpur pada petang 22 Mac 2017.



Mar 22 empat orang penyanyi 22. Wajah-wajah empat penyanyi tersohor Malaysia yang akan menghbirkan tetamu pada Malam Wartawan Malaysia 2017: Datuk Malek, Datuk Khadijah, Datuk Hattan dan Datuk Nash. Mereka akan tampil dengan lagu-lagu popular dan malar segar masing-masing.