ENAM LANTIKAN BAHARU MAJLIS PENTADBIR MPI
Cyberjaya, 16 Mei – Enam ahli baharu dilantik sebagai Ahli Majlis Pentadbir Malaysian Press Institute (MPI) pada Mesyuarat Agung Tahunan MPI yang diadakan pada hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Sinar Harian Zamri Rambli, Pengarang Kanan Digital dan Berita & Hal Ehwal Semasa Azri Atan TV3, Penolong Pengarang Utusan TV Ainol Amriz Ismail, Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Media Corporation Sdn Bhd Choo Joon Kian dan Ahli Kehormat Persatuan Wartawan Sabah Dr. Diana Dominic dipilih oleh ahli MPI menganggotai Ahli Majlis Pentadbir.
Pemilihan ini dibuat mengikut Memorandum dan Artikel Persatuan MPI. Ini menjadikan jumlah Ahli Majlis Pentadbir MPI seramai sembilan orang termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden.
Mesyuarat juga sebulat suara bersetuju untuk melantik semula tiga jawatan utama Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden iaitu Datuk Yong Soo Heong, Farrah Naz Karim dan Brian Martin bagi tempoh dua tahun.
Ahli mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan pindaan perlembagaan MPI yang berusia 17 tahun perlu dirombak sesuai dengan keperluan semasa dan masa depan.
Menurut Presiden MPI, Datuk Yong mesyuarat hari ini melambangkan kesinambungan pembaharuan dalam kegiatan MPI di mana ahli diberi kuasa untuk menyuarakan pendapat mereka supaya pentadbiran MPI boleh dijalankan secara lebih inklusif dan lancar.
Tambah beliau, barisan kepimpinan MPI akan akur kepada permintaan daripada ahli supaya kegiatan latihan yang menjadi teras kegiatan utama sentiasa ditingkatkan demi kebaikan industri kewartawanan dalam negara.
Ahli Majlis Pentadbir adalah badan tertinggi dalam pengurusan pentadbiran MPI, berperanan sebagai pembuat dasar dalam menentukan hala tuju dan masa depan MPI.