Forum Kebebasan Media bakal berlangsung 4 Oktober ini
“Kebebasan Media Era Pakatan Harapan : Cabaran dan Peluang” dipilih sebagai tema Forum Media Kebangsaan kali ini dianjurkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia dan Institut Pengajian Kewartawanan (IJS, UiTM). Ia bakal berlangsung pada 4 Oktober 2018 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Jalan IKRAM-UNITEN, Kajang, Selangor.
Jika pada awal tahun ini forum bertemakan PRU Ke-14, tema “Kebebasan Media” kali ini dipilih mengambil sempena agenda utama Kerajaan baharu mengangkat hak kebebasan bersuara dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan agenda reformasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta menggiatkan kembali usaha penubuhan Majlis Media Malaysia. Empat topik khusus akan dibentangkan iaitu : “Kebebasan Media Pasca PRU Ke-14 : Kenyataan atau Angan-angan”, “Penubuhan Majlis Media Malaysia : Mampukah Menjadi Kenyataan”; “Menjunjung Kebebasan Media : Azam Kerajaan Baharu” dan “Kebebasan Media Era Malaysia Baharu : Perspektif Akademik”. Kesemua isu ini akan diperhalusi dan dibincangkan tanpa sekatan “off the record” dalam forum ini.
Tokoh wartawan, editor media, peguam undang-undang dan hak asasi manusia serta ahli akademik media/kewartawanan telah dikenal pasti dan dijemput sebagai ahli panel diskusi dan moderator, antaranya : Datuk A. Kadir Jasin (Tokoh Wartawan/Penasihat Khas Media & Komunikasi Perdana Menteri), Datuk Mohd. Zaini Hassan (Kumpulan Utusan), Datuk Abdul Jalil Ali (Grup Sinar Karangkraf), Datuk Wong Sai Wan (Malay Mail), Premesh Chandran (Malaysiakini), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican (USM), Prof. Madya Datuk Dr. Ismail Sualman (UiTM) dan Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh (SUHAKAM).
Dijangka lebih seratus peserta akan menghadiri forum ini terdiri daripada para editor/wartawan dari media konvensional dan media baharu, wakil persatuan wartawan, pengamal media, pegawai penerangan kementerian dan pensyarah/pelajar tahun akhir jurusan kewartawanan.
Forum ini ditaja sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Allianz Malaysia Berhad.