FORUM MEDIA KEBANGSAAN 2018 ANGKAT TEMA KEBEBASAN MEDIA

Forum Media Kebangsaan dianjurkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia dan Institute of Journalism UiTM yang berlangsung pada 4 Oktober 2018 di UNITEN, Kampus Putrajaya baru-baru ini telah mengangkat tema “Kebebasan Media Era Pakatan Harapan”.

Ia dipilih sempena agenda kerajaan baharu iaitu mengetengahkan hak kebebasan bersuara dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dari agenda reformasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta menggiatkan kembali usaha penubuhan Majlis Media Malaysia.

Lebih seratus pemimpin editorial, wartawan, pengamal media dan ahli akademik telah hadir dan menyertai forum tahunan yang kali kelima dianjurkan Malaysian Press Institute (MPI) ini.

Tajuk pertama “Kebebasan Media Pasca PRU ke-14” telah dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya. Antara ahli-ahli panel yang terlibat adalah Datuk Abd. Jalil Ali, Penasihat Eksekutif Editorial, Grup Sinar Karangkraf; Encik Premesh Chandran, Ketua Pegawai Eksekutif MalaysiaKini dan Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Ahli Pesuruhjaya SUHAKAM.

Seterusnya, forum dihangatkan lagi dengan tajuk “Penubuhan Majlis Media Malaysia” . Ahli-ahli panelnya terdiri daripada Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, Ahli Akademik, Pusat Penyelidikan Dasar & Kajian Antarabangsa (CenPRIS), USM; Datuk Mohd. Zaini Hassan, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan Encik Leslie Lau, Pengarang Urusan Malay Mail Sdn. Bhd. Manakala Dr. Safar Hashim, Ahli Pemegang Amanah MPI telah bertindak sebagai moderator.

Kehadiran Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin yang juga Penasihat Khas Media & Komunikasi Perdana Menteri telah menambah lagi keterujaan pada hadirin dengan amanat ringkasnya mengenai Kebebasan Media: Azam Kerajaan Baharu yang turut menyentuh mengenai penubuhan Majlis Media Kebangsaan Malaysia. Beliau juga turut menyeru kepada para wartawan agar lebih berani dalam menulis berita dan membongkar isu-isu sensitif termasuklah aktiviti perlombongan pasir yang agak membimbangkan kini.

Forum diakhiri dengan tajuk “Kebebasan Bertanggungjawab di Era Malaysia Baharu”  telah dikupas oleh ahli-ahli akademik dan pendidik yang terdiri daripada Prof. Madya Datuk Dr. Ismail Sualman dan Dr. Syed Agil Al-Sagoff, manakala Dr. Sofia Hayati Mohd Yusof telah bertindak sebagai moderator. Kesemua mereka merupakan ahli Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia.

Turut hadir juga adalah wakil-wakil dari pihak penaja Forum Media Kebangsaan 2018 iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Allianz Malaysia Berhad serta wartawan-wartawan liputan daripada BERNAMA, New Straits Times, The Malay Mail, Astro Awani, TV3, TV Alhijrah dan juga KOSMO!

1. CEO MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya memulakan majlis dengan sepatah dua kata-kata aluan sebelum mempengerusikan forum sesi pertama.
2. Antara hadirin yang menyertai Forum Media Kebangsaan 2018.
3. Sesi pertama yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Chamil Wariya.
4. Ahli-ahli panel bagi sesi pertama iaitu; Datuk Abd. Jalil Ali, Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh dan Encik Premesh Chandran.
5. Dr. Safar Hashim, Ahli Pemegang Amanah MPI bertindak sebagai moderator bagi sesi kedua.
6. Ahli-ahli panel sesi kedua iaitu; Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, Datuk Mohd Zaini Hassan dan Encik Leslie Lau.
7. Datuk A. Kadir Jasin menyampaikan amanatnya kepada para hadirin.
8. Para jemputan kehormat mengabadikan foto kenangan.
9. Datuk A. Kadir Jasin sedang membincangkan sesuatu dengan para ahli panel dan moderator yang terlibat, bersama dengan Prof. Dato’ Dr. Syed Arabi Syed Abdullah Idid.
10. Sebahagian hadirin yang melontarkan persoalan kepada para ahli panel.