Forum mengenai PRU 14 bakal berlangsung 5 April ini
Forum Media dan Komunikasi Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI) dan Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia dijadual akan berlangsung pada 5 April 2018 di Kuala Lumpur.
Perbincangan mengenai penganjurannya telah diadakan baru-baru ini di antara Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Yahya Mohamed Ariffin yang juga merupakan Pengarah, Pusat Perancangan Korporat dan Pengurusan Kualiti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Forum sehari ini akan membincangkan dua topik menarik iaitu “Media dan PRU: Antara Menyokong, Menentang dan Berkecuali” dan “Mengkomunikasikan Mesej kepada Khalayak semasa PRU: Perspektif Akademik” serta satu sesi pembentangan kajian mengenai PRU. Beberapa ahli akademik dan pengarang media telah dikenal pasti dijemput menyertai forum sebagai ahli panel diskusi dan moderator, antaranya : Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein (USM), Prof. Dato’ Seri Dr. Syed Arabi Idid (UIA), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani (UUM), Prof. Madya Dato’ Dr. Ismail Sualman (UiTM), Prof. Dr. Faridah Ibrahim (IUKL), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid (NSTP), Datuk Abdul Jalil Ali (Grup Sinar Karangkraf), Zulkifli Jalil (Kumpulan Utusan), Kamarul Baharin Haron (Astro AWANI) dan Noor Azam Shairi (The Malaysian Insight).
Dijangka lebih seratus peserta akan menghadiri forum ini terdiri daripada para editor/wartawan dari media konvensional dan media baharu, wakil persatuan wartawan, pengamal media, pegawai penerangan kementerian dan pensyarah/pelajar tahun akhir jurusan kewartawanan.
Wakil Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Yahya Mohamed Ariffin yang juga merupakan Pengarah, Pusat Perancangan Korporat dan Pengurusan Kualiti, USIM (bertali leher) berbesar hati menyampaikan hasrat berkolabarasi dengan MPI menganjurkan Forum Media dan Komunikasi Menjelang PRU 14 dan disambut baik oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya.