HKM 2016 terima 291 penyertaan
KENYATAAN MEDIA
Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2016 (HKM 2016) yang sedang dalam proses penilaian menerima 291 penyertaan apabila tarikh mengemukakan penyertaan dari kalangan pengamal media ditutup pada pertengahan Januari 2017.
Jumlah itu adalah lebih rendah berbanding penyertaan yang diterima HKM 2015.
Karya-karya kewartawanan yang dihasilkan antara Januari hingga Disember 2016 akan berentap sengit untuk merebut hadiah wang tunai RM300,000 tajaan PETRONAS.
PETRONAS adalah penaja Hadiah Kewartawanan Malaysia, anjuran Malaysia Press Institute (MPI) sejak 1994.
Sebanyak 20 kategori dipertandingkan dalam HKM 2016. Satu anugerah baharu, Anugerah Tokoh Media diperkenalkan buat pertama kalinya dalam HKM 2016.
Eksekutif Anugerah Malaysian Press Institute (MPI), Salman Husni Abdollah berkata, penurunan bilangan penyertaan merosot sedikit memang telah dijangka kerana buat pertama kalinya para peserta yang ingin mengambil bahagian dalam HKM dikenakan yuran penyertaan RM100 bagi ahli MPI dan RM200 bagi bukan ahli.
“Keputusan mengenakan bayaran penyertaan itu dibuat oleh Majlis Pentadbir MPI untuk memastikan hanya karya-karya terbaik yang dihasilkan oleh para pengamal media menyertai HKM. Dengan itu, mereka yang tidak serius tidak akan mempertaruhkan nasib kali ini.
“Jadi saya boleh katakan penyertaan HKM 2016 memang terjamin kualitinya dan ini akan membuat panel hakim pening untuk memilih pemenang.” kata Salman selepas majlis taklimat kepada para hakim HKM 2016 di Bilik Latihan MPI baru-baru ini.
Menurut beliau lagi penyertaan tertinggi diterima bagi Kewartawanan Foto Cemerlang iaitu sebanyak 40; diikuti oleh Laporan Berita Cemerlang 24; Infografik Terbaik 24; Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail (cetak dan TV) 24; Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang 23.
MPI menerima tiga pencalonan untuk Anugerah Khas dan Anugerah Tokoh Wartawan manakala seorang dicalonkan bagi Anugerah Tokoh Media.
Tekan sini untuk senarai jumlah bilangan penyertaan HKM 2016
Sebanyak 30 organisasi media – cetak (akhbar dan majalah), penyiaran (radio dan TV) dan portal berita mengambil bahagian dalam HKM 2016.
Mereka terdiri pemain-pemain utama dalam industri kewartawanan Malaysia. Oleh kerana penyertaan HKM adalah pengiktirafan untuk industri maka penyertaan dibuka kepada semua outlet berita sama ada mereka ahli MPI atau bukan.
Tekan sini untuk senarai penyertaan HKM 2016 mengikut organisasi
Bagi setiap kategori, akan terdapat seorang pemenang dan dua penerima hadiah sagu hati. Pemenang menerima RM10,000, sijil dan trofi; penerima sagu hati pula akan membawa pulang RM1,000 dan sijil.
Karya terbaik yang dinilai oleh panel hakim akan dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai yang akan membawa pulang wang tunai RM30,000, sijil dan trofi serta hadiah iringan yang lain.
Bagaimanapun bagi kategori Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail, Anugerah Khas dan Anugerah Tokoh Wartawan dan Anugerah Tokoh Media tidak ada penerima hadiah sagu hati.
MPI menerima tiga pencalonan untuk Anugerah Tokoh Wartawan. Bagaimanapun majlis berasingan akan diadakan untuk menyapampaikan hadiah kepada penerima Tokoh Wartawan.
Hadiah kepada para pemenang HKM 2016 akan disampaikan pada Malam Wartawan Malaysia 2017 yang dijangka diadakan pada 21 April 2017 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak telah mengesahkan hadir sebagai tetamu kehormat malam tersebut.
Hadiah kepada para pemenang akan disampaikan secara bergilir-gilir oleh ketua-ketua pengarang media; manakala tiga hadiah utama akan disampaikan oleh Perdana Menteri.
Kombo Briged Seni Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka membuat persembahan untuk memeriahkan malam tersebut.
Penaung Malam Wartawan 2017 ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Said Keruak.
Dikeluarkan pada : 27 Februari 2017