HKM: Komuniti wartawan adalah pemenang sebenar
Ucapan alu-aluan Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2015, Datuk Dr. Chamil Wariya pada Malam Wartawan Malaysia 2015 pada 8 Jun 2015 di Hotel Istana Kuala Lumpur, jam 8.30 malam. Tetamu kehormat majlis ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.
Pertama-tama izinkan saya menzahirkan penghargaan Malaysian Press Institute (MPI) kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek atas kesudian beliau hadir menyerikan Malam Wartawan Malaysia 2015 dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2014 sebentar lagi.
Saya juga mengalu-alukan kehadiran semua tetamu yang berada di dewan ini pada malam ini, baik yang datang dari dekat di sekitar Lembah Klang dan juga dari jauh nun di Sintok, dan dari Johor Baharu di Selatan. Saya dan seluruh ahli jawatankuasa penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2015 amat menyanjung tinggi kedatangan anda ke majlis ini.
Syukur alhamdulillah, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2014 menerima sambutan yang cukup memberangsangkan. 413 penyertaan diterima iaitu bilangan tertinggi dalam tempoh enam tahun. 46 daripada mereka berjaya ke peringkat akhir dan 23 orang akan diisytiharkan sebagai pemenang bagi 14 kategori yang disertai – sama ada secara individu atau secara berpasukan dua atau tiga orang. Butiran penyertaan dimuatkan dalam buku program yang diedarkan kepada anda pada malam ini.
Untuk sampai ke peringkat akhir, para peserta telah melalui saringan ketat sebanyak tiga kali oleh sebuah panel hakim, yang tiada kena mengena dengan MPI, yang dipengerusikan oleh Profesor Dr. Mohd Safar Hasim. Kepada Profesor Dr. Safar dan para panel hakim lain, juga diucapkan terima kasih.
Malam Wartawan Malaysia pertama kali kita adakan pada 16 September 1981 iaitu 34 tahun yang silam, dianjurkan untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang HKM 1980. Majlis yang senantiasa dinanti-nantikan setiap tahun ini, tidak akan dapat dijayakan sekiranya pelbagai pihak tidak menghulurkan sumbangan dan pelbagai bantuan, baik berbentuk kewangan dan bukan kewangan.
Bagi edisi 2015, saya ingin merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada 57 entiti yang terdiri daripada badan-badan korporat, agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, pusat-pusat pengajian tinggi yang telah menghulurkan sumbangan bernilai RM465,000.00 untuk menjayakan majlis ini.
Penghargaan istimewa saya panjangkan kepada PETRONAS yang merupakan penaja tunggal Hadiah Kewartawanan Malaysia sejak 1994. Bagi HKM MPI-PETRONAS 2014, PETRONAS mengekalkan penajaan hadiah sebanyak RM300,000.00. Bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia yang akan datang, kuantum tajaan akan dibincangkan selepas majlis malam ini selesai. Tetapi yang penting pada dasarnya Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin sudahpun memutuskan supaya kolaborasi MPI dengan PETRONAS akan diteruskan. Terima kasih Datuk Wan Zulkiflee.
Pihak MPI dan pihak PETRONAS menerusi Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategik,Cik Liz Kamaruddin akan mengadakan sesi perbincangan untuk memuktamadkan penajaan bagi Hadiah Kewartawanan MPI-PETRONAS 2015 dan seterusnya. Insya-Allah kita akan mencari satu formula menang-menang demi mengangkat kecemerlangan dalam bidang kewartawanan.
Kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kepada PETRONAS dan kepada setiap satu organisasi yang menghulurkan sumbangan, MPI selaku penganjur, amat terhutang budi. Hanya Allah SWT yang akan membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan.
Pulau Pandan jauh ke tengah
Pulau Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.
Akhir kata, saya menghulurkan jari sepuluh bagi apa juga kekurangan dalam penganjuran pada Malam Wartawan Malaysia 2015. Maklumlah kita manusia biasa memang tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Sekiranya dipanjangkan umur, saya berharap untuk bertemu lagi dengan semua yang berada di sini pada Malam Wartawan Malaysia 2016.
Kepada para penerima hadiah, sekalung tahniah diucapkan. Kepada yang tidak, janganlah berputus ada. Sesungguhnya, sama ada menang atau sebaliknya, secara kolektif anda telah mengharumkan diri anda dan organisasi berita yang anda wakili dalam perjalanan kita meningkatkan kualiti kewartawanan Malaysia. Anda patut berbangga dengan peranan dan sumbangan anda.
Sebelum berundur saya dengan sukacitanya mempersilakan YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek ke pentas untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada hadiri. Dipersilakan, Dato’ Sri. Terima kasih. Wabillahitaufikwalhidayah wassalamualaikumwarahmatulahiwabarokatu.