IACT College dan MPI akan tandatangani Memorandum Persefahaman dalam waktu terdekat
2 Mei 2023: Malaysian Press Institute (MPI) akan meneroka peluang mengadakan kerjasama dengan IACT College dalam bidang latihan media dan kewartawanan serta penempatan para pelajarnya untuk menjalani latihan pratikal dengan ahli-ahli MPI yang terdiri daripada 36 organisasi media.
Persetujuan prinsip untuk menjalin kerjasama dicapai dalam pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr. Chamil Wariya dengan dua orang pensyarah kolej tersebut pagi tadi.
Mereka ialah Penyelaras Program BMCC IACT College, Ms. Mekalah Chandrasegaran dan Puan Raja Amanda Raja Faisal. Mereka pernah menjadi wartawan. Mekalah dengan akhbar The Star manakala Amanda pula pernah menjadi wartawan siaran TV3.
Satu MoU bagi merasmikan kerjasama MPI dan IACT College dijangka akan ditandatangani dalam waktu terdekat.
IACT College ialah sebuah institusi pendidikan swasta menawarkan kursus dalam bidang komunikasi kreatif pada peringkat ijazah pertama dan diploma.
Antara program yang ditawarkan adalah BA (Hons) Media, Culture and Communication, BA (Hons) Advertising and Design. Program ini diadakan dengan kerjasama University of Sunderland, United Kingdom.
Pada peringkat diploma, IACT menawarkan bidang pemasaran dan pengiklanan; komunikasi massa; desain grafik dan penyiaran.
Ia juga menawarkan kursus pada peringkat asasi pengajian media dan sijil kajian komunikasi.