ANUGERAH
Integriti, kredibiliti dan profesionalisme dalam kewartawanan

Integriti, kredibiliti dan profesionalisme dalam kewartawanan

Ucapan Balas Tan Sri Johan Jaaffar

“Tokoh Wartawan Negara”

Pada Malam Wartawan Malaysia 2019

Manhattan Ballroom

Berjaya Times Square Hotel

Jumaat 26 April 2019

 

 

Saya menganggap penganugerahan ini sebagai satu penghormatan bagi saya.

Rasanya saya sebahagian daripada generasi “orang surat khabar lama” yang semakin berkurang. Generasi saya tidak lagi aktif memimpin akhbar atau organisasi media. Kami merupakan the last of the Mohicans.

Editor dan wartawan yang lebih kurang sezaman dengan saya, Datuk CC Liew, Tan Sri Zainuddin Maidin, Datuk Kadir Jasin, Tan Sri Rahman Sulaiman, Mendiang Datuk V.K. Chin, Datuk Ng Poh Tip, Datuk Mohd Nazri Abdullah, Datuk Ahmad Talib, Datuk Rejal Arbee, Datuk Hardev Kaur, Datuk Khalid Mohd, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Wong Chun Wai sekadar menyebut beberapa nama, bekerja dalam suasana dan era yang sama sekali berbeza dengan sekarang.

Saya sendiri bolehlah dianggap accidental journalist, yang terhumban ke dalam dunia kewartawan tanpa dirancang. Banyak yang mengatakan bahawa saya “outsider” apabila saya diberikan amanah memimpin kumpulan akhbar Utusan Melayu pada tahun 1992. Namun demikian apabila saya mula berkhidnat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1977, saya berketuakan tokoh sasterawan-wartawan seperti Datuk Usman Awang dan duduk sebilik dengan Datuk Abdullah Hussain.

Usman Awang atau Tongkat Warrant memang terkenal sebagai sasterawan malah menjadi penerima Anugerah Sastera yang ketiga pada tahun 1983. Namun demikian beliau pernah menjadi wartawan di syarikat Utusan Melayu di Singapura mulai tahun 1952. Abdullah Hussein pula adalah penerima anugerah Sasterawan Negara yang kelapan, pernah berkhidmat dengan majalah Gelanggang Filem yang dimiliki oleh Seniman Agung P Ramlee pada zaman gemilang filem Melayu tahun-tahun 50-an dan 60-an.

Tradisi kewartawanan DBP selalu dilupakan oleh pengkaji. Perlu juga diingat bahawa wartawan yang pernah berkhidmnat di Utusan Melayu dan Majlis banyak yang menyambung karier mereka di DBP pada zaman awalnya. Di antara mereka ialah Abdul Wahab Muhammad atau Awal Il-Sarkam, Abu Yazid Abidin atau Wijaya Mala dan A. Samad Ahmad selain Keris Mas dan Usman Awang. Keris Mad dan Usman Awang juga adalah dua orang pengasas Angkatan Sasterawan 50 atau Asas 50 kemudiannya menjadi orang kuat DBP.

Tradisi kewartawanan inilah yang dilanjutkan oleh Baharuddin Zainal, Mohd Noor Azam, A.F. Yassin, Sulaiman Masri, Nik Zainal Abdidin Hassan, Fatini Yaakub dan ramai lagi di DBP.

Malah, dari 13 orang penerima anugerah Sasterawan Negara setakat ini, tujuh orang dari DBP. Dari 13 orang Sasterawan Negara, 6 orang pernah terlibat dalam kewartawanan majalah atau akhbar. Bagi saya hubungan di antara dunia kewartawanan dan kesusasteraan di negara ini amat sukar dipisahkan.

Saya lebih beruntung kerana saya pernah berkhidmat di Utusan Melayu, yang dianggap syarikat yang menjadi suara keramat orang Melayu. Tradisi gemilang ini bermula dengan A. Rahim Kajai yang dianggap Bapa Kewartawanan Melayu dan pengasas syarikat itu, Yusof Ishak yang kemudiannya menjadi Presiden Republik Singapura yang pertama.

Dalam tradisi panjang itulah muncul nama-nama seperti Said Zahari (salah seorang tahanan ISA paling lama di negara ini, 17 tahun), Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Abdullah dan Tan Sri Zainuddin Maidin. Utusan mempunyai cerita yang tersendiri dalam mencorakkan dunia kewartawanan tanahir. Bagi saya, Mogok Utusan Melayu tahun 1961 yang berlangsung selama 90 hari merupakan satu sejarah pahit para wartawan ketika itu. Usaha mereka untuk menolak campur tangan politik dalam menjalankan tugas mereka gagal.

Wartawan berdepan dengan banyak cabaran. Wartawan terbunuh membuat liputan di wilayah berkonflik. Wartawan ditahan, dipenjara malah disiksa dalam menjalan tugas mereka. Dan wartawan dibuang kerja apabila tidak mengikut skrip penguasa.

Benarlah agaknya kata orang, good soldiers don’t die, they just fade away, good journalists don’t fade away, they got fired. Ramai di kalangan generasi saya yang telah melalui proses itu. Para wartawan yang terpinggir melalui zaman getir untuk menyesuaikan diri, terpalit dengan stigma dan prejudis. Saya mempunyai pengalaman peribadi dalam soal itu – saya tidak punya tempat untuk menulis, sesuatu yang menjadi sebahagian darah daging saya.

Saya teringat dalam keadaan yang sukar itu, Tan Sri Samad Ismail menenangkan saya dengan mengingatkan nasibnya lebih buruk lagi mengalami tahanan bertahun-tahun. Beliaulah yang memberikan saya ruang untuk menulis di New Straits Times setiap minggu mulai 2002. Saya menulis sebagai kolumnis di akhbar itu selama 14 tahun.

Kita tentu sedar cabaran baru bagi wartawan dan organisasi media hari ini. Dalam masa setahun dua kebelakangan ini kita dapat melihat bagaimana Internet dan media sosial menjadi disruptor utama media tradisional. Syarikat media terhimpit oleh pulangan pendapatan iklan yang merosot dan jualan yang mengecil. Malah lebih 2000 petugas media telah kerhilangan pekerjaan dalam setahun dua ini.

Syarikat media harus membuat penyesuaian, begitu juga pimpinan media dan para wartawan sendiri – change or be changed. Mungkin model perniagaan harus berubah atau pendekatan cara kerja juga harus difikirkan semula.

Namum sebagai wartawan, tugas kita tidak berubah. Tuntutan untuk menjadi lebih credible semakin kedengaran. Sekalipun lanskap media telah melalui proses transformasi namun tanggungjawab kita tidak boleh berubah – etika, komitmen dan niat kita. Kata orang news is the first draft of history. Kita pelapor, pencatat dan penganalisis. Kita harus memberikan teguran dan pandangan without fear and favour. Kita dikatakan Kuasa Estet Keempat. Maka itu kita harus memainkan peranan yang sepatutnya kita mainkan.

Ahli politik boleh datang dan pergi. Tapi kita tetap berada di sini. Kita tidak akan dinilai kerana kesetiaan kita kepada mereka tetapi kerana kredibiliti, wibawa dan profesionalisme kita. Itu sahajalah nasihat saya pada pengamal media masa ini.

Saya gembira kerana ada angin segar kebebasan baharu media di negara ini akibat kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihanraya umum tahun lalu. Bagi saya kebebasan baharu itu harus dipertahankan. Manfaatkanlah keterbukaan baharu itu sebaik-baiknya. Bagi kerajaan pula, ini bukan percubaan. Kita tidak mahu keadaan lama berleluasa di mana, the control over the press was inversely proportional to the strength of the ruling party. Bila kerajaan lemah, maka kawalan ke atas media diperketat. Zaman itu mudah-mudahan sudah berakhir.

Namun demikian kebebasan tanpa tanggungjawab pasti membawa kerosakan. Harapan saya hanyalah kerajaan PH akan menunaikan janjinya dalam memastikan undang-undang, akta dan peraturan yang tidak relevan dengan zaman, yang bersifat pukat tunda dan yang membataskan kebebasan bersuara dan media harus dikaji atau dimansuhkan.

Harapan saya juga bahawa ura-ura mewujudkan Majlis Media Malaysia harus dijadikan reality. Ini bagi memastikan integriti kewartawanan kita akan sentiasa dipertahankan. Salah satu elemen penting di dalammya membabitkan press complains bureau. Majlis ini harus merupakan inisiatif industri dan bukan dijadikan sebahagian outfit penguasa.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana penghargaan yang diberikan oleh panel pemilih yang dilantik oleh MPI. Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada keluarga saya – isteri dan anak-anak saya yang harus hidup bersuami dan berbapakan seorang wartawan. Terlalu ramai guru dan pembimbing saya selama juga teman-teman wartawan yang bersama–sama saya dalam susah dan senang.

Juga pada semua teman-teman saya baik di DBP, Utusan Melayu, Media Prima Berhad, juga yang telah memberi saya peluang untuk menulis, menjadi hos program TV, baik di RTM, Media Prima, Sinar Harian atau banyak akhbar dan majalah yang telah hilang dari sejarah yang pernah menyiarkan tulisan saya.

Pada semua, terima kasih.

Saya menerima penghormatan ini bagi pihak para wartawan seluruhnya.