ITBM-MPI setuju berkerjasama terbitkan buku karangan wartawan

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) setuju untuk bekerjasama dengan Malaysian Press Institute dalam menerbitkan buku-buku yang dihasilkan oleh para wartawan di negara ini.

Persetujuan ini dicapai dalam pertemuan antara Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Encik Khir Ngadiron dengan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya di ITBM pada 26 Ogos 2016.

Sebagai permulaan ITBM mencadangkan supaya MPI meminta para wartawan yang mempunyai kolum mingguan mengumpulkan tulisan mereka mengikut tema-tema tertentu dan kemudian diterbitkan dalam bentuk buku.

“Ini adalah cara paling mudah. Tulisan-tulisan itu sudah ada. Cuma wartawan berkenaan perlu menulis pengenalan dan menyusun tulisan-tulisan mereka mengikut tema supaya terdapat kesinambungan dan kaitan antara satu sama lain,” kata Khir.

Pertemuan yang berlangsung pada pagi Jumaat, 26 Ogos 2016 bertempat di Pejabat Pengarah Urusan ITBM di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, diadakan atas permintaan Datuk Dr. Chamil. Ia antara lain membincangkan tentang cadangan yang telah dikemukakan oleh MPI dalam usahanya memberi nilai tambah kepada para wartawan dan industri kewartawanan di Malaysia menerusi penghasilan karya-karya kewartawanan untuk diterbitkan.

Beliau telah mencadangkan supaya MPI dan ITBM mengadakan kerjasama untuk menganjurkan Sayembara Penulisan Buku-buku Kewartawanan khusus untuk pengamal media bagi menggalakkan mereka menghasilkan buku berkaitan bidang tersebut dengan menawarkan hadiah wang tunai yang menarik.

Penganjuran Hadiah Sayembara Penulisan MPI-ITBM ini jika dipersetujui untuk dilaksanakan merupakan satu usaha untuk mendorong pembabitan karyawan dan penulis dalam kalangan wartawan bagi menghasilkan lebih banyak karya-karya kewartawanan yang bermutu serta mempunyai nilai pasaran.

Ia juga dilihat sebagai sumbangan berterusan penulis dalam memperbanyak dan mempelbagaikan khazanah produk kewartawanan di Malaysia.

Khir meminta sedikit masa untuk menimbang cadangan tersebut kerana ia mempunyai implikasi kewangan yang perlu melalui proses-proses tertentu pada peringkat pengurusan ITBM.

Bagaimanapun sementara menunggu keputusan itu dibuat, ITBM tiada masalah untuk menerbitkan karya para wartawan yang mempunyai kolum/ruangan di setiap akhbar atau majalah.

Bagi setiap buku yang diterbitkan, pihak ITBM bersetuju membayar royalti mengikut jumlah cetakan buku.

Menurut beliau sebagai contoh pihaknya telah menerbitkan tulisan Tan Sri Johan Jaaffar yang dihasilkan menerusi kolum beliau semasa menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Malaysia Berhad dengan judul Nota Kaki.

Pada pertemuan itu, Khir juga memaklumkan bahawa pihak ITBM bersetuju untuk menterjemahkan buku terbitan MPI berjudul Strategi Pemujukan Najib Razak dalam Komunikasi Politik ke dalam bahasa Inggeris.

Sept 01 ITBM

Dari kiri :  Puan Norlida Jamain, Pengurus Kanan Operasi dan Korporat MPI; Encik Khair Ngadiron, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM; Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI dan Encik Sakri Abdullah, Pengurus Besar ITBM bergambar kenangan sejurus tamat perbincangan.