Jabatan Penerangan Brunei jalin kerjasama latihan kewartawanan dengan MPI

Jabatan Penerangan Brunei Darussalam berminat untuk memanfaatkan kepakaran Malaysian Press Institute (MPI) dalam bidang latihan kewartawanan untuk pegawai-pegawainya.

Hasrat ini dizahirkan oleh Setiausaha Tetap (Media & Kabinet) Jabatan Perdana Menteri Negara Brunei Darussalam, Haji Mohd Rozan Haji Md Yunus dalam lawatan ke MPI pada petang 13 Mei 2015.

Beliau menerangkan kerjasama itu boleh berbentuk pengiriman pegawai-pegawai penerangan Brunei untuk mengikuti program-program latihan yang dianjurkan oleh MPI di Kuala Lumpur atau untuk MPI menganjurkan kursus-kursus khas di negara itu menggunakan modul latihan sedia ada MPI tetapi disesuaikan untuk memenuhi keperluan penerangan Brunei.

Pemangku Pengarah Penerangan Negara Brunei Darussalam, Mawardi Haji Mohamad yang turut serta dalam lawatan ke MPI itu akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya mengenai bentuk kerjasama yang hendak diadakan nanti.

Dalam lawatan satu jam itu, Chamil telah memberi taklimat kepada rombongan penerangan Brunei itu mengenai empat kegiatan teras MPI meliputi latihan kewartawanan, penganjuran pelbagai hadiah kewartawanan yang dikendalikan oleh MPI, penerbitan-penerbitan MPI dan bidang penyelidikan yang diusahakan oleh institut itu.

Selain Rozan dan Mawardi, turut serta dalam rombongan Penerangan Brunei Darussalam tiga pegawai lain iaitu Pegawai Tugas-Tugas Khas Jabatan Perdana Menteri, Mohd Khairol Azli Haji Kasim, Pegawai Penerangan, Hajah Hamsah Datu Kerna Haji Jaya dan Penolong Pegawai Penerangan, Hajah Noorhijrah Haji Idris.

1. Haji Mohd Rozan Haji Md. Yunos, Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet), Jabatan Perdana Menteri Negara Brunei Darussalam menyampaikan ucapan balas selepas mendengar taklimat mengenai MPI.

2. Chamil (kanan, hujung sekali) memberi taklimat kepada rombongan Jabatan Penerangan Negara Brunei Darussalam sewaktu mereka mengadakan lawatan ke MPI pada 13 Mei 2015.

3. Chamil (kanan) menyampaikan buku-buku terbitan MPI kepada Haji Rozan sebagai tanda kenangan.

4. Bergambar kenangan sebelum meninggalkan MPI. Dari kiri ke kanan: Hajah Noorhijrah Haji Idris, Penolong Pegawai Penerangan, Mohd Khairol Azli Haji Kasim, Pegawai Tugas-Tugas Khas Jabatan Perdana Menteri Negara Brunei Darussalam, Haji Mohd Rozan, Datuk Dr. Chamil, Mawardi bin Haji Mohamad, Pemangku Pengarah Penerangan Negara Brunei Darussalam, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya, Pegawai Penerangan Brunei Darussalam dan pengawai pengiring lawatan dari Jabatan Penerangan Malaysia.