Featured
Jadikan kebebasan media jaminan Perlembagaan Persekutuan

Jadikan kebebasan media jaminan Perlembagaan Persekutuan

Malaysian Press Institute (MPI) mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya memaktubkan kebebasan media di negara ini ke dalam Perlembagaan Persekutuan sama seperti First Amendment yang terdapat di Amerika Syarikat dan Republik Filipina.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya dalam satu kenyataan sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang diraikan hari ini (3 Mei 2020) berkata syor itu perlu dilaksanakan bagi membolehkan media memainkan peranannya sebagai pengimbang dan penyemak kepada tindak tanduk tiga kuasa negara yang lain iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari.

Kata beliau, untuk bertindak sebagai jagawan estet keempat yang bertaring, kebebasan media akan bermakna sekiranya ia dijamin oleh undang-undang tubuh tertinggi negara itu iaitu Perlembagaan Persekutuan.

“Saya percaya sekiranya usul itu di bawa ke Dewan Rakyat, semua ahli-ahli Parlimen akan menyokong cadangan tersebut,” ujar beliau.

Selain itu, bergerak ke hadapan, MPI juga ingin melihat undang-undang yang dianggap mengongkong dimansuhkan segera oleh kerajaan Periktan Nasional.

Ini termasuklah memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984; seksyen-seksyen tertentu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; Akta Hasutan 1948; Akta Rahsia Rasmi 1967.

Menurut Chamil, bergerak ke hadapan, kerajaan juga hendak menimbang untuk memperkenalkan kerangka perundangan berikut bagi menjamin kebebasan media sebenar:

  • Menwujudkan Akta Kebebasan Pengaliran Maklumat atau Freedom of Information Act (FoI).
  • Mewujudkan Akta Melindungi Sumber bagi membolehkan wartawan merahsiakan sumber berita bagi pendedahan berkaitan isu-isu kepentingan awam.
  • Menjadikan Radio dn Televisyen Malaysia (RTM) sebagai sebuah perbadanan penyiaran awam yang dibiayai oleh sumber negara  (seperti British Broadcasting Corporation (BBC) di United Kingdom di United Kingdom atau Australia Broadcasting Corporation (ABC) di Australia) bagi membolehkan RTM memainkan peranan yang bebas daripada pengaruh mana-mana politik – kerajaan dan pembangkang.

Chamil juga berpendapat, penubuhan Majlis Media Malaysia yang terbengkalai selepas berlaku pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020 lalu hendaklah diteruskan.

Menurut beliau, MPI percaya sekiranya cadangan-cadangan itu dilaksanakan oleh kerajaan, kedudukan tahunan Malaysia dalam ranking (World Press Freedom Index) yang diterbitkan pertubuhan Reporters Without Borders yang beribu pejabat di Paris akan melonjak ke tahap yang lebih tinggi.

Bagi ranking tahun 2020 kedudukan Malaysia meningkat 44 anak tangga dan berada pada kedudukan 101 daripada 180 negara yang dipantau.

Untuk tempoh yang lama sebelum ini, kedudukan Malaysia terperuk pada tangga 145 hingga 148.