Kursus
JADILAH “BUKAN PENGACARA BIASA”

JADILAH “BUKAN PENGACARA BIASA”

Jika pada permulaan kursus, tenaga pengajar meminta para peserta berkongsi tentang ketakutan atau permasalahan yang dihadapi setelah dilantik atau diminta untuk menjadi seorang pengacara majlis.

Tetapi pada pengakhiran kursus, dapat dilihat semua peserta memanfaatkan setiap ilmu, kemahiran dan tips yang diberikan bagi mengatasi ketakutan masing-masing melalui sesi praktikal.

Tugas pengacara bukan membaca skrip semata-mata tetapi memastikan majlis yang dikemudikan menjadi luar biasa dan diingati oleh para tetamu yang hadir. Inilah cabaran sebenar dan terbesar yang perlu ditanggung oleh pengacara.

Pengacara bukan biasa adalah pengacara yang bijak memainkan peranan mengikut situasi sebenar, berkredibiliti, mempunyai autoriti dan aura tersendiri ketika majlis berlangsung.

Kursus sehari ini membantu para peserta mengenali potensi diri, menambah baik kemahiran pengacaraan masing-masing, pendedahan kepada persediaan sebelum dan ketika mengacara majlis termasuk sebutan yang betul serta penggunaan gelaran yang tepat bagi tujuan salutasi.

Para peserta mengakui tiga perbezaan teknik pernafasan yang diajar oleh tenaga penceramah membantu mereka untuk mempastikan tona suara sebenar yang digunakan bukan tona suara yang dibuat-buat. Kelunakan suara dapat dilihat perbezaannya setelah peserta melalui sesi kedua ketika mereka menyampaikan skrip masing-masing.

Teknik pernafasan penting kerana ianya membantu mempastikan pembawaan intonasi suara, nada dan stamina pengacara kekal bertenaga.

Kursus “Bukan Pengacara Biasa” anjuran MPI pada 14 Ogos yang lalu dibimbing oleh Ikon Siarawan RTM, Margaret Gambang yang juga merupakan Certified Trainer HRD Corporation.

RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR:

Margaret Gambang tenang, santai dan bertenaga sepanjang kursus berlangsung.
Aksi dua peserta dari BSN ketika mempraktiskan teknik pernafasan berbeza yang diajar oleh tenaga pengajar.
Fatinah (JAPEN) mengakui perbezaan setelah mempraktiskan teknik pernafasan yang diajar bagi membantu beliau tampil sebagai Bukan Pengacara Biasa.
Peserta diminta pada sesi pagi membaca skrip yang diberikan dan pada sesi petang menghasilkan skrip untuk majlis rasmi atau tidak rasmi mengikut pilihan masing-masing dalam masa hanya 10 minit, kemudian membacanya.
Tak cukup sehari kata mereka!! Terima kasih semua.