Kadir Jasin: Etika Kewartawan Terancam

Etika kewartawanan yang dijunjung tinggi oleh pengamal media arus perdana kini sedang diancam oleh pengguna media baharu yang tidak memahami semangat yang terkandung dalam etika yang menjadi pegangan wartawan profesional sejak sekian lama di negara ini.

Pandangan ini dinyatakan oleh Datuk A. KadirJasin, Ketua Pengarang Berita Publishing yang juga merupakan Tokoh Wartawan Negara yang disegani sewaktu menyampaikan ceramah mengenai Etika Kewartawanan : Mitos atau Realiti kepada kira-kira dua puluh lima pelajar Master UUM-MPI di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), cawangan Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2013.

Menurut Kadir, kemunculan media baharu menyebabkan sempadan yang memisahkan antara wartawan profesional dengan wartawan warga semakin kabur.

“Wartawan warga tidak memahami etika. Isu-isu etika, keadilan dan kesamaan menjadi isu yang asing dengan adanya media sosial. Media baharu pada umumnya adalah bebas menyebabkan berlaku persaingan yang tidak sama rata antara media baharu dan media arus perdana dan keadaan inilah yang menjadiancaman sebenar kepada isu-isu etika,” tegas Kadir.

Datuk Kadir menyampaikan ceramah tersebut atas jemputan pensyarah dan pelajar-pelajar Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan (Master of Science – Managerial Communication).

Usaha tersebut adalah sebagai salah satu penambahbaikan bagi modul pembelajaran subjek Seminar in Media and Journalism dalam kalangan pelajar tersebut yang terdiri daripada wartawan-wartawan dan pengamal media.

Mereka mengikuti program ijazah Sarjana Sains selama sekurang-kurangnya lima semester untuk tempoh satu tahun setengah dalam bidang Komunikasi Pengurusan secara pengajian separuh masa di UUMKL. Kumpulan pertama seramai sebelas orang akan menamatkan pengajian pertengahan 2014.

Selain para pelajar, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya dan dua pensyarah Komunikasi UUM, Dr. Adrian Budiman dan Dr. Mohd.Khairie Ahmad turut hadir mendengar ceramah tersebut.

Yusanani Yushak, salah seorang pelajar sarjana UUM-MPI yang memulakan pengajian mulai pertengahan September 2013, bertindak sebagai moderator.

Dalam ceramahnya, Datuk Kadir, yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press, antara lain membangkitkan permasalahan berpegang kepada etika di kalangan pengamal media berikut kemunculan media sosial.

Menurut Datuk Kadir, permasalahan etika kewartawanan di kalangan wartawan media arus perdana yang masih lagi dapat dibendung dan dikuatkuasakan dengan adanya pelbagai akta dan peraturan.

Tetapi berlainan pula halnya dengan permasalahan etika di kalangan pengamal media baharu yang berasakan mereka tidak tertakluk dan terikat dengan sebarang undang-undang atau etika.

Menurut beliau, pengamal media baru sukar dikawal kebebasannya kerana kebanyakan pelopornya terdiri daripada bukan wartawan yang pernah terdedah dengan undang-undang dan peraturan khusus.

Sebagai wartawan profesional yang juga aktif di blognya, Datuk Kadir menasihatkan para penggiat media baharu agar lebih berhati-hati dalam memilih sumber informasi dan lebih bertanggungjawab dalam tulisan mereka bagi menjamin kredibiliti mesej yang disampaikan.

Beliau juga mencadangkan supaya kalangan yang berasa difitnah atau dibuli oleh pengamal media baharu supaya mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya dan tidak membiarkan mereka melaporkan apa sahaja yang tidak betul mengenai mana-mana pihak.

Pembohongan atau pemalsuan fakta, jika diulang berkali-kali akan diterima sebagai kebenaran, kata Datuk Kadir.

“Barangkali hanya dengan tindakan undang-undang masyarakat boleh mendisiplinkan pengamal media baharu dan menyampaikan mesej yang kuat kepada golongan yang menyalahgunakan kebebasan yang terdapat dalam sosial media,” kata Kadir.

Pada akhir ceramah, para pelajar Kumpulan 1, 2 dan 3 tidak melepaskan peluang merakamkan gambar bersama Datuk Kadir.

Kumpulan 1 adalah kumpulan perintis terdiri dari pada sebelas pelajar yang telah pun memulakan pengajian mereka sejak September 2012 dan kini berada di Semester 4.

Diikuti oleh Kumpulan 2 terdiri daripada tujuh pelajar yang mendaftar sejak Mei 2013 manakala Kumpulan 3, juga tujuh pelajar baru sahaja mendaftar dan memulakan pengajian pada pertengahan September 2013 lalu.

1. Di akhir ceramah, Datuk A. Kadir Jasin (duduk lima dari kiri) dan Datuk Chamil Wariya (duduk lima dari kanan) bergambar bersama kesemua Kumpulan 1, 2 dan 3 pelajar Master in Managerial Communication, UUMKL.

2. Datuk Kadir ketika menyampaikan ceramah Etika Kewartawanan : Mitos atau Realiti

3. Datuk Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI sedang menulis sesuatu dan Dr. Adrian Budiman, pensyarah UUMKL sedang khusyuk mendengar ketika ceramah Datuk Kadir berlangsung.

4. Ahmad Fauzi Mustafa (berdiri), salah seorang pelajar dari Kumpulan Pertama sedang menanyakan sesuatu kepada Datuk Kadir di sesi soal-jawab.

5. Yusanani Yushak bertindak sebagai moderator program.

6. Kumpulan Kedua pelajar Master in Managerial Communication, UUMKL bergambar bersama Datuk A. Kadir Jasin. Duduk dari kiri : Muhamad Mat Yakim (Sinar Harian), Jasni Shafie (Al-Hijrah), Datuk Kadir dan Mazizul Dani (BERNAMA). Berdiri dari kiri : Tuan Norazimah Tuan Mohamed (Al-Hijrah), Rosmalis Anuar (BERNAMA), Nur Ashikin Abdul Aziz (BERNAMA) dan Noor Haida Halim (Al-Hijrah).

7. Kumpulan Ketiga pelajar Master in Managerial Communication, UUMKL bergambar bersama Datuk A. Kadir Jasin. Duduk dari kiri :Yusanani Yushak (penceramah bebas), Datuk Chamil Wariya, Datuk Kadir, Dr. Adrian Budiman dan Sharifah Mardhiah Syed Ahmad (UUMKL). Berdiri dari kiri : Mohd. Farid Teh Kamaruddin (MPPJ), Mahathir Latib (Parlimen), Dzulfadli Affendi (YPM Realties) dan Shamshul Rizlan Rosli (Imigresen, KDN).

8. Dua pelajar(lelaki) dari Kumpulan Ketiga ketika sesi pedaftaran kursus Master in Managerial Communication di UUMKL pada 14 September 2013 lalu.

9. Puan Yusanani Yushak (berbaju merah), penceramah bebas dan mantan Personaliti TV turut mendaftar sebagai pelajar Kumpulan Ketiga mengikuti pengajian Master in Managerial Communication di UUMKL.

10. Para pelajar Kumpulan Ketiga mengisi borang-borang berkenaan pada hari pendaftaran.

Foto oleh Arman Ahmad pelajar Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan (Master of Science – Managerial Communication).