ANUGERAH
KARYA TERBAIK KEWARTAWANAN MALAYSIA 2022 DIIKTIRAF

KARYA TERBAIK KEWARTAWANAN MALAYSIA 2022 DIIKTIRAF

Kuala Lumpur, 9 Jun 2023 – Industri kewartawanan diraikan dengan penuh bermakna apabila pimpinan tertinggi kerajaan, YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir ke Malam Wartawan Malaysia 2023 anjuran Malaysian Press Institute (MPI).

Turut sama hadir Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, YB Teo Nie Ching dan Puan Liza Mustapha, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PETRONAS.

Lebih 800 tetamu sebahagian besarnya komuniti pengamal media, pengamal komunikasi korporat dan perhubungan hadir mewarnai majlis tersebut.

Malam Wartawan Malaysia (MWM) adalah acara tahunan yang dinantikan oleh pengamal media Malaysia bertujuan meraikan karya-karya kewartawanan terbaik sepanjang tahun 2022 menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2022 (HKM MPI PETRONAS 2022).

Lebih empat dekad penganjurannya majlis ini terus didokong dengan sokongan luar biasa dan berterusan daripada PETRONAS (Petroliam Nasional Berhad) sebagai penaja tunggal HKM sejak tahun 1994 hingga kini. Untuk rekod Malayan Tobacco Company (MTC) adalah penaja awal HKM antara 1980 hingga 1993.

Tahun ini menyaksikan 44 organisasi media bersaing untuk memenangi hadiahhadiah utama HKM 2022 iaitu pemenang emas dengan nilai wang hadiah RM 10,000, pemenang perak bernilai RM1,500 dan pemenang gangsa dengan nilai hadiah RM 1,000.

Seramai 84 orang menerima hadiah masing-masing. Tentunya tumpuan utama diberikan kepada pemilik karya yang bakal dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai iaitu kategori yang tertinggi dipertandingkan untuk karya yang luar biasa cemerlang dan dimuktamadkan oleh panel hakim HKM 2022. Penerima bakal membawa pulang nilai wang hadiah RM 30,000.

Majlis dimulakan dengan Datuk Dr. Chamil Wariya menyampaikan ucapan alu-aluan

Menurut Pengerusi MWM 2023, Datuk Dr Chamil Wariya “tahun ini memperlihatkan peningkatan penyertaan HKM berbanding tahun sebelumnya dengan unjuran kenaikan 9.33% atau 386 penyertaan berbanding 350 yang diterima tahun sebelumnya.

Penyertaan tertinggi diterima daripada kategori Berita Video Terbaik dengan 57 penyertaan, disusuli Penulisan Rencana Cemerlang dengan 50 penyertaan dan Kewartawanan Foto Cemerlang, 38 penyertaan”.

Tambah Chamil, “ MPI hormati keputusan pemenang yang dibuat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak di dalam dan di luar MPI. Panel hakim yang dilantik merupakan kalangan profesional dan berpengalaman dalam kewartawanan tetapi tidak terikat dengan mana-mana pertubuhan media.

MPI mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang HKM MPI PETRONAS 2022 dan berharap industri media menyokong penuh terhadap program-program kewartawanan yang dianjurkan oleh MPI tidak tertumpu kepada anugerah sahaja malah program-program latihan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan pelancaran buku The MPI Journey – 56 Years And Counting

MPI juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja dan penyumbang yang menghulurkan sumbangan kewangan bagi menjayakan penganjuran MWM 2023.

MPI yakin sokongan berterusan, padu dan kerjasama erat antara Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, Kementerian, agensi-agensi di bawahnya dan syarikat korporat membantu meletakkan profesion kewartawanan setanding dengan profesion-profesion yang lain melalui kepelbagaian pengiktirafan selaras dengan petikan tulisan YAB Perdana Menteri dalam facebooknya “mengenai pentingnya tanggungjawab dan peranan pengamal media dalam memaknai erti pembangunan dan demokrasi negara”.