ANUGERAH
Ke Arah Persediaan APOSHO 2023

Ke Arah Persediaan APOSHO 2023

*Tekan sini untuk muat turun kenyataan media dalam format pdf

Kenyataan Media: Pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022

(16 April 2022)

Ke Arah Persediaan APOSHO 2023

Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, atau Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH) menyatakan kesiapsediaannya untuk menganjurkan Persidangan Asia-Pacific Occupational Safety and Health Organization (APOSHO) 2023.

Menurut Presiden MSOSH Dr Shawaludin Husin, peranan MSOSH sebagai penganjur Persidangan APOSHO kali ke-37 tersebut akan mengeratkan lagi kesefahaman dan kerjasama antara Negara-negara Ahli APOSHO dengan Malaysia.

Persidangan Tahunan pertama APOSHO dianjurkan pada Ogos 1985 di Singapura yang pada peringkat awal dikenali sebagai Majlis Keselamatan Negara Asia Pasifik, atau Asia-Pacific National Safety Councils.

Nama tersebut diubah kepada APOSHO pada Persidangan Tahunan kali ke-8 pada tahun 1992.

Kata Dr Shawaludin, sehingga tahun 2020, terdapat 39 badan yang menganggotai APOSHO dari 21 buah negara, dengan dua atau lebih organisasi hadir dari negara Australia, China, Indonesia, Korea, Malaysia, Mauritius, Thailand dan Vietnam.

Terdiri daripada ahli daripada pelbagai lapisan pertubuhan di luar dan di rantau Asia Pasifik, badan-badan yang berdaftar dengan APOSHO berperanan untuk mengembangkan agenda amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

“Ini adalah kali ketiga MSOSH diberi penghormatan dan mandat untuk menganjurkan APOSHO.

“Pelbagai tumpuan akan diberikan sesuai dengan krisis kesihatan yang melanda dunia ketika ini dan bagaimana amalam KKP perlu diterapkan selaras dengan kesan daripada wabak Covid-19,” kata Dr Shawaludin selepas melancarkan Anugerah Media MSOSH 2022 di Subang Jaya, Selangor.

“Kita harapkan penganjuran kali ke-37 nanti dapat memantapkan lagi rangkaian kerjasama dan perkongsian maklumat serta idea di kalangan negara-negara anggota,” tambahnya.

Seiring dengan persediaan MSOSH di dalam penganjuran APOSHO, Dr Shawaludin berkata Anugerah Media MSOSH kali keempat bakal memfokuskan pelaporan isu-isu KKP di rantau Asia Pasifik.

“Kita mahu pelaporan, rencana atau program yang lebih komprehensif dan kritis di dalam mengolah isu KKP di negara dan di negara rantau.

“Dengan langkah ini, kita dapat membuka lebih banyak ruang kepada pemain industri KKP serta ahli akademik untuk memberi input serta pandangan mengenai KKP di Malaysia,” katanya.

Pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022 disempurnakan oleh CEO Malaysian Press Institute (MPI) Dato Dr Chamil Wariya.

Anugerah Media MSOSH bermula pada tahun 2019 bagi memupuk kesedaran orang awam mengenai KKP melalui pelaporan media.

“Kita harap dengan penyertaan yang semakin baik dari tahun ke tahun, penyertaan kali ini akan lebih baik dari tahun lalu dengan kualiti pengisian yang lebih mantap dan berwibawa.

“Saya menyeru para wartawan untuk menyahut cabaran untuk meneroka pemahaman KKP di negara-negara luar. Sektor KKP adalah sangat penting dan sangat inklusif.

“Setiap daripada kita mempunyai bidang kerja dan pekerjaan akan melibatkan risiko kemalangan. Adalah penting untuk memahami bagaimana kita dapat mencegah kemalangan dan sentiasa sihat di tempat kerja,” kata Dato Dr Chamil Wariya.

Dalam pada itu, Dr Shawaludin juga menjelaskan beberapa perkembangan positif KKP di dalam negara.

“Antaranya pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pindaan 2022 yang baru diluluskan serta perancangan dasar / Pelan Induk KKP Negara  OSHMP 2021 -2025 yang dilancarkan tahun lalu yang memperkasakan KKP di di Sektor Awam.

“Selain itu, MSOSH juga sedang merangka Pelan Induk MSOSH 2022-2026 yang antaranya mencadangkan konsep talian bantuan – OSH Korporat Helpline untuk membantu dan memandu majikan di dalam hal-hal berkaitan perundangan dan tatacara KKP di Malaysia,” tambahnya.

Penyertaan untuk Anugerah Media MSOSH yang dibuka hari ini akan berkahir pada 10 Julai 2022.

Wartawan yang berminat boleh melawati laman sesawang https://mpi.my/release/anugerah-media-msosh-2022.

TAMAT