Kursus
KEMAHIRAN CIPTA STORYBOARD JADI TARIKAN

KEMAHIRAN CIPTA STORYBOARD JADI TARIKAN

Oleh PUAN NUR RAMIZAH ABDUL AZIZ.

Isu pandemik COVID-19 yang hampir dua tahun menjengah kehidupan kita sedikit sebanyak memberi impak kepada perkhidmatan dan pembangunan bisnes sesuatu organisasi. Banyak organisasi perlu berhijrah ke media sosial untuk tujuan promosi produk mahupun perkhidmatan. Kekangan pandemik sememangnya menghalang urusan sesebuah organisasi apabila kebanyakan pekerja harus bekerja dari rumah dan berkomunikasi dengan pelanggan dan klien melalui media sosial. Walaupun bekerja dari rumah, namun pekerja harus kreatif dalam memasarkan produk mereka.

MPI menyediakan inisiatif dengan membuka peluang kepada organisasi bagi mempelajari dan memperkasakan kemahiran pemasaran media digital dari kalangan korporat dan media dengan menganjurkan kursus Creative Digital Media (Marketing) selama dua hari pada 18 – 19 Ogos 2021 melalui platform Atas Talian (Google Meet).

Seramai 31 peserta dari pelbagai agensi telah menyertai kursus ini. Sesi kursus telah sukses disempurnakan oleh Ainol Amriz Ismail, Penolong Pengarang yang juga Penerbit Rancangan UTUSANTV. Ainol Amriz Ismail atau lebih mesra disapa ‘Hj Bro’ telah berkongsi banyak ilmu berkaitan pemasaran media digital dengan peserta.

Pada hari pertama kursus, semua peserta didedahkan dengan konsep penulisan kreatif yang menyentuh pemilihan gaya penulisan yang sesuai di media sosial. Peserta juga belajar cara-cara menghasilkan tulisan kapi atau copywriting yang mana teori-teori ini akan digunakan dalam aktiviti individu semasa sesi praktikal kursus.

Peserta juga diajar dengan teknik-teknik mengambil gambar dari sudut berbeza untuk mendapatkan gambar yang berkualiti dan berimpak tinggi. Hj Bro banyak menekankan isu suntingan dan rakaman gambar yang baik dengan berkongsi seberapa banyak tips berguna.

Peserta juga didedahkan dengan teknik penghasilan papan cerita atau storyboard yang menjadi topik penting kursus ini kerana storyboard lah yang akan menentukan samada video tersebut berjaya dihasilkan. Peserta diberi masa untuk memikirkan idea penghasilan storyboard masing-masing dengan tema “Khidmat Masyarakat”. Mereka diberikan tugasan untuk menyiapkan video bertema tersebut untuk dipersembahkan hasil masing-masing pada hari kedua.

Meskipun masa yang diberikan tidak sampai sehari bermula dari tamat kursus hari pertama untuk menyiapkan satu video bertema, namun kesungguhan yang diterapkan oleh setiap peserta sehingga berjaya menyiapkan sebuah video dalam masa yang ditetapkan adalah sangat mengagumkan.

Sesi hari kedua berlangsung dengan produksi menggunakan telefon pintar. Peserta diajar teknik berhadapan dengan kamera telefon pintar, membuat standupper, pengucapan awam asas, penulisan bahasa tutur dan voice over dengan gaya dan lenggok yang betul. Semua peserta teruja mencuba bercakap di hadapan kamera dan penceramah akan menilai gaya dan lenggok peserta semasa bercakap.

Sesi diteruskan dengan persembahan oleh para peserta yang telah menyiapkan storyboard video bertema masing-masing. Peserta begitu bersungguh-sungguh dalam menyiapkan tugasan diberi walaupun menghadapi kekangan masa.

Para peserta berjaya menghasilkan video yang baik dan berkualiti mengikut standard yang ditetapkan oleh penceramah. Sesi persembahan ini paling dinanti-nanti kerana peserta akan melihat dan turut menilai video rakan-rakan lain. Para peserta juga aktif menyuarakan pendapat masing-masing. Menjelang jam 3 petang para peserta telah bersedia dengan hasil persembahan masing-masing untuk dibentangkan.

Secara keseluruhannya semua peserta berpuas hati dengan kursus media digital ini. Kekuatan kursus lebih kepada penyampaian penceramah iaitu Hj Bro yang berjaya mencapai matlamat kursus dua hari ini. Para peserta berpendapat kursus ini perlu dianjurkan lagi dengan Hj Bro sebagai penceramahnya.

RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR

Encik Ainol Amriz atau Hj Bro menyampaikan ceramah beliau dengan cara yang sangat santai.
5W1H yang sentiasa ditekankan dalam setiap penulisan.
Antara poster pengiklanan yang dikongsikan oleh seorang peserta dari PETRONAS.
Lakaran storyboard sebelum video dihasilkan.
Peserta sedang asyik melihat video yang telah dihasilkan oleh peserta terdahulu bagi mendapatkan idea.
Antara hasil video oleh salah seorang peserta dari JAPEN sedang dipertontonkan kepada semua dengan tema “Khidmat Masyarakat”.
Para peserta bergrup foto dengan penceramah di akhir sesi kursus. Terima kasih semua!