Kursus
KSU Kementerian Industri Utama kagum dengan peralatan kamera Media Relations Training MPI

KSU Kementerian Industri Utama kagum dengan peralatan kamera Media Relations Training MPI

Dato’ Dr. Tan Yew Chong, Ketua Setiausaha, Kementerian Industri Utama kagum dengan set peralatan kamera ‘mini studio’ yang telah tersiap-sedia pada awal pagi Khamis, 5 September 2019 di salah satu bilik kursus di Hotel Everly, Putrajaya dan seterusnya menaikkan semangat ‘ceria’nya menghadiri Media Relations Training anjuran Malaysian Press Institute (MPI) pada hari tersebut.

Peralatan kamera ‘mini studio’ tersebut adalah milik MPI yang sering dibawa, dipasang dan digunakan dalam mana-mana kursus ‘customised’ MPI. Ia menggunakan kaedah ‘Multiple Camera Production’ atau ringkasnya MCP yang merupakan satu penerbitan video dengan menggunakan dua atau lebih kamera video. MPI sentiasa menjaga kualiti kursusnya dengan memastikan penghasilan video yang menggunakan dua kamera atau lebih ini dikendalikan oleh ramai krew yang pakar dan cekap bagi membantu menghasilkan penerbitan bercorak latihan yang berkualiti tinggi.

Dalam Ucapan Aluannya kepada lebih 40 peserta terdiri daripada para pegawai pengurusan kanan kementerian dan agensi, Dato’ Dr. Tan mengingatkan mereka memanfaatkan sepenuhnya kemudahan kursus bagi mengasah lagi kemahiran mereka ketika berhadapan dengan wartawan dan media. Apatah lagi sesi-sesi kursus dibimbing oleh tokoh-tokoh media seperti En. Suhaimi Sulaiman, Mantan Ketua Editor, Astro AWANI; Datuk A. Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara 2011 yang kini adalah Penasihat Khas Media & Komunikasi kpd YAB Perdana Menteri dan personaliti TV tersohor, Puan Yusanani Yushak yang pernah berkhidmat sebagai penyampai Buletin Utama TV3. Dato’ Dr. Tan tidak lupa berpesan kepada mereka agar bertanyakan banyak soalan kepada pengajar-pengajar tersebut.

Antara pengurusan kanan kementerian dan agensi yang mengambil bahagian dalam kursus ini ialah : Cik  Vathani a/p Panichellvum, Setiausaha Akhbar kepada Menteri; En. Mad Zaidi bin Mohd. Karli, Setiausaha Bahagian Kanan Kemajuan Industri Kayu Kayan, Tembakau dan Kenaf (KTK); En. Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman, Ketua Komunikasi Korporat Kementerian; En. Mohd. Saufi Awang, Ketua, Unit Teknologi Informasi & Khidmat Korporat, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB); En. Chew Jit Seng, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC); En. Richard Yu, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Perkayuan Malaysia (MTC); dan En. Brandon Chan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC).

Berdasarkan maklumbalas yang diterima pada akhir kursus, rata-rata peserta menyatakan mereka berpuas hati dengan kursus intensif sehari ini kerana telah didedahkan dengan selok belok tampil berwibawa apabila ditemuramah oleh wartawan televisyen, membina reputasi organisasi dan bagaimana untuk mengendalikan media apabila berhadapan dengan krisis.

FOTO SEKITAR KURSUS :

Dato’ Dr. Tan Yew Chong, Ketua Setiausaha, Kementerian Industri Utama menyampaikan Ucapan Aluan sebelum kursus bermula.
Dato’ Dr. Tan Yew Chong bergambar dengan semua peserta dan pengajar sesi pertama, En. Suhaimi Sulaiman, Mantan Ketua Editor, Astro AWANI.
Sesi pertama “Menangani media semasa krisis” disampaikan oleh En. Suhaimi Sulaiman (kiri), Mantan Ketua Editor, Astro AWANI manakala sesi kedua “Mewujudkan hubungan yang berkekalan bersama Media” disampaikan oleh Datuk A. Kadir Jasin (kanan), Tokoh Wartawan Negara 2011/Penasihat Khas Media & Komunikasi kpd YAB Perdana Menteri.
Sebelum sesi praktikal, Puan Yusanani Yushak, mantan penyampai Buletin Utama TV3 memulakan kelas dengan serba sedikit penerangan mengenai “Bagaimana Tampil Berkesan melalui Komunikasi Video dan Visual”.
Sesi praktikal “Komunikasi Video dan Visual” – dengan kaedah MCP, jurukamera bukan sahaja merakam program wawancara malah mengenal pasti dan merekod kesalahan-kesalahan peserta pada setiap sudut.
Dengan teliti, krew yang menjadi ‘switcher’ memilih gambar atau visual yang hendak dirakam semasa program berlangsung untuk dimainkan semula semasa sesi penilaian.
Para peserta bergambar kenangan dengan Puan Yusanani Yushak berlatar belakangkan ‘mini studio’ selepas sesi praktikal.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya turut hadir meraikan para peserta Media Relations Training dengan menyampaikan sijil penyertaan. Turut kelihatan di dalam gambar ialah En. Brandon Chan (kanan), Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) dan En. Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman (kiri), Ketua Komunikasi Korporat, Kementerian Industri Utama.