Kerana Siti Sarah saya berjaya menjadi wartawan
Teks Ucapan Penerimaan yang disampaikan oleh Datuk A. Kadir Jasin pada majlis penganugerahan Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia pada petang 16 Julai 2012. Majlis penganugerahan telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Adalah kebiasaan dalam upacara seperti ini bagi hadiran mengharapkan penerima menyatakan sesuatu yang mendalam – profound – dan si penerima pula berasa perlu mempamerkan kehebatannya.
Kalau andaian saya itu tepat dan saudara saudari mengharapkan sesuatu yang “profound”, saya mohon maaf. Saya tidak akan menyatakan apa-apa pun yang mendalam.
Saya sekadar hendak bercerita, mengucapkan syukur kepada Ilahi dan terima kasih kepada begitu banyak orang dan pihak yang menolong meletakkan saya di mana saya berada hari ini, bersama nama-nama besar dunia kewartawanan Malaysia – A Samad Ismail, Lee Siew Yee, Ishak Haji Muhammad, Mohd Fuad Stephans, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Zainuddin Maidin dan Liew Chen Chuan. Berada di kalangan mereka, yang sesetengahnya adalah guru, ketua dan mentor saya, adalah penghormatan yang sangat mencabar.
Mula-mula sekali saya ucapkan terima kasih kepada Siti Sarah, anak tok panglima yang cantik jelita. Kerana kerinduan kepadanyalah, berkesudahan dengan saya menjadi seorang pemberita. Kepada jiwa remaja saya, dialah gadis Melayu paling jelita. Kerana kejelitaan dan ketinggian pangkalan sosialnya, maka rindu saya kepadanya kelu, tidak terucapkan. Sah, sampai hari ini pun dia tidak tahu tentang rindu dan berahi saya kepadanya.
Pada suatu senja, pada bulan Mei tahun 1969, ketika mengayuh basikal lima kilometer pulang ke rumah setelah mencuri pandang Siti Sarah menyapu sampah di halaman rumahnya, sepupu merangkap teman akrab saya, Nawawi memberitahu mengenai iklan jawatan wartawan oleh Bernama dalam akhbar Utusan Malaysia. Mungkin itulah tuah Siti Sarah. Saya memohon dan memperoleh jawatan pemberita percubaan. Tepat sebulan lalu, pada 16 Jun, gelaplah 43 tahun saya menjadi wartawan.
Cinta lara saya terhadap Siti Sarah kekal bisu sebagai legasi jiwa remaja yang sarat dengan asmara. Terima kasih Siti Sarah, di mana pun anda berada.
Dan kepada Allahyarham ayah saya, yang kalau tidak kerana kata dua dan aspirasinya, saya mungkin meneruskan cita-cita zaman kanak-kanak untuk menjadi penjerat burung yang terhebat di kampung saya, sehebat datuk saya. Kata ayah (dengan izin): “Hang mengaji pandai-pandai atau jadi macam aku ikut pungkur kerbau.”
Ayah lulus darjah empat sekolah rumi dan empat tahun sekolah pondok, menjadi pesawah, peniaga kecil, anggota Home Guard dan politikus kampung. Tetapi dia seorang Melayu yang intelektual yang mendahului zaman serta tempat mastautinnya.
Dia memperkenalkan saya kepada Gamal Abdel Nasir, Soekarno, Dr Muhamed Hatta, Kwame Nkrumah, Jomo Kenyatta, Fidel Castro, Ho Chi Minh dan Marshall Tito dan kepada hikayat erotik Seribu Satu Malam yang saya curi baca. Dia juga, dengan izin, seorang “buffalo whisperer” – pembisik kerbau – yang hebat. Dia boleh memerintah kerbau yang membantunya di bendang untuk berjalan, berhenti, pusing kanan dan kiri. Terima kasih ayah, moga-moga rohmu sentiasa dirahmati.
Kepada emak yang tidak kenal abc dan alif ba ta. Wanita kampung yang buta huruf inilah yang melahirkan dan membesarkan lapan orang anak dalam suasana yang serba kekurangan. Wanita yang masih mengusap rambut saya dan mencium saya seolah-olah saya tidak pernah dewasa. Terima kasih emak. Moga-moga Allah panjangkan usiamu.
Dalam suasana dunia baru tanpa sempadan di mana ramai ibu bapa lebih berupa “pembuat dan pengeluar” daripada pendidik, mempunyai ibu bapa yang peka dan peduli adalah rahmat yang sangat besar.
Kerana itu jugalah dalam penulisan saya, saya kerap menyentuh tentang peri perlunya amalan keibubapaan yang sempurna dan unggul.
Saya juga, seperti banyak saudara saudari di sini, tidak akan berada di mana kita berada kalau tidak kerana guru-guru kita yang peduli, komited dan penuh pengorbanan seperti Allahyarham Cikgu Datuk Shaari Abu Bakar, guru besar saya di Sekolah Melayu Pendang pada tahun 50-an yang telah saya ceritakan berulang kali.
Dialah guru dan dialah bapa pengganti (surrogate father) pendidikan saya. Saya telah menceritakan bagaimana pada suatu hari dia menyatakan yang dia akan membawa saya menduduki satu peperiksaan di Alor Setar. Dengan kereta Morris Minornya, dia membawa 5 orang murid darjah 4 untuk menduduki peperiksaan Special Malay Class Entrance Examination.
Kerana tidak tahu hujung pangkal saya gagal. Pada tahun berikutnya, beliau membawa saya sekali lagi untuk menduduki peperiksaan yang sama. Kali ini saya berjaya. Maka bermulalah pendidikan aliran Inggeris saya.
Cikgu Shaari telah lama kembali ke rahmatullah. Tetapi bersama kita hari ini ada seorang lagi guru seperti itu yang mengajar saya bahasa dan sastera Melayu dan lebih daripada itu, mengenai kesederhanaan dan dedikasi. Terima kasih Cikgu Datuk Wan Shamsuddin Wan Mohd Yusof, Tokoh Guru Kedah, Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Maal Hijrah Kedah.
Banyak lagi orang seperti itu dalam hidup saya – daripada gadis-gadis jelita yang buat mereka saya tuliskan puisi dan seloka cinta kepada orang politik yang mengajar saya bahawa kebenaran (truth) tidak semestinya fakta tetapi apa yang umum percaya dan Dugalia Huso, mangsa pembersihan etnik orang Serbia di Bosnia Herzegovina Serbia yang diseksa semata-mata kerana dilahirkan tidak sempurna.
Kepada Allahyarham Tun Ghazali Shafie aka King Ghaz yang menengking saya di hadapan ratusan orang besar di Lapangan Antarabangsa Subang pada 1981. Akibat tengkingan itu saya mendalami hal-hal berkaitan perang saraf dan dasar luar Malaysia.
Saya bertuah kerana perjalanan kewartawanan saya telah mencakupi zaman semua Perdana Menteri Malaysia – bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera, anak raja yang jiwanya bersama rakyat jelata. Tunku yang tidak berpura-pura tentang dirinya dan tidak membezakan antara seorang wartawan veteran dengan pemberita muda seperti saya.
Membuat liputan kegiatan Tunku pada tahun-tahun akhir pentadbirannya dan tahun-tahun awal kerjaya saya adalah pengalaman yang menjadi akar tunjang dan tiang seri karier saya. Pernah suatu ketika dalam lawatan ke Langkawi, wartawan-wartawan kanan meminta ulasan Tunku mengenai kenyataan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew. Tunku cuma menjawab dengan dua patah perkataan yang tidak sedap pada pendengaran.
Saya tidak melaporkannya. Sebaliknya saya menulis mengenai rancangan Tunku memajukan Langkawi menjadi destinasi pelancongan. Keesokan harinya saya terperanjat besar dan bos-bos saya di Kuala Lumpur marah besar kerana saya, dengan izin telah “missed” satu berita yang besar di mana Tunku dilaporkan telah mengecam hebat Encik Lee.
Saya bergegas ke pejabat Utusan Melayu di Alor Setar dan bertanya wartawan “eccentricnya”, Pak Mansor Tobeng bilakah Tunku menyatakan hal seperti yang dilaporkan oleh Utusan Melayu, Straits Times dan Straits Echo itu?
Pak Mansor menjawab, dengan Tunku kita boleh membuat interpretasi kenyataannya asalkan telahan kita itu tepat dan positif. Peristiwa itu memperkenalkan saya kepada “interpretative reporting” secara literal dan kepada keistimewaan – privilege – yang dinikmati oleh wartawan.
Seperkara lagi yang saya pelajari mengenai Tunku adalah masa terbaik mendapatkan maklumat dan ulasan daripada beliau adalah selepas beliau menang golf atau selepas tidur sebentar selepas makan tengah hari.
Sekali pernah Tunku memberikan saya interview eksklusif mengenai perjanjian pertahanan 5 negara yang membabitkan Malaysia, Singapura, Britain, Australia dan New Zealand. Interview ini berlangsung di bawah sayap kapal terbang di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Entahlah, mungkin saya nostalgia atau zaman sudah berubah dan yang berlalu itu tidak akan kembali lagi, tetapi pada awal-awal kemerdekaan tanah air kita sehingga beberapa dekad selepas itu, wartawan – tua dan muda – mudah berjumpa untuk bertanya dan mencari berita daripada pemimpin segenap lapisan sehinggalah Perdana Menteri.
Walaupun ancaman komunis bersenjata masih berlaku, Perdana Menteri awal seperti Tunku dan Tun Abdul Razak seolah-olah tidak mempedulikan keselamatan peribadi mereka. Ke mana pun mereka pergi, mereka dikelilingi rakyat. Polis dan tentera berada jauh, sekadar melihat dan mengawasi. Tidak wujud pada waktu itu istilah turun padang kerana pemimpin yang dipilih rakyat sentiasa berada di padang, sawah dan bendang, kebun dan ladang bersama rakyat jelata yang memilih mereka.
Kata pujangga, masa berlalu suasana berubah. Hari ini, sama ada kerana kesilapan menggunakan bahasa atau kecetekan pemikiran, kita setiap hari membaca tentang pemimpin dan pembesar turun ke padang seolah-olah wujud kekangan dan pemisahan di antara yang dipilih dan yang memilih.
Hari ini, wartawan tidak lagi perlu berkejar ke hulu-hilir berebut-rebut mencari telefon awam, meminjam telefon balai polis dan kedai kopi cina untuk menghantar berita.
Mereka tidak perlu lagi mengetuk kuat mesin taip Royal, Underwood atau Olivetti. Mereka tidak perlu lagi belajar menggunakan teleprinter dan membaca pita berlubang (perforated tape). Mereka tidak perlu lagi mencari pejabat Western Union di Wall Street, memberi wang saku kepada pengendali mesin teleprinter di Kantor Pos, Jalan Jeneral Sudirman di Jakarta atau membawa kad kredit International Telecommunication Union (ITU). Segala-galanya ada di hujung jari.
Mungkin kerana itu jugalah kreativiti seperti yang saya ketahui pada zaman saya dan diajarkan di kelas-kelas kewartawanan, mula menjadi sesuatu yang asing bagi banyak pengamal media.
Pembacaan, penyelidikan dan artikulasi telah digantikan oleh jalan pintas Google dan Yahoo di mana potong dan tampal sudah menjadi amalan. Tidak hairanlah kalau plagiarisme dan ciplak telah menggantikan kreativiti dan ketulenan.
Menjadi pemberita mudah. Tulis berita jadilah kita pemberita. Tetapi untuk menjadi wartawan yang unggul dan berguna kepada masyarakat, lebih sukar daripada itu. Sedikit sebanyak ia memerlukan ketekunan, keberanian dan pengorbanan. Ia memerlukan kecintaan kepada ilmu dan keinginan untuk berkongsi idea dengan khalayak.
Wartawan, hatta betapa baik dan mesra wataknya tidak mempunyai kawan. Kerana kawan boleh menjadi lawan dengan sebaris tulisan atau seminit ucapan. Wartawan hanya mempunyai kenalan.
Tetapi sekiranya kenalan boleh menjadi sahabat yang abadi, maka terbuktilah bahawa masyarakat sudah boleh menerima kritikan dan mengiktiraf peranan media sebagai pelapor, pengajar dan penghibur. Itulah suasana unggul yang saya rasa yang perlu diwujudkan iaitu wartawan bebas membuat laporan dan ulasan tanpa khalayak berasa bahawa ada agenda di sebaliknya.
Untuk menyemarakkan suasana yang unggul itu, wartawan haruslah lebih gigih, lebih bersedia belajar, lebih berani menyatakan pandangan dan tidak terlalu akrab dengan kelompok-kelompok kuasa sehingga mereka menjadi terikat dan terhutang budi, dan kerana itu tidak dapat lagi berkarya dengan bebas dan terbuka.
Wallahualam. Terima kasih.