Kerjasama strategik MPI UUM untungkan wartawan

Teks ucapan Ketua Pegawai Eksekuutif MPI, Datuk Chamil Wariya pada majlis permeteraian perjanjian antara Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mengadakan program sarjana dalam bidang komunikasi di kampus UUM, Sintok, Kedah pada 2 Julai 2012, jam 3 petang.

             Sebaik sahaja  saya masuk ke perkarangan kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) sebentar tadi, kenangan saya dan rakan-rakan dari MPI kembali ke terowong  waktu apabila kami datang ke Sintok ini pada 25 Mei 2009. Pada hari itu, seperti juga pada petang ini,  ketibaan kami – Puan Maimunah Rashid, Puan Nuzatul Shima Sulaiman dan saya-  disambut ramah dan mesra bagi memulakan perbincangan penerokaan bagi mengadakan program akademik pada peringkat sarjana khusus untuk golongan wartawan.

            Berikutan perbincangan yang berlanjutan selama hampir dua tahun, kata sepakat dicapai untuk menandatangani memorandum persefahaman pada 13 Mac 2011 di MPI, Kuala Lumpur bagi membolehkan pihak UUM mendapat kelulusan untuk program sarjana itu dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan juga Kementerian Pengajian Tinggi.

            Setelah kelulusan-kelulusan itu diperolehi, sebentar lagi UUM dan MPI akan menandatangani perjanjian  untuk membolehkan program ijazah sarjana dalam bidang kepengurusan komunikasi atau managerial communciation bermula. Jika dizinkan Allah S.W.T. kumpulan pertama akan mengikuti program tersebut mulai September 2012 di kampus UUM Kuala Lumpur.

            Saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izinNya memorandum perjanjian akan dapat disempurnakan. Saya juga berterima kasih kepada kepimpinan UUM yang amat inovatif dalam merangka kandungan program yang akan mengadunkan keperluan akademik dan juga industri. Terima kasih kepada YBhg Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr. Mustapa Ishak dan pegawai-pegawai kanan UUM yang lain di atas usaha ini.

            Apa yang turut membanggakan saya ialah dalam tempoh itu juga pengajian komunikasi di UUM telah mengalami pertumbuhan yang pesat. Ketika itu status komunikasi ialah sebuah program, kalau tidak silap di bawah satu bumbung dengan pengajian bahasa. Hari ini ia telah menjadi sebuah jabatan di bawah Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi. Perkembangan ini membayangkan kepentingan yang diberi oleh pihak UUM terhadap pengajian komunikasi.

            Saya juga perhatikan dalam upaya untuk memasyarakatkan ilmu dan pengetahuan, UUM tidak sahaja mengehadkan jaringnya di Sintok. Ia telah melebarkan sayapnya melampaui Sintok. Dengan tertubuhnya kampus UUMKL, pihak universiti bukan sahaja telah memperkenalkan beberapa kursus teras yang diajar di Sintok di Kuala Lumpur, tetapi telah mengambil daya usaha memperkenalkan program-program khas akademik yang tidak difikirkan oleh mana-mana IPTA sebelum ini.

             Antaranya termasuklah program khas pada peringkat sarjana muda dalam bidang komunikasi untuk golongan karyawan dunia kreatif yang terdiri daripada para pelakon, penyanyi, penulis skrip, dan wartawan bertujuan untuk melengkapkan mereka dengan ilmu akademik supaya mereka layak digelar sebagai knowledge worker – meminjam istilah guru pengurusan Peter Drucker.

            Saya difahamkan, program khas itu sudahpun berjalan sembilan semester dan insyaAllah kumpulan pertama bergelar graduan akan dikeluarkan tahun depan. Ada di kalangan mereka mungkin mahu melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana ini selepas menamatkan pengajian masing-masing dan program sarjana komunikasi kepengurusan ini mungkin sesuai untuk mereka sebagai kumpulan kedua.

           Selain itu, program khas perhubungan antarabangsa juga berjalan dengan baik. Terdapat juga program khas untuk ijazah sarjana dan doktor falsafah untuk ahli-ahli Parlimen. Program PhD industri UUM juga khabarnya mendapat sambutan yang memberangsangkan.

           Bagi kami di MPI, dengan terlaksananya program sarjana ini, satu lagi pancang tanda penting tercatat dalam upaya kami menyediakan program latihan khusus untuk golongan wartawan. Saya percaya dengan adanya program sarjana dalam bidang managerial communication ini, hasrat MPI untuk menjadi “a premier training centre for journalists” akan menjadi kenyataan.

          Sebelum ini, MPI sekadar menawarkan kursus-kursus jangka pendek yang amat khusus untuk wartawan. Ini termasuklah program media dan undang-undang; perhubungan media, kewartawanan multimedia, penulisan berita dan rencana dan sebagainya.

           Program paling lama adalah sebulan iaitu MPI International Journalism Fellowship (IJF) yang dibiayai oleh kerajaan khusus untuk para wartawan muda dunia membangun yang kami perkenalkan mulai 2008. Program kedua yang juga berlangsung selama dua hingga empat minggu bergantung di mana ia diadakan adalah Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia yang kami perkenalkan pada  Mac 2011 dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

          Dua program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia, yang kandungannya adalah   bersifat kenegaraan untuk memahamkan wartawan  bagaimana tiga cabang kuasa negara dan agensi-agensi di bawah naungan setiap kuasa itu berfungsi, telah diadakan – satu di Kuala Lumpur dan satu di Kuching, Sarawak. Kami baru sahaja mendapat pembiayaan untuk meneruskan program itu untuk tiga tahun akan datang.

          Dan dengan adanya program sarjana UUM ini , MPI membuka satu lagi pintu latihan untuk para wartawan  menambah ilmu dan pengetahuan khususnya dalam bidang pengurusan media. Ini kerana apabila sampai satu peringkat dalam kerjaya mereka, para wartawan yang diamanahkan untuk mengetuai meja sebagai pengarang, sebenarnya juga seorang pengurus.

          Tugas mereka juga bukan sekadar terhad dalam aktiviti kewartawanan iaitu pengumpulan dan penerbitan maklumat untuk dijadikan berita, rencana, komentar. Mereka juga ada tanggungjawab untuk menguruskan sumber-sumber iaitu sumber manusia, kewangan dan sebagainya yang diserahkan kepada mereka. Mereka memerlukan ilmu dan pengetahuan pengurusan. Saya yakin program UUM ini boleh membantu mereka untuk mendapatkan ilmu untuk bertindak sebagai pengurus yang kompeten, berkesan dan produktif.

           Setakat ini minat yang ditunjukkan oleh para wartawan itu agak memberangsangkan. Melalui MPI, kami telah mengemukakan 11 permohonan untuk dipertimbangkan sebagai pelajar kumpulan pertama. Tentulah program sarjana yang baik ini tidak harus dimanfatkan oleh para wartawan sahaja. Seperti yang telah disepakati, golongan bukan wartawan juga boleh mengikutinya. Mereka yang berminat boleh terus memohon dengan UUM KL.

            Saya mendoakan usaha bersama UUM dan MPI akan diberkati dan kerjasama yang baru bermula ini akan berpanjangan dan berkekalan.

            Akhir sekali saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YBhg Profesor Datuk Dr. Mustapa Ishak dan pegawai-pegawai kanan UUM yang  lain khususnya kepada TNC Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Rosna Awang Hashim dan Dr. Hassan Abu Bakar, bekas Ketua Jabatan Komunikasi  dalam merealisasikan program sarjana ini.

           Saya juga terhutang budi kepada bekas Naib Canselor UUM, Tan Sri Nordin Kardi, Profesor Madya Dr. Noraini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ani, Allahyarham Dr. Syd Abdul Rahman Syd Zain, Dr. Norhafizah Yusof, Dr. Andrian Budiman yang secara langsung terbabit dalam perbincangan awal program. Hanya Allah S.W.T. yang akan membalas budi tuan dan puan.

Terima kasih.

Termeterai: Memorandum Perjanjian antara Malaysian Press Institute (MPI) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk memulakan program Ijazah Sarjana Sains dalam bidang komunikasi kepengurusan mulai September 2012. MPI diwakil oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chamil Wariya (dua kanan) manakala UUM oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohamad Mustafa Ishak (dua kanan). Encik T. Selvakumar, Ahli Majlis Pentadbir MPI (kanan) dan Profesor Dr. Nur Shuhada, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi menjadi saksi perjanjian itu.