Ketua Menteri Sabah setuju berdialog dengan peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015

22 orang wartawan muda mewakili 14 buah organisasi berita dan media arus perdana negara ini mengesahkan penyertaan dalam Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015 yang akan diadakan di Kota Kinabalu dan Kundasang bermula 18 Januari 2015.

Dari jumlah itu, 8 orang mewakili media Sabah, 8 wartawan dari Sarawak dan 6 dari Semenanjung Malaysia.

14 organisasi yang menyertai program itu ialah TV3 Sabah, Kosmo!, Utusan Malaysia, Harian Metro, New Straits Times Sarawak dan  News Straits Times Sabah, Bernama Sabah, RTM Sarawak, RTM Sabah, Jabatan Penerangan Sabah, Jabatan Penerangan Sarawak, Harian Borneo, Borneo Post, Utusan Sarawak, Berita Publishing dan Daily Express.

Tekan sini untuk senarai penuh peserta.

Program tahunan anjuran Malaysia Press Institute (MPI) selama dua minggu itu akan berakhir pada 31 Januari 2015.

Kemuncak Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia itu adalah sesi dialog berkait isu-isu pembangunan dan kemajuan negeri di bawah bayu  dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Pertemuan yang dijadualkan pada jam 11 pagi 26 Januari 2015 diadakan di kediaman rasmi beliau di Kota Kinabalu.

Tekan sini untuk pengesahan rasmi Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Selain bertemu Ketua Menteri Sabah, para peserta juga berpeluang mendengar taklimat daripada Pesuruhajaya Polis Sabah dan pertemuan dengan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Tun Said.

Tekan sini untuk surat pengesahan Speaker DUN Sabah.

Pertemuan dengan para pemimpin Sabah itu adalah sebahagian daripada latihan amali untuk menajamkan kemahiran wartawan itu mendapatkan maklumat yang relevan menerusi wawancara untuk menghasilkan berita dan rencana yang bermutu tinggi dan menyeluruh, dengan gaya penulisan yang menarik dan boleh memikat khalayak.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah akan merasmikan pembukaan Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia pada 19 Januari di Sky Hotel, Kota Kinabalu manakala Pengarah Penerangan Sabah, Tuan Haji Almain Ajrul akan melakukan majlis penutupan dan penyampaian sijil kepada para peserta pada 31 Januari 2015.

Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015 adalah program kelima anjuran MPI sejak 2011. Program pertama diadakan di Kuala Lumpur, kedua di Kuching dan ketiga dan keempat di Kuala Lumpur.

Dengan berlangsungnya Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia di Sabah, 111 orang wartawan muda yang berusia di bawah 30 tahun ke bawah telah mengikuti program tahunan anjuran MPI.

Pecahan peserta bagi tempoh lima tahun itu adalah seperti berikut: 2011 – 18 orang; 2012 – 22 orang; 2013 – 24 orang; 2014 – 25 orang; 2015 – 22 orang.