Kewartawanan, media dan ekosistem baharu
Ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya pada pelancaran Forum Media Kebangsaan 2014 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 4 Disember 2014. Pelancaran majlis anjuran MPI itu telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Pengenalan
Bagi pihak rakan-rakan dalam Majlis Pentadbir Malaysian Press Institute (MPI), saya mengucapkan selamat datang kepada YB Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, yang akan menyampaikan ucap utama pada Forum Media Kebangsaan yang julung-julung kali diadakan ini.
Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran semua peserta ke Forum Media Kebangsaan 2014 pada pagi ini yang terdiri daripada tiga kelompok penting dalam bidang kewartawanan dan media. Pertama, golongan wartawan dan pengamal media itu sendiri, termasuk para pemimpin editorial; kedua, ahli-ahli akademik institut pengajian tinggi awam dan swasta yang terbabit dalam melatih kalangan yang apabila menamatkan pengajian masing-masing berkemungkinan besar akan menyertai dunia media khususnya sebagai wartawan; dan ketiga kalangan yang mewakili pihak kawal selia media khususnya Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab mengawal selia kewartawanan cetak menerusi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang bertanggungjawab mengawal selia bidang penyiaran dan media baharu di negara ini menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Penyertaan peserta berkualiti
Saya amat bersyukur kerana Forum Media Kebangsaan 2012 ini mendapat sambutan daripada para peserta berkualiti. Sekadar menyebut beberapa nama, dalam kalangan pemimpin media dan editorial, antara yang hadir dan secara aktif akan mengambil bahagian dalam forum ini, baik sebagai penceramah atau moderator termasuklah: Tan Sri Johan Jaafar, Pengerusi Media Prima Berhad; Tokoh Wartawan Negara 2012 yang juga Ketua Pengarang Berita Publishing, Datuk A. Kadir Jasin; Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press; Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar, Ketua Pengarang Kumpulan Astro Awani, Sdra Suhaimi Sulaiman, Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin, Penasihat Eksekutif Editorial, Kumpulan Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali.
Mewakili IPT bersama kita sepanjang hari ini adalah Profesor Dr. Nurshuhada Shiratuddin, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Mohamad Md. Yusof, pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia; Puan Rosidayu Sabran, Ketua Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Antarabangsa Malaysia (USIM); Profesor Madya Abdul Rahim Saleh, pensyarah kanan pengiklanan UiTM; Puan Malia Taibi, Ketua Jabatan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); Profesor Mohd Hamdan Adnan, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni danWarisan, Universiti Malaysia Sabah; Profesor Mohd Safar Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kementerian Dalam Negeri pula akan diwakili oleh Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks Al-Quran, Puan Hashimah Nik Jaafar manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia oleh pengerusinya, Dato’ Mohammed Shahril Mohamed Termizi.
MPI amat-amat menghargai kehadiran dan pembabitan YBhg Datuk-datuk, para profesor, tuan-tuan dan puan-puan dalam Forum Media Kebangsaan 2014 ini.
Lima isu perbincangan
Lima isu utama akan dibincangkan sepanjang forum ini berlangsung. Pertama berkaitan dengan teknologi terbaharu dalam dunia komunikasi maklumat yang telah mengubah secara total bagaimana komoditi yang dipanggil maklumat di akses dan disebarkan oleh media tradisional dan media baharu; kedua, tentang kemungkinan negara ini berhijrah kepada senario media tanpa kawalan pada alam nyata menyerupai keadaan yang wujud dalam alam siber atau alam maya; ketiga, berkait dengan dengan kawalan ini ialah penubuhan Majlis Media Malaysia yang telah disarankan sejak sekian lama, tetapi sampai sekarang masih belum dapat direalisasikan; tersirat di sebalik penubuhan Majlis Media Malaysia ini adalah penghijrahan kepada mekanisme self-regulatory oleh pihak industri dan pemansuhan kawalan-kawalan yang dianggap mengongkong oleh pihak kerajaan; keempat tentang pengiklanan yang merupakan nyawa yang menentukan hidup mati sesebuah organisasi media dan akhir sekali tentang nilai abstrak yang dipanggil integriti dalam bidang kewartawanan yang nampaknya tidak begitu dihayati dalam pengalaman media baharu terutamanya media sosial. Untuk berbicara mengenai lima isu perbincangan, MPI telah mendapatkan otak-otak terbaik dengan kepakaran tersendiri sebagai penceramah. Perbincangan mereka akan dipandu oleh para moderator yang juga hebat.
Ekosistem baharu media
Forum Media Kebangsaan 2014 ini diadakan dalam landskap media dan kewartawanan di negara ini yang sudah berusia lebih dua abad. Sekiranya kita mengiktiraf The Prince of Wales Island Gazette yang diterbitkan pada 1806 di Pulau Pinang sebagai akhbar pertama di negara ini, maka usia kewartawanan dan media Malaysia sebenarnya sudah berusia 208 tahun. Dalam tempoh itu, dipacu oleh kemajuan dan perubahan pesat dalam teknologi komunikasi maklumat atau ICT, bermula dengan terciptanya mesin cetak di Eropah pada 1448 membawalah kepada kemunculan Internet dan Web, kewartawanan Malaysia, seperti halnya dengan perkembangan di negara-negara lain, telah menyaksikan tiga gelombang utama – cetak, elektronik dan siber.
Hari ini kewartawanan kita bukan sahaja dihiasai oleh kewartawanan suratkhabar (yang mengalami kejatuhan dari segi edaran), diserikan oleh kewartawanan radio, televisyen tetapi turut dimeriahkan dan dirancakkan oleh kehadiran kewartawanan digital dan siber.
Memetik Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kita kini berada pada era hyper-connectivity iaitu satu fenomena yang belum pernah kita saksikan dan lalui sebelum ini.Fenomena ini mengajukan peluang dan hambatannya yang tersendiri. Penduduk Malaysia yang kini mencecah 28 juta, mempunyai akses maklumat yang tiada had. Kemunculan media sosial dan media mobile telah menukar cara mereka berkomunikasi. Bukan sahaja platform penyampaiannya bersilang atau cross-platform delivery; tetapi kita sebenarnya telah berhijrah dari sebuah era of transmission kepada era of conversation. Kehadiran World Wide Web (WWW) atau Web tidak memperkenalkan satu pesaing baharu dalam ekosistem media; tetapi sebaliknya Web telah mewujudkan satu ekosistem media baharu. Seperti yang dihujah oleh seorang profesor kewartawanan di Australia dalam bukunya Understanding Journalism:
Media audiences are no longer content to simply receive information – they want to interact with it in real-time using mobile technology. Interactive social networks are the preferred means of communication and wisdom of many is preferred over the wisdom of expert… You Tube is a great example of the way convergence has changed our experience of media. (Burns, 2013: 17)
Penutup
Sebelum saya mengakhiri ucapan ringkas ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu MPI menjayakan Forum Media Kebangsaan 2014 ini, baik sebagai peserta, moderator dan penceramah. Kehadiran anda amat kami hargai dan sanjung. Saya juga berharap forum sehari ini dapat memberi pencerahan terhadap isu-isu semasa berkait media dan kewartawanan yang kini berada pada era hyper-connectivity and cross-platfom delivery yang berlatarbelakangkan kemunculan satu ekosistem media yang menampilkan satu transformasi komunikasi global hebat sejak tercetusnya Revolusi Industri yang telah membawa kepada kemunculan zaman moden.
Kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diwakili oleh Menterinya sendiri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Bank SimpananNasional (BSN), yang diwakili oleh Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Komunikasi Strategiknya, Puan Puspa Marina Dato’ Haji Omar, yang menghulurkan sumbangan kewangan bagi menjayakan Forum Media Kebangsaan 2014 ini, MPI mengucapkan terima kasih daun keladi. Hanya Allah S.W.T sahaja akan membalas budi baik pihak Kementerian dan BSN.
Sekali lagi terima kasih kepada semua dan selamat berforum. Sekian.