Mampukah kewartawanan serius bertahan?

Pandangan yang dizahirkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)/Penyelidik Kunjungan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada Forum Media Kebangsaan MPI-BSN 2015 anjuran MPI, tajaan BSN di Pullman Hotel, Bangsar pada 6 Oktober 2015, jam 10 pagi

Pengenalan

Kemunculan demokrasi dan idea-idea utama yang berkaitan dengannya (seperti hak untuk mengundi, peranan parti-parti politik dan kebebasan bersuara) pada akhir abad ke-18 di England telah merangsang sebilangan wartawan yang menganggap diri mereka sebagai intelektual untuk mempelopori apa yang dianggap sebagai kewartawanan serius. Kewartawanan serius ini juga dikenali sebagai kewartawanan sfera/ruang awam atau journalism of the public sphere. Chandler & Munday (2011) menghuraikan istilah kewartawanan ruang awam digunakan, bukan sekadar untuk membezakannya dengan ruang peribadi (private sphere). Bagi beliau kewartawanan ruang awam adalah wadah untuk mengkomunikasikan maklumat dan pandangan berkaitan isu-isu besar demokrasi seperti ketidaksamaan akses dan representasi melalui wacana rasional (rational discourse).

Richard Rudin dan Trevor Ibbotson (2003) menerangkan bahawa rasional di sebalik kewartawanan serius adalah untuk membijaksanakan warga yang baru sahaja mendapat hak untuk mengundi bagi menentukan kerajaan. Tugas ini dilakukan oleh para pelopor kewartawanan serius itu dengan menyediakan maklumat dan perbincangan isu-isu awam bagi membolehkan warga membuat pilihan yang waras (rational choice). Abercombie & Longhurst (2007) juga setuju dengan takrifan itu. Bagi mereka ruang awam adalah “an area of public life within which a free debate about issues of widespread can be developed leading to the informed public opinion and the development of rational public policy.”

Franklin (1997) pula berpendapat pengukuhan kewartawanan sfera awam bertujuan untuk memelihara kepentingan awam dengan matlamat untuk melahirkan demokrasi yang sihat dan bertenaga dalam mana warganya menjadi pengguna maklumat yang cerdik, senantiasa berwaspada dan tidak mudah diperkotak-katikkan oleh orang politik yang ingin memanipulasi mereka untuk kepentingan politik.

Kewartawanan serius: kandungan atau bentuk

Dalam buku berjudul Journalism Essential Techniques and Background Knowledge, Rudin dan Ibbotson menghuraikan bahawa dalam konteks England dan mungkin juga di negara-negara Barat yang lain, media cetak dan media elektronik memainkan peranan yang berbeza dalam mengaplikasikan kewartawanan serius ini.

Bagi suratkhabar, kewartawanan serius ini dizahirkan dalam laporan berita berbentuk analisis dan ulasan mendalam, rencana pengarang, penulisan bercorak komentar atau pendapat menerusi ruangan-ruangan atau kolum tertentu yang biasanya menampilkan kalangan yang dianggap intelektual. Lazimnya di suratkhabar tugas menghasikan penulisan-penulisan serius ini dilakukan sendiri oleh para pemilik dan pengarang kanan akhbar berkenaan atau para penulis undangan yang dianggap pakar dalam bidang-bidang tertentu yang berupaya mengeluarkan pendapat dan pandangan bernas untuk mengungkapkan pemikiran.

Bagi televisyen dan radio pula oleh kerana undang-undang United Kingdom mewajibkannya untuk berlaku adil, seimbang dan saksama dalam program-program berita dan ehwal semasa yang disiarkan, maka kedua-dua media ini memperkenalkan program-program perbincangan atau soal jawab bagi memberi ruang kepada kalangan yang dianggap cerdik dan mewakili pelbagai aliran ideologi untuk membincangkan isu-isu awam dengan dipengerusikan oleh seorang tokoh yang berkecuali.

Pada peringkat awalnya, kewartawanan serius berbanding kewartawanan tidak serius atau kewartawanan picisan dalam dunia persuratkhabaran dibezakan oleh saiz surat khabar berkenaan. Akhbar bersaiz besar atau broadsheet seperti Daily Telegraph, The Times, The Independent, The Guardian dan The Observer adalah akhbar-akhbar yang mempraktikan kewartawanan serius dari segi kandungan editorial. Akhbar bersaiz kecil atau tabloid seperti The Sun, Mirror, Daily Mail, Daily Star dengan masthead berwarna merah menyala pula dikategorikan sebagai penerbitan yang mengamalkan kewartawanan picisan.
Dalam kalangan majalah mingguan pula penerbitan seperti The Economist, The Spectator, New Statesman tergolong dalam kewartawanan serius manakala majalah seumpama Hello!, What’s on TV dan Woman Own dikategorikan sebagai pengamal kewartawanan tidak serius.

Dalam program TV, program berita seperti Newsnight di BBC 2, Channel 4 News, 10 O’Clock News di BBC 1 adalah pengamal kewartawanan serius manakala Big Breakfast News di Channel 4 dan Channel 5 News adalah pengamal kewartawanan picisan. Program radio seperti The World Tonight, Today di Radio 4 BBC diiktiraf sebagai pengamal kewartawanan serius.

Bagaiamanpun apabila ada antara akhbar bersaiz besar bertukar kepada saiz tabloid seperti yang dilakukan oleh The Times, The Guardian pada tahun-tahun 1990-an, maka perbezaan berdasarkan saiz untuk menentukan kewartawanan serius dan kewartawanan tidak serius, tidak lagi terpakai dalam media cetak. Justeru, bagi David Rowe (2012) perbezaan antara media serius yang juga diistillahkan sebagai media berkualiti dengan media tabloid atau media picisan lebih sesuai ditentukan oleh “kaedah, matlamat dan mauduk kewartawanan” sesuatu penerbitan. Bagi beliau, kewartawanan serius memberi keutamaan kepada isu-isu kepentingan awam (public interest) dengan menghasilkan penulisan-penulisan yang berbentuk analisis manakala “kiblat’ kewartawanan picisan adalah nilai pasaran iaitu untuk melariskan jualan produk dan menambat hati pengiklan menerusi edaran dan bilangan pembaca yang tinggi.

Kewartawanan serius juga tidak mensensasikan atau meringkaskan berita, tidak memberi ruang kepada isu-isu remeh atau membesar-besarkan gosip para selebriti atau kalangan mereka yang ternama dan terkenal dalam pelbagai lapisan kehidupan. Dari segi desain (layout) halaman pula, kewartawanan serius menghindari penggunaan terlalu banyak bahan-bahan visual seperti foto-foto dan ilustrasi besar yang berlebihan sehingga mengorbankan analisis jurnalistik mendalam semata-mata untuk menarik perhatian khalayak.

Tajuk berita atau rencana yang digunakan tidak bertujuan untuk menarik audiens dengan cara yang mengelirukan. Dengan kata-kata lain, kewartawanan serius tidak membenarkan nilai pasaran yang menampilkan bahan-bahan berwajah infotaiment untuk mengatasi atau malah membunuh kepentingan publik yang boleh membantut pertumbuhan demokrasi yang subur dan segar bugar.

Laporan penyiasatan sebagai tiang seri & jiwa kewartawanan serius

Selain itu, akhbar-akhbar atau majalah serta program berita dan ehwal semasa TV dan radio yang berpaksikan pelaporan investigatif (investigative reporting) juga digolongkan sebagai pengamal dan penyubur kewartawanan serius. Benar bahawa dalam kerjanya mencari maklumat, sang wartawan perlu bertanya soalan dan melakukan kerja-kerja penyelidikan. Tetapi apa yang dimaksudkan sebagai pelaporan penyiasatan adalah lebih daripada sekadar bertanya atau menyelidik. Hal ini kerana seperti yang diamati oleh Chandler dan Munday (2012: “Investigative journalism does not merely report an official news agenda but researches stories that become newsworthy when brought to the attention of the public. Typically, these stories concerns ethical wrongdoing such as government or corporate scandals, a famous example being Washington post reporting of the Watergate scandal which lead to the impeachment and resignation of Presiden Richard Nixon in 1974. In TV journalism, investigative reporting invariably will involve the reporter hiding camera and microphone place in potentially dangerous situation.” Bagi seorang wartawan terkenal British, Peregerine Worsthorne wartawan investigative adalah pencari fakta di sebalik fakta atau dalam bahasa kita melaporkan yang tersirat di sebalik tersurat.

Di England pertumbuhan pelaporan investigatif ini adalah seiring dengan kelahiran kewartawanan serius itu pada akhir abad ke-18 dan berkembangan pesat sepanjang abad ke-19 dan ke-20. Ia dikatakan merupakan makanan ruji bagi akhbar-akhbar broadsheet yang serius sepanjang dua kurun itu.

Malah akhbar The Times yang terkenal dengan keberaniannya menyiarkan laporan-laporan penyiasatan yang membongkar salah laku dan penyelewengan kalangan yang berkuasa diberi gelaran thunderer atau halalintar. Kumpulan wartawan investigatif akhbar itu yang menganggotai The Insight Team cukup digeruni dan laporan-laporan yang mereka hasilkan senantiasa ditunggu oleh para pembacanya. Kewartawanan serius yang ditunjangkan laporan penyiasatan akhbar tersebut, serta akhbar-akhbar broadsheet lain yang dijenamakan dengan pelbagai nama, dikatakan berada dalam tahap kehebatan yang tiada tolok bandingnya dalam dunia persuratkhbaran di United Kingdom.

Tetapi kewartawanan investigatif, sebagai satu tiang seri kewartawanan serius, juga ada zaman kegemilangan dan zaman kesuramannya. Dalam konteks Amerika Syarikat, Donald Matheson (2012) berpendapat pendedahan skandel Watergate oleh dua orang wartawan akhbar the Washington Post pada 1970-an, Carl Bernstein dan Edward Woodward dianggap sebagai kemuncak kepada kewartawanan penyiasatan dan juga kewartawanan serius di negara itu.

Bagaimanapun apabila laporan penyiasatan yang mendedahkan segala macam skandel, termasuk Watergate ditafsir semula bukan sebagai usaha sebenar penyelidikan sungguh-sungguh para wartawan, tetapi dilakukan oleh pembocor-pembocor rahsia (whistleblower) yang mempunyai agenda-agenda tertentu, maka dengan sendiri tanggapan khalayak terhadap pendedahan yang kononnya berani itu bertukar. Para wartawan penyiasatan yang sebelum itu dianggap sebagai wira yang bersedia mempertarungkan nyawa untuk mendedahkan pelbagai bentuk penyelewengan dan salah laku kalangan yang berkuasa, tidak lagi disanjung seperti sewaktu skandal Watergate.

Sebaliknya mereka dilihat sebagai alat pembocor-pembocor rahsia dalam kalangan elit untuk memanjangkan objektif whistleblower itu. Berikutan kemunculan Internat, world wide web, pelbagai injin pencarian dan jalur lebar berkelajuan tinggi, kehadiran wartawan warga dalam talian juga mencabar kewibawaan wartawan arus perdana untuk menjadi kalangan yang pertama dalam mendedahkan skandel yang membabitkan pemimpin politik. Misalnya skandel seks Clinton-Lewinsky pada akhir 1990-an, bukan didedahkan oleh wartawan arus perdana di New York Times atau Washington Post, tetapi sebaliknya oleh seorang blogger bernama Matt Drudge menerusi halamannya webnya. Berdasarkan perkembangan-perkembangan itu, Matheson dalam tulisannya The Watchdog’s New Bark: Investigative Reporting, membuat dua rumusan iaitu: “journalism’s independence as an arbiter of public affairs is severely diminished… journalists have lost power in this new media system.”
Sebilangan pengkaji, antaranya Feldstein (2007) dan Rosen 2005 turut berkongsi pandangan Matheson mengenai hakikat sebenar laporan penyiasatan yang menjadi tunjang kepada kewartawanan serius. Bagi Feldstein: “From nineteenth-century ‘Tammy Hall’ graft to the Eron and Arthur Enderson accounting scandal in 2001, journalists have been much less independent fact-gatherers, and much more dependent on elite whistleblowers or informants, than they might claim.” Rosen pula menuduh kewartawanan telah menipu diri sendiri, dengan mengatakan ia perlu hidup kerana fakta bukan mitos.

Bagi seorang wartawan tersohor United Kingdom pula, Michael Foot, kegemilangan laporan penyiasatan di negara itu terbatas pada tahun-tahun 1960-an dan 1970an apabila akhbar-akhbar broadsheet utama Britain mewujudkan pasukan-pasukan khas wartawan yang tugas mereka hanya melakukan penyiasatan terhadap isu-isu berkaitan kepentingan awam. Kumpulan wartawan itu diberi kebebasan editorial sepenuhnya untuk melakukan penyiasatan tanpa campurtangan pemilik atau editor. Selepas itu, beliau melihat bahawa kewartawanan penyiasatan yang dianggap sebagai elemen penting dalam kewartawanan serius mula menngalami zaman kejatuhan atau malah kematiannya.

Dalam sebuah tulisan yang berjudul The Slow Death of Investigative Journalism yang dimuatkan dalam buku The Penguin Book of Journalism (1999), Foot mengemukakan tiga sebab mengapa keghairahan melaksanakan kewartawanan penyiasatan berkubur di England. Tiga sebab itu ialah pertama, kuasa komersial, kedua, kawalan editorial, dan ketiga, kegagalan media melindungi sumber yang telah membocorkan makmuat yang telah membuka jalan kepada laporan penyiasatan itu sendiri.

Secara lebih terperinci beliau menjelaskan: “The chief obstacle to investigative journalism in our newspapers and television has been the centralization of commercial power and editorial control. The proprietors have become more powerful and ruthless. Their editors, necks cricked from constantly glancing upwards, their judgement poisoned by years of what Eye calls arslikhan, have become more constipated, far less trusting of their colleagues, far more reluctant to delegate editorial power…. Increasingly sources are betrayed and opinions flaunted in space that should be taken by reports and facts.”

Seorang lagi wartawan tersohor England, Peregerine Worsthorne, dalam tulisan berjudul Dumbing Up yang dimuatkan dalam buku yang sama memberi satu lagi sebab lain mengapa kewartawanan berkualiti mengalami zaman kepupusannya. Bagi beliau ia ada kaitan dengan bagaimana golongan wartawan itu memainkan peranannya sebagai penulis intelektual dan sebagai pelapor kebenaran yang berpaksikan fakta.

Bagi beliau, pada suatu ketika, peranan wartawan dalam apa juga kedudukan adalah jelas: sebagai pemberita investigatif tugasnya untuk meneroka fakta di sebalik fakta; bagi penulis rencana, kerjanya adalah untuk menambah warna kepada fakta; sebagai kolumnis tanggungjawabnya adalah untuk menjelaskan dan memberi tafsiran terhadap fakta dan sebagai penulis rencana pengarang adalah merumuskan apa yang khalayak patut lakukan terhadap fakta.

Bagaimanapun apa yang merisaukan Peregerine Worsthorne adalah generasi baharu wartawan di England (dan mungkin juga di negara-negara lain) yang dari segi kelulusan akademik memang lebih baik berbanding dengan generasi wartawan sebelum itu tetapi dari segi pandangan terhadap profesyen pemberitaan itu sendiri tidak sama dengan generasi wartawan sebelum mereka. Keghairahan mereka sebagai wartawan generasi baharu adalah untuk menyamakan diri mereka setaraf dengan seniman atau artis yang dari segi definisi adalah seseorang yang mempunyai kemahiran untuk mengubah atau memperbaiki alam semula jadi sama ada menggunakan kata-kata atau imaginasi sebagai pelukis, pemuzik dan sebagainya.

Justeru bagi Worsthorne, “the picture of the world presented by the media is both much more beautiful and much more ugly, both much more eye catching and much more dramatic, both much more simple and much more complicated, than in actuality it ever is. For instead of getting the worm’s eye – i.e. the reporter’s – view, we are getting the artist’s view, which is by definition artificial, in a word, unrealistic, owing more to aesthetics than to ethics, more to the corruptions of style and to the virtues of truth.”

Bagaimanapun Worsthorne tidak meletakkan kesalahan bagi kemerosotan kewartawanan serius itu di atas bahu generasi baharu para wartawan yang kini menguasai pimpinan redaksi akhbar-akhbar. Beliau juga melihat bahawa satu lagi faktor yang turut menyumbang kepada gelagat para wartawan itu adalah perubahan penggunaan atau consumption berita dalam kalangan khalayak produk media itu sendiri.

Pengguna berita atau rencana, terutamanya setelah adanya Internet, tidak lagi tertarik dengan bahan-bahan kewartawanan yang serius. Teknologi komunikasi maklumat terbaharu itu juga nampaknya ada pengaruhnya terhadap kewartawanan serius yang penulisannya adalah panjang dan mendalam dan ada kalanya dianggap membosankan. Akibatnya bilangan pembaca tegar kewartawanan serius mengalami kemerosotan. Ada antara pelopor produk kewartawanan serius yang terpaksa golong tikar mengakibatkan beribu-ribu wartawan hilang mata pencarian.

Audiens lebih senang dengan berita-berita sensasi dan penulisan yang ringkas terutamanya berkait dengan gosip seleberiti dan personaliti dalam masyarakat. Berita-berita kemalangan, bencana, malapetaka, human interest atau minat insani, hiburan, budaya popular, penggunakan gambar-gambar besar yang merupakan makan ruji akhbar-akhbar tabloid, menjadi pilihan pengguna akhbar dan program TV serta radio. Hal ini terbukti apabila akhbar-akhbar tabloid yang diisi dengan berita-berita sensasi itu mencatatkan edaran yang tinggi.

Kajian yang dilakukan oleh David Rowe terhadap dua akhbar milik Rupert Murdorch di Australia – satu membabitkan akhbar serius/broadsheet iaitu Australian dan satu lagi akhbar picisan/tabloid, Daily Telegraph pada 1992 dan 2002, membuktikan hakikat itu. Sekiranya pada 1992, hanya terdapat 4.1 peratus berita jenayah dan mahkamah dan 2.9 peratus kandungan minat insani dalam Australian, pada 2002 peratusan kedua-dua elemen berita itu dalam akhbar yang sama masing-masing meningkat kepada 16.8 peratus dan 17.9 peratus. Dalam akhbar Daily Telegraph peratusan kandungan berita-berita jenayah, mahkamah dan minat insani juga meningkat antara 1992 hingga 2002, tetapi peningkatan itu tidaklah menjadi isu besar kerana akhbar tersebut memang akhbar tabloid. Apa yang berlaku itu menurut Rowe adalah gambaran jelas bagaimana sebuah akhbar yang mempraktikkan kewartawanan serius seperti Australian, turut mengikut jejak Daily Telegraph kerana mahu mempertahankan edarannya.

Adalah jelas bahawa apabila berhadapan dengan tekanan untuk mengekalkan bahagian pasarannya supaya tidak terus menerus merudum, pengamal media yang selama ini mengamalkan kewartawanan serius tidak berfikir panjang. Mereka bersedia untuk mengikut jejak kewartawanan picisan, kalaupun tidak seratus peratus, tetapi sebahagiannya. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di negara-negara maju, tetapi juga di negara membangun seperti Malaysia.

Kes Malaysia: Saiz akhbar bukan penentu kewartawanan serius

Lantaran itu di negara ini pun ada akhbar broadsheet menukar saiz menjadi saiz tabloid, tetapi mengekalkan aspek-aspek tertentu kewartawanan serius. The New Straits Times dan BH (dulunya Berita Harian) adalah contoh dua akhbar serius yang menukar saiz dari broadsheet kepada tabloid; manakala akhbar The Star, the Sun dan Sinar Harian pula adalah dua akhbar yang boleh dianggap serius, tetapi ditampilkan dengan saiz tabloid sejak pertama kali diterbitkan. Akhbar the Malaysia juga bersaiz tabloid sejak diterbitkan, tetapi ia mengadunkan kewartawanan serius dan kewartawanan picisan pada waktu yang sama. Harian Metro pula pula diakui sebagai sebuah akhbar tabloid daripada segala segi – pengisian editorial, desain, penulisan tajuk berita dan pemilihan foto. Tetapi pada waktu yang sama, terdapat juga sisi-sisi kewartawanan serius dalam ruangan-ruangan tertentu dalam akhbar itu.

Satu-satunya akhbar bersaiz tabloid tetapi dengan penampilan separuh serius, separuh tidak serius adalah Kosmo! yang diterbitkan 11 tahun lalu. Utusan Malaysia dan edisi Ahadnya, Mingguan Malaysia pula merupakan akhbar tunggal bersaiz besar yang mengadunkan kewartawanan serius dari segi kandungan dan kewartawanan picisan dari segi layout terutama pada halaman pertamanya – menerusi penggunaan gambar-gambar yang berlebihan besar dengan ringkasan tajuk berita yang agak menggoda untuk berita-berita hiburan, sukan dan minat insani serta yang membabitkan selebriti. Kedua-dua akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia turut memuatkan sisipan bersaiz tabloid dalam edisi masing-masing yang dari segi pengisiannya lebih condong kepada kewartawanan picisan dalam erti kata sisipan itu memberi ruang kepada bahan-bahan bercorak hiburan, minat insani dan seumpamanya.

Dengan kata-kata lain, kewartawanan serius di negara ini tidak ditentukan oleh saiz akhbar berkenaan, tetapi kandungan editorialnya. Majoriti surat khabar mengamalkan kewartawanan hibrid. Tidak kira apa pun saiz akhbar yang terdapat di pasaran, kecenderungan surat khabar di Malaysia adalah untuk mengadunkan kedua—dua elemen kewartawanan serius dan kewartawanan picisan, barangkali untuk melayani selera pasaran yang pelbagai itu.

Keliru dengan apa yang ditakrifkan sebagai kewartawanan serius dan kewartawanan picisan berdasarkan saiz dan kandungan akhbar? Diharapkan tidak.

Masa depan kewartawanan serius: satu renungan

Sudah tentu apabila memperkatakan kewartawanan serius, persoalan yang sering ditanya ialah: mampukah ia bertahan? Kalau mampu, untuk berapa lama? Apakah kewartawanan serius, yang bertunjangkan laporan berpasikan kewartawanan penyiasatan, akan dibunuh oleh kewartawanan picisan? Apakah tekanan kewangan dan ekonomi, kawalan editorial yang semakin ketat oleh pemilik media, pengenalan undang-undang lebih ketat terhadap akses maklumat oleh para wartawan atas alasan keselamatan nasional yang sering digunakan oleh pihak berkuasa, perubahan pola penggunaan berita, kelahiran generasi baharu kewartawanan yang menyamakan diri mereka sebagai seniman, kemunculan teknologi komunikasi maklumat baharu yang mencabar kredibiliti para wartawan arus perdana, akan menyegerakan kematian kewartawanan serius dan kewartawanan berkualiti?

Hanya masa yang menentukan. Tetapi buat waktu ini, tidak dapat disangkal lagi bahawa kewartawanan serius yang dipelopori pada awal abad ke-18 berikutan kelahiran demokrasi dan berkembang subur sepanjang abad ke-19 dan ke-20 sedang diasak secara sengit oleh tekanan dalam dan luaran sistem media itu sendiri. Tekanan-tekanan luaran itu termasuklah elemen-elemen ekonomi dan budaya yang bakal menentukan kelangsungan organisasi media di mana kewartawanan serius bernaung. Tekanan dalaman pula adalah kewartawanan picisan yang berbentuk komersial yang semakin mendapat tempat dalam kalangan khalayak.

Tekanan-tekanan dalaman dan luaran itu akan mempengaruhi kelangsungan kewartawanan serius untuk menjajarkan (realignment) dirinya dalam bentuk yang lain bagi memainkan peranan dalam kehidupan khayalak. Tekanan-tekanan itu juga mungkin melahirkan kaedah-kaedah baharu untuk melakukan pelaporan penyiasatan. Ini termasuklah penubuhan dana-dana khas khusus untuk membiayai kewartawanan penyiasatan seperti yang dilakukan oleh Dana Seymour Hersh di Amerika Syarikat. Atau organisasi media yang menjadi pelopor kepada kewartawanan serius menjadi sebahagian daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang berminat untuk membiayai kerja-kerja pelaporan penyiasatan!

Rujukan

Abercombie, Nicholas & Longhurst, Brian. (2007). Dictionary of Media Studies. London: Penguin Books.
Allan, Stuart (Editor) (2012). The Routledge Companion to News and Journalism, New York: Routledge.
Burns, Lynette Sheridan. (2013). Understanding Journalism (2nd Edition). London: Sage.
Chandler, Daniel & Munday, Rod. (2011), Dictionary of Media and Communication. Oxford: Oxford University Press.
Feldstein, M. (2007) Dummies and ventriloquists: models of how sources set the investigative agenda, Journalism, 8(5):499-509.
Foot, Paul. (1999).The Slow Death of Investigative Journalism in Stephen Glover (ed) The Penguin Book of Journalism, pp. 79-89.
Franklin, B. (1997). Newszak and News Media. London: Arnold.
Glover, Stephen. (1999). The Penguin Book of Journalism, Secrets of the press. London: Penguin Books.
Matheson, Donald. (2012). The Watchdog’s New Bark: Changing forms of investigating journalism in Stuart Allan (ed). The Routledge Companion to News and Journalism, pp . 82-92.
Rowe, David. (2012). Tabloidization of News in Stuart Allan (ed). The Routledge Companion to News and Journalism, pp . 350-361.
Rudin, R & Ibbotson, T. (2002). An Introduction To Journalism Essential Techniques and Background Knowledge. Oxford: Focal Press.
Stephen, Mitchell. (2007). A History of News. Oxford: Oxford University Press.
Worsethorne, Peregerine. (1999). Dumbing Up in Stephen Glover (ed) The Penguin Book of Journalism, pp. 115-124.