KOMBINASI PESERTA MENJADIKAN KURSUS LEBIH MENARIK
Seramai 30 orang peserta terdiri dalam kalangan pengamal media tempatan termasuk media cetak, portal berita, pensyarah serta penuntut dalam bidang komunikasi media dari universiti tempatan telah menghadiri kursus yang diadakan pada 9 dan 10 Julai 2018, bertempat di The Ritz-Carlton Kuala Lumpur anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI) dan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Antara peserta yang hadir di dua hari kursus tersebut adalah wartawan dari Utusan Malaysia, KOSMO!, NSTP Konvergen, Star Media Group Berhad, Bernama dan Malaysian Insight manakala Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) masing-masing menghantar lima (5) orang pensyarah dan (7) orang pelajar mereka.
Sebaik selesai ucapan pembukaan oleh Morgan J. O’Brien lll, Prof. Madya Janet E. Steele, Pensyarah Kewartawanan Universiti George Washington, Amerika Syarikat memulakan sesi beliau dengan memberi tumpuan kepada bahan bacaan yang telah diedarkan kepada para peserta beberapa hari sebelum kursus bermula untuk dicetak, dibaca & dibawa semula pada hari kursus.
Disesi pagi itu juga, para peserta telah didedahkan mengenai gaya penulisan berita yang berlainan daripada cara penulisan berita yang biasa. Mereka telah didedahkan dengan cabaran baharu dalam penulisan berita yang lebih menarik dan padat.
Disebelah tengaharinya pula, para peserta diberi tugasan untuk disiapkan & dibentangkan pada keesokkan harinya. Mereka diminta untuk menghasilkan satu artikel penulisan yang naratif berkenaan situasi yang berlaku di sekitar mereka dalam 500 patah perkataan.
Rata-rata peserta berpendapat kursus ini lengkap; durasi selama dua hari, masa bermula & berakhir yang tepat, venu yang sesuai dan paling penting penceramah yang sangat berpengalaman. Dengan itu matlamat untuk memberi pendedahan baharu kepada para pengamal media, pensyarah serta pelajar dari universiti tempatan dalam bidang penulisan naratif ini telah tercapai dan peserta berasa teruja dengan pengisian yang diajar bagi memantapkan lagi penulisan mereka.