Kursus
‘Kuasai media sosial mampu tangani isu persepsi’- Majlis Bandaraya Seberang Perai

‘Kuasai media sosial mampu tangani isu persepsi’- Majlis Bandaraya Seberang Perai

Para pegawai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang menyertai Kursus Pengurusan Media dalam Menangani Persepsi pada 14-15 Februari baru-baru ini, mengakui media sosial perlu dikuasai dengan sebaiknya dalam mengurus persepsi khalayak terutama yang mengaitkan pihak berkuasa tempatan dengan isu-isu semasa. Mereka merumuskan demikian setelah bermukim dua hari di Bukit Jawi Golf Resort, Seberang Perai, Pulau Pinang pada tarikh tersebut bagi mempelajari teknik-teknik menguasai media dalam menangani persepsi ini.

Seramai 28 pegawai MBSP dari pelbagai jabatan termasuk Pelesenan, Perkhidmatan Perbandaran, Penguatkuasaan, Teknologi Informasi dan Komunikasi, dan Pengurusan Krisis telah menyertai kursus. Menurut mereka, pengajar/penceramah kursus iaitu Datuk Badrul Hisham Othman, Mantan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian berjaya merungkai pelbagai persoalan dan permasalahan yang berlaku di jabatan mereka yang berpunca daripada komen-komen negatif netizen di laman-laman media sosial.

Pada hari pertama, Datuk Badrul memberi pendedahan mengenai teknik-teknik mengurus media yang sentiasa menimbulkan pelbagai persepsi terutama yang melibatkan pihak berkuasa tempatan yang menguatkuasakan undang-undang. Pada hari kedua, pengisian kursus lebih menjurus kepada praktikal iaitu cara-cara menangani komentar negatif di media sosial dan langkah-langkah pencegahan dalam mengendalikan aduan dan rungutan netizen. Pelbagai tips penting dikongsikan oleh Datuk Badrul, seperti bagaimana peserta dapat mengolah ayat dan membina skrip serta laras bahasa untuk menjawab komen dan aduan negatif pelanggan dalam media sosial seperti facebook, Instagram, twitter, tiktok dan sebagainya dengan lebih berhemah dan berintegriti. Para peserta berpendapat tips ini amat berguna dalam membentuk persepsi terhadap MBSP ke arah yang lebih positif dan mesra rakyat di kalangan orang awam terutamanya pengguna media sosial.

Secara keseluruhannya, kesemua peserta amat berpuas hati dengan pengisian kursus, malah mencadangkan ia diadakan lagi pada masa hadapan dengan lebih pengkhususan kepada strategi pengurusan persepsi dalam media.

FOTO KURSUS:

Santai – Peserta santai berkongsi kisah ketika remaja dan setelah dewasa sebagai ‘ice-breaker’ pada sesi Suai-Kenal.
Dwi-Bahasa – Para peserta memberi tumpuan kepada ceramah yang disampaikan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.
Tidak leka – Para peserta sentiasa memberi tumpuan di dalam kelas kerana ada sahaja penjelasan bernas daripada Datuk Badrul yang menarik perhatian mereka, ditambah pula dengan penyampaiannya yang bersahaja.
Datuk Badrul Hisham Othman (duduk, tiga dari kiri), Mantan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian bergambar bersama para peserta dari pelbagai jabatan di MBSP, seperti Pelesenan, Perkhidmatan Perbandaran, Penguatkuasaan, Perhubungan Komuniti, Teknologi Informasi dan Komunikasi, dan Pengurusan Krisis.