Kumpulan Pertama Pelajar Sarjana UUM-MPI Tamat Pengajian

Kumpulan Pertama pelajar program pengajian separuh masa Master of Science (Managerial Communication) anjuran bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Malaysian Press Institute (MPI) di UUM Kuala Lumpur menamatkan pengajian mereka dengan berakhirnya semester lima pada 17 Mei 2014.

Bagi meraikan kejayaan setelah bertungkus-lumus selama setahun setengah mengikuti program itu, kumpulan perintis ini mengadakan suatu jamuan makan tengahari pada hari tersebut di salah sebuah restoran tidak jauh dari UUMKL.

Ketika ditemu bual, kebanyakan pelajar yang terdiri daripada para wartawan ini melahirkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan pengajian dalam masa yang singkat walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugas sebagai pelajar dan pada masa yang sama memenuhi tanggungjawab kerjaya.

Mereka tidak lupa berterima kasih kepada para pensyarah Jabatan Komunikasi, Kolej Kesusasteraan dan Sains UUM, terutama Dr. Rosli Mohammed yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Dr. Mohd. Khairie Ahmad dan Dr. Adrian Budiman yang turut hadir di jamuan tersebut bagi meraikan kejayaan para pelajar mereka.

Kumpulan perintis yang telah menamatkan pengajian ini terdiri daripada enam wartawan. Mereka ialah Arman Ahmad (New Straits Times), Muhammad Izawan Baharin (Harian Metro), Azrul Amila Amir (BERNAMA TV), Latipah Ramji (RTM), Ainul Asniera Ahsan (Malaysia Gazette) dan Murni Wan Omar (Harian Metro).

Selain mereka, empat pelajar lagi ialah pengamal-pengamal media iaitu Ahmad Fauzi Mustafa (Parlimen Malaysia), Anusha a/p Karuppiaya (Bandar Raya Development Berhad), Naimah Salleh (Saito College) dan Nuzatul Shima Sulaiman (Malaysian Press Institute).

Kesemua mereka akan menerima ijazah sarjana masing-masing pada Majlis Konvokesyen UUM di Sintok, Kedah yang dijangka diadakan pada awal November 2014 nanti.

Program Master ini telah pun bermula sejak awal September 2012. Sehingga kini, seramai 31 wartawan dan pengamal media telah dan sedang mengikuti pengajian iaitu 10 dari Kumpulan Pertama dan masing-masing 7 dari Kumpulan Kedua, Ketiga dan Keempat.

Program peringkat sarjana ini adalah di bawah seliaan Dr. Mohd. Khairie Ahmad, selaku Penyelaras Program Siswazah, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi.

Tenaga pengajar terdiri pula daripada Dr. Khairie sendiri dan pensyarah-pensyarah kanan di pusat pengajian sama.

Program ini dibuka kepada golongan wartawan/pengamal media di mana proses pengambilan pelajarnya diadakan tiap semester.

Yuran pengajian bagi program lima semester atau satu tahun setengah ini adalah sekitar RM15,000.00. Mereka yang layak boleh memohon pembiayaan MyMaster yang dikendalikan oleh Bahagian Biasiswa, Sektor Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membiayai pengajian mereka.

Sesiapa yang berminat boleh memuat turun borang dari laman sesawang www.uum.edu.my/index.php/en/student/prospective-students/postgraduate  dan klik pada Postgraduate Admission Procedures bagi Awang Had Salleh Graduate School of Arts & Sciences, UUMCAS.

1. Bergambar kenangan: Kumpulan Perintis program Master of Science (Managerial Communication) bersama pensyarah-pensyarah mereka. Duduk dari kiri; Azrul Amila Amir (BERNAMA TV), Ahmad Fauzi Mustafa (Parlimen), Muhammad Izawan Baharin (Harian Metro), Arman Ahmad (New Straits Times). Berdiri dari kiri; Murni Wan Omar (Harian Metro), Nuzatul Shima Sulaiman (MPI), Dr. Rosli Mohammed (pensyarah UUM), Dr. Adrian Budiman (pensyarah UUM), Dr. Mohd. Khairie Ahmad (pensyarah UUM) dan Naimah Salleh (Saito College).

2. Tulang belakang program Master of Science (Managerial Communication)  – tiga pensyarah UUM : Dr. Rosli Mohammed (kiri), Dr. Adrian Budiman (tengah) dan Dr. Mohd. Khairie Ahmad (kanan).

3. Suasana ceria di Jamuan Makan Tengahari di Marakesh Restaurant, Kg Bharu.

4.Keakraban terbayang dalam kalangan pelajar dan pensyarah di Jamuan Makan Tengahari di Marakesh Restaurant, Kg Bharu,diadakan untuk meraikan kejayaan kumpulan pertama menamatkan pengajian pada peringkat sarjana.