Kursus Atas Talian pertama anjuran MPI
Berikutan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pandemik Covid-19, Malaysian Press Institute (MPI) juga turut berhijrah ke alam maya untuk menganjurkan kursus- kursus yang selama ini diadakan secara bersemuka.
Kursus pertama berlangsung menggunakan kaedah tersebut adalah Bengkel Penulisan Teks Ucapan yang dikendalikan oleh Dr Jeniri Amir, Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Media Group (SMG) sebagai penceramah. Seramai 15 orang peserta telah mengikuti program secara maya ini yang dijalankan selama empat jam sehari bermula 3 – 4 November 2020.
Dr Jeniri telah membuat pembentangannya di pejabat beliau yang terletak di Kuching Sarawak manakala 15 peserta yang mengikuti bengkel secara virtual (maya) ini berada di pejabat dan di rumah masing-masing.
Rata- rata peserta berpendapat bahawa percubaan MPI untuk mengadakan kursus secara atas talian ini berjaya tetapi mereka merasakan waktu yang diperuntukkan selama empat jam terlalu singkat dan mereka berharap MPI akan memanjangkan tempoh kursus pada masa akan datang bagi membolehkan peserta melakukan aktiviti dan penceramah berkesempatan untuk mengulas hasil kerja tersebut.
Pengurus Latihan MPI, Puan Norhafiza Kamaludin berkata, beliau mengambil maklum tentang perkara tersebut dan akan mempertimbangkan setiap cadangan yang dibangkitkan oleh para peserta bagi kursus akan datang.
“Ini merupakan kursus pertama dibuat secara maya dan kita akui banyak kelemahan dan kekurangan yang tidak dijangka dan kita akan atasi pada masa akan datang bagi menyebarkan ilmu kepada para peserta” katanya lagi.