Kursus Media & Undang-Undang Tutup Tirai 2020
Malaysian Press Institute (MPI) melabuhkan tirai 2020 dengan penganjuran kursus terakhir pada 30 – 31 Disember 2020 bertempat di The Jerai Hotel, Alor Setar, Kedah.
Seramai 12 orang peserta terdiri daripada JAPEN, BERNAMA, Utusan Malaysia, Astro Awani dan juga Sinar Harian manakala 8 lagi peserta mengikuti secara lintas langsung melalui aplikasi Google Meet dan Google Classroom.
Tujuan utama berlangsungnya kursus ini adalah memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari prinsip asas undang –undang dan masalah umum yang timbul dalam konteks laporan sebenar yang telah diterbitkan dan berdasarkan kes-kes yang diputuskan di samping menerapkan pemahaman para peserta tentang media dan undang-undang dalam kerja seharian mereka dengan cara yang betul dan dikehendaki syarikat dalam konteks yang sebenar.
Sepanjang dua hari penganjuran kursus ini, para peserta dapat menambah pelbagai ilmu tentang undang-undang dan peranan media yang baru dalam mengukuhkan profesyen dalam bidang kewartawanan. Selain itu juga, para peserta didedahkan tentang batas undang-undang dalam melaporkan berita.
Menurut Mohd Syafiq Muhamad Razi peserta dari Japen Kedah, penyusunan topik-topik kursus yang teratur membolehkan mereka faham keseluruhan topik. Tambahnya lagi, penyampaian oleh penceramah berpengalaman banyak membantu para peserta mempelajari sesuatu yang baharu dan tidak mungkin dapat diperolehi dengan mudah di luar sana.
Kursus ini dikendalikan oleh Profesor Dato’ Salleh Buang, mantan Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara Kuala Lumpur.
Secara keseluruhan, para peserta memberi maklum balas positif dan berharap MPI dapat meneruskan anjuran kursus sebaik ini pada tahun 2021 dan seterusnya.