Kursus MyCC tutup tirai program latihan MPI 2017
Kerjasama di antara Malaysian Press Institute (MPI) dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam menganjurkan program Media Mengenai Akta Persaingan 2010 masuk tahun ketiga semenjak 2015.
Terbaharu, kursus yang memberi pencerahan terhadap akta tersebut telah berlangsung dengan jayanya pada 20 Disember 2017 di Hotel Hilton Kuala Lumpur.
Seramai 29 orang pengamal media Semenanjung termasuk Sabah menyertai kursus tersebut.
Kursus sehari yang melibatkan pengamal media ini bertujuan untuk memberi pemahaman dengan lebih lanjut mengenai peranan MyCC serta kes-kes terkini Akta Persaingan 2010 disamping membantu pengamal media dalam menyediakan laporan serta berita yang tepat mengenai isu persaingan tersebut.
Antara organisasi media yang terlibat adalah dari media penyiaran, percetakan dan juga digital seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), BERNAMA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),Utusan Malaysia, KOSMO!, New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro, Nanyang Siang Pau, Sin Chew Daily, dan The Sun.
Kursus dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Prof. Dr. Saadiah Mohamad, Anggota Suruhanjaya MyCC dan diteruskan dengan tayangan multimedia bersama Encik Iskandar Ismail, Pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan MyCC yang menerangkan secara menyeluruh tentang peranan serta beberapa contoh kes-kes yang telah dan sedang ditangani oleh MyCC sehingga waktu makan tengah hari.
Manakala disebelah petangnya pula, satu sesi bertajuk “Berani Bertanya” yang bertujuan untuk memberi peluang kepada para peserta berkongsi pengalaman dan kemahiran mengenai teknik-teknik bertanyakan soalan yang tepat dan berkesan ketika menghadiri suatu sesi temuramah atau sidang media telah disampaikan oleh penceramah yang berpengalaman luas, YBhg. Datuk Dr. Ibrahim Yahaya, mantan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran (RTM) & Ketua Pengarang Berita, BHSB yang merupakan Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Dalam Negeri.
Beberapa pegawai kanan MyCC turut mengambil bahagian dalam menyampaikan “persidangan media olok-olok” untuk menggalakkan penyertaan aktif di kalangan para peserta di bengkel tersebut semasa sesi latihan praktikal.
Sepanjang berkursus, pelbagai aktiviti berkumpulan dan persendirian diselitkan seperti kuiz dan teka gambar bagi menggalakkan penyertaan untuk sesi berani bertanya.
Rata-rata peserta berpendapat kursus ini sangat menarik dan santai disamping mendapat ilmu berkenaan peranan MyCC dalam penyediaan laporan berita dan rencana mereka yang lebih tepat dan betul.