Kursus penulisan rencana tingkatkan kemahiran berkarya wartawan

Kursus Penulisan Rencana & Naratif Berkesan yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh Malaysian Press Institute (MPI) pada tahun lepas diadakan semula pada tahun ini bertempat di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.

Kursus  ini terbuka kepada pertubuhan media dan juga organisasi korporat yang berminat dalam penulisan rencana, diadakan pada 29 – 30 Julai 2015 dan telah dikendalikan oleh Dr. Jeniri Amir, Pensyarah Kanan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (UMS).

Antara objektif kursus Penulisan Rencana & Naratif ini adalah untuk memberi peluang kepada para peserta dalam meningkatkan kemahiran penulisan rencana & naratif, melatih para peserta teknik ciri-ciri penulisan yang betul dan mengenali kesalahan umum dalam penulisan rencana.

Kursus yang dihadiri oleh 15 orang peserta yang terdiri daripada 10 orang wartawan dari pelbagai media seperti BERNAMA, BERNAMA Radio 24, Utusan Melayu, KOSMO!, dan Utusan Sarawak serta dua (2) peserta dari Jabatan Penerangan Malaysia, dua (2) peserta dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) & seorang dari Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB).

Pada hari pertama kursus, penceramah telah bertanyakan satu soalan kepada setiap peserta. Soalan yang berbunyi begini “dalam sehari berapa banyak artikel rencana yang anda baca?” Ada yang menjawab (3) tiga, (2) dua dan ada yang tidak membaca langsung artikel tentang rencana.

Penceramah agak kesal dengan jawapan yang diberikan oleh setiap peserta yang mana pada hemat penceramah, peserta seharusnya membaca sekurang-kurangnya 7 – 10 artikel rencana dalam sehari. Disebabkan peserta telah memberi jawapan sebegitu, maka banyaklah latihan telah diberikan pada hari pertama seperti menulis beberapa rencana dan artikel serta menemuramah orang ramai di sekitar hotel berkenaan.

Pada hari kedua, peserta telah diberi tugasan dan aktiviti berkumpulan. Mereka diminta untuk membentangkannya bagi menilai keberkesanan penulisan rencana yang diajar pada hari pertama.

Pada keseluruhannya, peserta telah menunjukkan reaksi yang positif hasil daripada latihan dan aktiviti yang telah diberikan dan mendapat pujian daripada penceramah.

1. Jeniri Amir menyampaikan ceramah beliau dan menekankan bahawa banyak artikel rencana boleh didapati di dalam akhbar seperti Utusan Malaysia ini.

2. Peserta sedang berbincang apakah sifat-sifat penting yang perlu ada dalam setiap penulisan rencana.

3. Salah satu kumpulan sedang membentangkan hasil aktiviti yang telah dibincangkan.

4. Para peserta bergambar beramai-ramai bersama penceramah pada hari terakhir kursus.