Laporan penyertaan dan kualiti penulisan Anugerah Media Kesihatan 2014

Laporan  Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya selaku Pengerusi Panel Hakim Anugerah Media Kesihatan Kementerian Kesihatan 2014, dibentangkan pada Malam Media Kementerian Kesihatan pada 11 November 2014 jam 8 malam di Hotel Cititel, Mid-Valley, Kuala Lumpur.

PENGENALAN

Pertama-tama, saya ingin mengambil kesempatan awal ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya kepada Menterinya, Datuk Seri S. Subramanian atas penganjuran Anugerah Media Kementerian Kesihatan Malaysia bagi  kali yang ke lapan pada malam ini.

Malaysian Press Institute (MPI) berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan berterima kasih kerana terus diberi kepercayaan untuk bertindak sebagai sekretariat penghakiman bagi anugerah ini.

Hakikat bahawa majlis yang berlangsung pada malam ini adalah tahun ke lapan berturut-turut, Anugerah Media Kementerian Kesihatan ini mencatat satu rekod yang tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana kementerian atau jabatan kerajaan yang lain.

Apa yang lebih menarik adalah Anugerah Media Kesihatan ini bukan sahaja dapat bertahan; ia telah membina kekuatan dan jenamanya yang tersendiri. Selain itu, ia terus mendapat sambutan yang membanggakan daripada komuniti wartawan Malaysia yang memang menyanjung usaha pihak kementerian untuk mengiktiraf karya-karya terbaik pelbagai produk kewartawanan yang mereka hasilkan.

PENYERTAAN 

Ini terbukti apabila penyertaan bagi tahun ini menyaksikan penyertaan tertinggi sejak anugerah ini diperkenalkan pada 2009.

Bagi tahun 2014, Anugerah Media Kementerian Kesihatan  menerima 224 penyertaan iaitu meningkat sebanyak 19 penyertaan berbanding  2013.

Bilangan penyertaan Anugerah Media Kesihatan 2011-2014

Tahun Penyertaan
2014 224
2013 205
2012 169
2011 154

Sumber: Rekod MPI

Bagi 2013, bilangan penyertaan adalah sebanyak 205; pada 2012, penyertaannya adalah 169 dan pada 2011 penyertaannya pula sebanyak 154.

Ini bermakna dalam tempoh empat tahun antara 2011 hingga 2014, dari segi penyertaan, Anugerah Media Kesihatan mengalami pertumbuhan sebanyak 45.45 peratus atau  70 penyertaan.

Mengikut kategori pula penyertaan Anugerah Media Kementerian Kesihatan 2014 adalah seperti berikut:

Penyertaan Anugerah Media Kementerian Kesihatan Malaysia 2013 & 2014

Kategori Bahasa/Medium Jumlah Penyertaan 2014 Jumlah Penyertaan 2013
Televisyen Melayu 22 16
Akhbar Bahasa Melayu 73 37
Akhbar Bahasa Inggeris 26 40
Akhbar Bahasa Cina 6 14
Akhbar Bahasa Tamil 1 7
Majalah Bahasa Melayu 11 18
Majalah Bahasa Inggeris 17 30
Majalah Bahasa Cina 5 6
Majalah Bahasa Tamil 0 5
Program Kesihatan Terbaik Televisyen 5 4
Program Kesihatan Terbaik Radio 11 5
Promo Kesihatan Terbaik  Radio 23 7
Foto Akhbar/pelbagai bahasa 24 16
Jumlah 224 205

Sumber: Rekod MPI

KUALITI PENYERTAAN

Panel Hakim Anugerah Media Kesihatan 2014 terdiri daripada para wartawan veteran, ahli-ahli akademik dalam bidang kewartawanan dan para doktor dan pakar perubatan. Dalam membuat penghakiman, antara elemen penting yang diberi perhatian termasuklah pemilihan topik, kualiti penyelidikan, ketepatan fakta, pembinaan hujah dan dalil, penceritaan, daya penulisan dan kesan keseluruhan karya.

Berdasarkan  komen-komen yang diberikan sewaktu panel hakim  bermesyuarat untuk membuat keputusan memilih pemenang, saya boleh merumuskan bahawa kualiti penyertaan bagi Anugerah Media Kesihatan 2014 adalah seperti berikut:

  • Pertama, secara keseluruhan, seiring dengan peningkatan kuantiti penyertaan, terdapat juga peningkatan dalam kualiti penulisan yang amat ketara dan memberangsangkan. Penyertaan dalam kalangan mereka yang terpilih sebagai tiga teratas dalam kategori yang disertai adalah membanggakan. Ada sebilangan peserta nampaknya telah mengangkat diri mereka sebagai penulis yang khusus atau specialist writer dalam bidang kesihatan dan perubatan. Tidaklah hairan kalau ada antara mereka yang dinobatkan sebagai pemenang sebentar lagi terdiri daripada mereka yang pernah menjadi pemenang pada tahun-tahun sebelumnya. Sekiranya salah satu matlamat anugerah ini adalah untuk melahirkan para wartawan dan penulis berkait isu-isu kesihatan yang berketerampilan, maka matlamat itu telah dapat direalisasikan.
  • Kedua, seperti tahun lalu, karya-karya yang dihasilkan dinilai bukan sekadar memenuhi tahap pertama kewartawanan iaitu memaklumatkan khalayak dengan elemen-elemen asas pemberitaan iaitu menjawab persoalan 5W 1H, tetapi juga berupaya diangkat ke tahap kedua kewartawanan iaitu mengupas isu-isu kesihatan secara mendalam, melihat yang tersirat di sebalik yang tersirat dan tahap ketiga kewartawanan iatu bagi tujuan pembujukan dan seterusnya merangsang inspirasi khalayak untuk mengambil tindakan berkait isu-isu yang diperkatakan. Ini dilakukan oleh  para wartawan itu, dengan menerusi in-depth information dalam karya masing-masing yang berupaya memberi pencerahan terhadap  topik yang dikupas.
  • Dibantu oleh penyelidikan, pemerhatian dan penelitian yang mendalam terhadap topik pilihan, para wartawan itu telah menghasilkan karya-karya yang baik; ditulis pula dengan gaya bahasa yang mudah untuk difahami oleh orang biasa. Ini penting kerana jika tulisan tidak difahami, usaha para wartawan akan menjadi sia-sia.
  • Topik-topik yang dipilih juga pelbagai, tetapi pada umumnya masih lagi mencerminkan isu-isu semasa berkaitan kesihatan sewaktu karya digarap. Ketepatan fakta dan maklumat yang mahu disampaikan juga disahkan oleh para doktor dan pakar perubatan dan kesihatan yang duduk dalam penal hakim.
  • Namun di sebalik kejayaan itu, panel hakim bagi kategori TV berpendapat bahawa penyertaan bagi itu masih belum dapat memenuhi piawai yang diingini kerana ada antara wartawan TV yang keliru dengan isu-isu kesihatan dan perubatan dengan isu-isu sosial yang mempunyai elemen kesihatan menyebabkan mereka gagal mengupas isu yang dibicarakan secara mendalam.
  • Begitu juga dengan penyertaan bagi kategori foto. Sebahagian besar yang dihantar ke anugerah ini tidak mencerminkan elemen kesihatan/perubatan yang menepati skop yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
  • Dari segi bahasa pula, panel hakim agak kecewa dengan penyertaan akhbar dan majalah bahasa Tamil. Penyertaan bagi 2014 merosot, berbanding 2013, walaupun MPI dengan kerjasama para hakim bahasa Tamil telah bersungguh-sungguh mempromosi anugerah ini dalam kalangan pengamal media berbahasa Tamil.

 PENUTUP

Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk:

  • Mengucapkan terima kasih kepada panel hakim kerana komitmen yang diberikan untuk menilai karya-karya Anugerah Media Kesihatan Malaysia 2014 secara teliti dan rapi.
  • Mengucapkan tahniah kepada para pemenang yang akan diumumkan sebentar lagi. Kepada yang tidak berjaya, jangan berputus asa. Cuba lagi tahun hadapan.
  • Sekali lagi terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana tidak jemu-jemu untuk mengiktiraf karya-karya terbaik berkait kesihatan yang dihasilkan oleh para wartawan sepanjang tahun ini.
  • Juga terima kasih kepada pihak Kementerian kerana terus mengamanahkan MPI untuk bertindak sebagai sekreteriat penghakiman Anugerah Media Kesihatan ini bagi kali ke lapan berturut-turut.
  • Adalah menjadi harapan seluruh komuniti wartawan Malaysia semoga Anugerah ini akan diteruskan pada masa-masa akan  datang.

Terima kasih.