Lebihkan tumpuan pada laporan siasatan – Prof Jomo
Tokoh Akademik Negara, Profesor Jomo Kwame Sundaram menyampaikan pesanan kepada media agar memberi lebih tumpuan membuat laporan siasatan pada era Malaysia baharu kini daripada melaporkan berita berbaur politik di majlis Bicara Makan Tengah Hari bersama editor dan pengamal media anjuran Malaysian Press Institute (MPI) di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 30 Januari baru-baru ini.
Dalam ucapan beliau berjudul “Malaysia Baharu: Peranan Media” di hadapan lebih daripada lima puluh editor, wartawan kanan, pengamal media dan ahli akademik, Profesor Jomo menegaskan media haruslah mengambil ruang dan peluang yang ada pada era pimpinan baharu ini dengan membongkar dan mendalami kes-kes yang melibatkan kerajaan terdahulu melalui laporan siasatan mereka yang jujur dan tidak berat sebelah serta menyerahkan kepada budi bicara para pembaca menilainya dalam membuat justifikasi dan kesimpulan muktamad mereka. “Inilah strategi menuju Malaysia Baharu yang patut kita praktis”, katanya.
Para editor dan wartawan kanan yang hadir, antaranya ialah : Datuk Seri Azman Ujang (BERNAMA), Datuk Zulkefli Hamzah (Kumpulan Utusan), En. Khaidhir A. Majid (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (BH), En. Azizi Othman (NSTP), En. Muzli Mohamad Zin (NST), En. Tuan Mohd. Asri Tuan
Hussein (HMetro), En. Steven Gan (Malaysiakini), En. Syed Ali (TV Alhijrah), Tuan Haji Ahmad Nazri (IKIM) dan En. Mohd. Azri Atan (TV3).
Manakala ahli-ahli akamedik yang turut hadir ialah : Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican (USM), Prof. Dato’ Syed Arabi Idid (UIAM), Prof. Madya Dr. Ali Salman (Taylor’s University), Prof. Dr. Samsudin A. Rahim (Taylor’s University), Prof. Dr. Azizah Hamzah (USIM) dan Dr. Md. Azlanshah Md Syed (Universiti Malaya).
Pada sesi soal-jawab bersama para hadirin, antara yang bertanyakan soalan ialah – En. Steven Gan (Malaysiakini), En. Khaidhir A. Majid (BH), Dato’ Baharom Mahusin dan Prof. Dr. Azizah Hamzah (USIM) sebelum majlis berakhir dengan makan tengahari.
Bicara Makan Tengah Hari merupakan salah satu program bersiri MPI bagi mempertemukan barisan kepimpinan/tokoh pembangunan negara dan pakar-pakar kewartawanan/media tanahair. Selepas ini, ia akan diteruskan bersama pemimpin/tokoh yang lain pula.