LENGGOK BAHASA BERI IMPAK BESAR DALAM PENULISAN

Oleh PUAN NUR RAMIZAH ABDUL AZIZ.

Penggunaan bahasa yang betul dan tertib dalam penghasilan penulisan amatlah penting. Olahan ayat juga mesti memaparkan kesinambungan yang menarik agar mendapat perhatian pembaca, selain dapat meningkatkan penguasaan bahasa dan penggunaannya dalam urusan penulisan dan pelaporan harian sesebuah organisasi.

Kemahiran menggunakan bahasa dan tatacara ayat yang betul dikongsi oleh Dr. G Manimaran (Perunding Media & Komunikasi) dan Encik Nawi Ismail (Tokoh Guru Kebangsaan 2019 & Munsyi Bahasa) dalam penganjuran Kursus Penulisan dan Pelaporan Berkesan: Penjanaan Idea dan Penguasaan Bahasa anjuran Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (BDPS) JAPEN dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI). Kursus tersebut selesai diadakan pada 8 hingga 10 September 2021 lalu dengan kehadiran seramai 40 orang peserta secara atas talian.

Pada sesi hari pertama para peserta telah didedahkan dengan perkongsian dan perbincangan umum soal bahasa dan penjanaan idea oleh kedua-dua penceramah tersebut. Pengalaman luas penceramah dalam bidang penulisan dan bahasa telah memberi peluang ilmu yang bermanfaat kepada semua peserta.

Munsyi Bahasa, Encik Nawi Ismail seterusnya berkongsi berkenaan komponen bahasa dalam penulisan, prinsip penambahbaikan penguasaan bahasa dalam penulisan profesional serta kemahiran penguasaan bahasa yang berkesan. Para peserta teruja apabila dapat belajar perkataan baharu dan lenggok bahasa yang unik yang selama ini tidak diketengahkan sewajarnya. Para peserta juga berkomunikasi dengan baik bersama penceramah dengan bertanya soalan dan berbincang mengenai modul kursus pada hari pertama tersebut.

Hari kedua dan ketiga pula dikendalikan oleh Dr. G Manimaran yang menerangkan secara khusus topik-topik gaya penulisan efektif, percambahan idea dan kepelbagaian bentuk dan gaya penulisan.

Di samping itu setiap topik yang dibincangkan diselitkan dengan latihan untuk para peserta menguji kemahiran mereka. Pada hari terakhir menyaksikan banyak latihan dan perbincangan struktur bahasa yang diketengahkan oleh penceramah bersama peserta. Hasil perbincangan dikongsi di akhir sesi dengan pembentangan tugasan oleh para peserta.

Penceramah menekankan untuk menghasilkan penulisan dan pelaporan yang efektif seharusnya menitik beratkan penggunaan bahasa dan ayat yang betul supaya penulisan atau pelaporan tersebut dapat disampaikan secara profesional dan mudah difahami oleh pembaca.

Rata-rata peserta berpendapat kursus seperti ini diadakan selalu dan perlu lebih khusus terutama kepada Pegawai-pegawai Penerangan dari cawangan dan berharap agar akan ada lanjutan daripada kursus ini.

RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR

Hari pertama dimulakan dengan sesi suai kenal penceramah iaitu Dr. G Manimaran dan Encik Nawi Ismail bersama para peserta.
Encik Nawi Ismail menyampaikan sesi beliau. Peserta juga mengambil kesempatan untuk bertanya soalan kepada penceramah.
Sesi Dr. G Manimaran pada hari kedua dan ketiga bersama peserta.
Antara tugasan individu dan hasil yang perlu disiapkan oleh setiap peserta kursus dimaklumkan melalui chat box.
Para peserta merakamkan grup foto bersama penceramah di akhir sesi pada hari ketiga. Terima kasih semua !