Luncheon Talk Peguam Negara: Galeri Foto
Lebih seratus editor, wartawan dan ahli akademik dalam bidang komunikasi, media dan kewartawanan mendengar pencerahan mengenai media dan undang-undang disampaikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamed Apandi Ali di suatu majlis makan tengahari bersama beliau di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 26 April 2016.
Majlis ini dianjurkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) berkolabarasi dengan Institut Pengajian Kewartawanan (IJS), UiTM merupakan yang pertama daripada salah satu program kerjasama yang disyorkan hasil daripada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPI dengan IJS di Shah Alam pada Disember tahun lalu.
Antara tokoh wartawan, peneraju editorial dan ilmuwan universiti yang hadir di majlis ini termasuklah Datuk Seri Azman Ujang (BERNAMA), Datuk Mustapa Omar (Harian Metro), Datuk Othman Mohamad (Kumpulan Utusan), Dato’ Baharom Mahusin (KOSMO!), Datuk Abdul Jalil Ali (Kumpulan Media Karangkraf), Datuk Ahirudin Attan (BRU Publications), Prof. Dr. Mohd. Safar Hasim (IKMAS, UKM), Prof. Dr. Azizah Hamzah (Universiti Malaya) dan Prof. Dr. Faridah Ibrahim (Infrastructure University Kuala Lumpur). Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran 14 peserta IKON Siarawan RTM, sebuah program realiti kewartawanan di TV2 yang bakal melahirkan pelapis wartawan penyiaran terlatih.
Bertajuk “Media dan Undang-Undang : Perspektif Negara”, ceramah Tan Sri Apandi adalah berkisarkan penegasan beliau mengenai hak kebebasan bercakap dan bersuara oleh pengamal media di Malaysia adalah tidak mutlak dan tertakluk kepada beberapa sekatan undang-undang. Menurut beliau, sekatan undang-undang ini pula bukanlah sewenang-wenangnya dibuat, tetapi ia bagi memastikan ketenteraman awam kekal terpelihara. Oleh kerana itu, kuasa yang ada pada media dalam mempengaruhi orang awam wajar digunakan dengan penuh hemah dan bertanggungjawab bagi memajukan agenda nasional untuk memelihara ketenteraman awam dan kesejahteraan umum dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.
Beberapa akta berkaitan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 turut diperjelaskan dengan pembentangan contoh-contoh kes terkini yang relevan. Di akhir ceramah, beliau menyarankan kebebasan bersuara perlu diimbangi dengan etika kewartawanan yang baik dan Responsible Journalism menjadi tonggak utama dalam profesion kewartawanan bagi memastikan industri kewartawanan dan media negara berkembang dan menjadi lebih matang.
Beliau bersoal-jawab dengan beberapa peserta hadirin, antaranya James Sarda, Ketua Pengarang Sabah Daily Express; Nadeswaran, Pengarang Siasatan Khas The Sun; Dr. Hamisah Hassan, Ketua Jabatan Komunikasi, UPM; wakil peserta IKON Siarawan RTM dan Datuk Seri Azman Ujang, Pengerusi BERNAMA sebelum majlis berakhir dengan makan tengahari.
Program Luncheon Talk anjuran MPI-IJS ini ditaja oleh UEM Group Berhad dan bakal diadakan secara bersiri melibatkan beberapa pemimpin negara yang lain pula.
SEKITAR MAJLIS LUNCHEON TALK PEGUAM NEGARA
Antara editor/wartawan yang melontarkan soalan