PNB PERKENAL PELAN STRATEGIK PATUH SYARIAH – WAHID OMAR
Permodalan Nasional Berhad (PNB) merancang menukar 20 peratus daripada saham syarikat strategiknya, Maybank kepada saham Islamik atau ‘i-shares’ menerusi pengasingan aset tanpa campur tangan entiti asing. Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata demikian dalam ucapannya di Majlis ‘Luncheon Talk’ bersama Editor dan Pengamal Media di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 15 Ogos 2017.
Majlis ini dianjurkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) berkolabarasi dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) merupakan yang ketiga daripada siri ‘luncheon talk’ yang dirancang oleh MPI bagi mempertemukan barisan kepimpinan/tokoh pembangunan negara dan pakar-pakar kewartawanan/media tanahair.
Tan Sri Abdul Wahid mengulas lebih lanjut, langkah strategik ini memiliki asas yang kukuh dan bertujuan menyokong agenda pembiayaan Islam oleh kerajaan dengan mewujudkan lebih banyak instrumen pelaburan syariah menerusi syarikat-syarikat pelaburannya. “Jika pelan ini berjaya, ‘i-share’ Maybank akan menjadi sebuah aset patuh syariah bernilai kira-kira RM20 bilion. Manakala bank-bank lain seperti CIMB Group Bhd, RHB Bank dan Bursa Malaysia akan turut menerapkan konsep ini’, ujarnya.
Dalam perkembangan rancangan strategik yang lain, beliau juga membentangkan pelan transformasi PNB ke arah menjadi institusi pelaburan bertaraf dunia yang sehingga kini menunjukkan petanda positif, di samping memaklumkan status projek Merdeka PNB 118 kini berjalan lancar di mana menara setinggi 630 meter yang tersenarai sebagai bangunan kelima tertinggi dunia bakal menjadi mercu tanda baharu Malaysia.
Beliau turut berkongsi mengenai keputusan peribadinya menamatkan perkhidmatan dalam kerajaan selepas menyertainya hanya sepenggal adalah disebabkan tidak mahu menjadi ahli politik. “Keputusan itu juga sebenarnya adalah berdasarkan ‘persefahaman’ yang telah dicapai dengan isteri sebelum menyertai jemaah menteri dan telah mendapat ‘persetujuan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila dimaklumkan mengenainya awal-awal lagi”, jelas Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
Ketika ditanya pada sesi soal-jawab tentang kemungkinan beliau kembali menyertai kerajaan pada masa depan, beliau bertegas bahawa hatinya tetap dan jelas dengan keputusan untuk kekal dalam dunia korporat. “Saya berbesar hati dapat berkhidmat dalam kerajaan dan telah melakukan sebaik mungkin dalam tempoh sepenggal. Namun saya gembira dapat kembali ke dunia korporat dan kini memainkan peranan yang penting dalam satu institusi nasional utama seperti PNB,” katanya.
Lebih seratus peneraju editorial, wartawan dan ilmuwan universiti hadir di majlis ini antaranya; Datuk Zakaria Abdul Wahab (BERNAMA), Datuk Haji Izelan Basar (Alhijrah), Datuk Wong Sai Wan (Malay Mail), Puah You Lai (Oriental Daily), Rozaman Ismail (Kumpulan Utusan), M. Shanmugam (STAR Media Group), Abdul Razak Abu Chik (Astro AWANI), Nasharudin Tajuddin (TV3), Agus Setiawan (antarakl.com), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican (USM), Prof. Dato’ Dr. Syed Arabi Idid (UIA), Prof. Dr. Azizah Hamzah (Universiti Malaya), Prof. Dr. Azmuddin Ibrahim (UNISEL) dan En. Mohd. Amirul Zulkifli (UiTM). Ia turut disertai 10 pelajar Doktor Falsafah dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Pada sesi soal-jawab bersama para hadirin, lapan peserta melontarkan soalan – Abdul Razak Abu Chik, Pengarang, Projek Khas Astro AWANI; M. Shanmugam, Specialist Editor, STAR Media Group; Dr. Nik Roskiman, Pengarah Pusat Media IKIM; Gan Ai Ling, Business Editor, TV3; Ismail Hashim, Pensyarah UNISEL; dan tiga wartawan liputan masing-masing dari Malaysiakini, BERNAMA dan Astro AWANI sebelum majlis berakhir dengan makan tengahari.
Jika tiada aral, kesemua editor, wartawan dan ahli akademik akan berkumpul semula di program Luncheon Talk seterusnya pada bulan Oktober nanti, kali ini bersama Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan Malaysia, YAA Tan Sri Dato’ Seri Md Raus Sharif pula.
SEKITAR MAJLIS LUNCHEON TALK PENGERUSI PNB BERSAMA MEDIA