Malam Wartawan 2013 ditunda April
Malam Wartawan Malaysia 2013 anjuran Malaysian Press Institute (MPI) yang mengundang Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai tetamu kehormat yang pada mulanya dijadualkan pada 29 Mac depan telah ditunda ke penghujung April.
Tarikh sebenar penganjuran acara tahunan itu tertakluk kepada kesesuaian jadual Perdana Menteri. Majlis Pentadbir MPI berharap majlis tersebut dapat diadakan pada atau selepas 19 April.
Surat mengundang Perdana Menteri telahpun dipanjangkan kepada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Sri Ab. Aziz Kassim pada 21 Januari 2013.
Tekan sini untuk surat kepada KSS PM.
Keputusan menunda acara tahunan itu dibuat atas nasihat Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku SariffuddinTengku Ahmad yang menyatakan tarikh 29 Mac itu tidak sesuai kerana Pilihan Raya Umum ke-13 berkemungkinan diadakan pada bulan itu.
“Saya sendiri tidak tahu bila PRU hendak diadakan, tetapi saya rasa jika PM ingin menjadi tetamu kehormat Malam Wartawan 2013, ia tarikh yang tidak sesuai,” kata beliau kepada Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya.
Beliau membayangkan pada ketika itu, Dewan Rakyat berkemungkinan telah dibubarkan dan kempen-kempen baharu bermula.
“Bila-bila pada akhir April 2013 adalah tarikh yang selamat,” ujar beliau.
Penundaan itu dipersetujui oleh Jawatankuasa Penganjuran Malam Wartawan Malaysia pada mesyuarat pertamanya di MPI pada 10 Januari 2013 memandangkan para wartawan juga akan sibuk bertugas meliputi kempen jika benar PRU diadakan pada akhir Mac seperti yang diramalkan oleh ramai pemerhati politik.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya itu turut dihadiri oleh wakil PETRONAS, penaja Hadiah Kewartawanan Malaysia dan para wakil organisasi media tempatan, selain Ahli Majlis Pentadbir dan Ahli Pemegang Amanah MPI.
Tekan sini untuk senarai Jawatankuasa Penganjuran Malam Wartawan 2013.
Pada mesyuarat itu, wakil PETRONAS dalam Jawatankuasa Penganjuran Malam Wartawan sejak sekian lama, Juliana Omar memaklumkan beliau akan bersara pada April 2013 dan tempatnya akan diganti oleh Nuroul Hana yang akan mengambil alih tugasnya di syarikat minyak milik negara itu berkuatkuasa tarikh yang sama.
MPI merakamkan penghargaan kepada Juliana di atas sumbangn beliau dalam menjayakan HKM dan Malam Wartawan Malaysia yang telah diadakan sejak 1980 dan ditaja oleh PETRONAS mulai 1994.
Mesyuarat Majlis Pentadbir MPI pada November 2012 sebulat suara bersetuju untuk mengundang Perdana Menteri sebagai tetamu kehormat.
Hadiah Kewartawanan Malaysia menawarkan hadiah wang tunai RM300,000.00 setahun kepada para pemenang 13 kategori yang dipertandingkan. Hadiah bagai setiap kategori bernilai RM15,000.00.
Wartawan yang karyanya dihakimi paling cemerlang akan dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai yang akan membawa pulang hadiah bernilai RM30,000.00.
Hadiah bagi Tokoh Wartawan Negara yang juga menawarkan hadiah wang tunai RM30,000.00 pula diadakan pada majlis berasingan.
Tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2012 ialah Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak manakala hadiah kepada penerima Tokoh Wartawan Negara telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai 2012.
Chamil (berbaju putih) mempengerusikan mesyuarat JK Pelaksana Malam Wartawan 2013. Turut kelihatan (kiri): Muis (RTM), Azri Atan (Media Prima), Nik Kamal (Jabatan Penerangan), Choo (Sin Chew), Foo (Nanyang). Kanan: Syed Agil Syed Jaafar (Utusan). Turut hadir, tapi tiada dalam gambar: Datuk Yong Soo Heong (Bernama), T. Selva (The Star), Juliana Omar (Petronas), Norul Hana Othman (Petronas).