Malam Wartawan 2014 raikan 20 tahun kerjasama MPI-PETRONAS

Jika tidak ada aral melintang, Malam Wartawan Malaysia 2014 (MWM 2014) dijadualkan berlangsung pada 18 April 2014 di ibu negara Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diundang untuk menjadi tetamu kehormat pada majlis yang diadakan khusus untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2013 (HKM).

Malam itu akan dimeriahkan oleh kehadiran 800 orang tetamu, sebahagian besar mereka pengamal media dan rakan-rakan korporat yang bersetuju untuk membeli meja bagi menjayakan acara tahunan anjuran Malaysian Press Institute (MPI).

Keputusan mengundang Timbalan Perdana Menteri sebagai tetamu kehormat dibuat oleh Jawatankuasa MWM 2014 yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya dan Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad yang juga Setiausaha MPI, pada mesyuaratnya di MPI pada 25 Februari 2014.

Turut hadir ialah ahli Majlis Pentadbir MPI, dua orang wakil PETRONAS.

Tetamu kehormat bagi MWM 2012 dan 2013 adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa seramai 197 orang wartawan telah mengemukakan karya masing-masing untuk HKM 2013.

Penyertaan paling tinggi diterima adalah bagi kategori Kewartawanan Foto Cemerlang iaitu 78 orang; diikuti Esei Foto Cemerlang 38 orang.

35 peserta menyertai kategori kewartawanan televisyen atau video iaitu 20 penyertaan untuk Berita Video Terbaik dan 15 untuk Dokumentari Video Terbaik. Bakinya adalah penyertaan daripada media cetak.

Pemenang bagi setiap kategori – kecuali esei foto – akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM15,000.00

Penyertaan terbaik di kalangan pemenang akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kajai yang menawarkan hadiah wang tunai RM30,000.00 dan sekeping siling emas seberat 100 gram. Sejak Anugerah Kajai diperkenalkan pada 1982, 23 orang telah diiktiraf sebagai wartawan Kajai.

Karya-karya pemenang telah dihimpunkan dalam sebuah buku berjudul Membongkar Penyelewengan, Mencari Kebenaran. Edisi kedua buku tersebut yang memuatkan karya para pemenang baharu sahaja diterbitkan oleh MPI dan akan diedarkan pada MWM 2014 nanti.

Keseluruhan jumlah hadiah HKM 2013, yang ditaja oleh syarikat minyak nasional PETRONAS adalah berjumlah RM300,000.00.

PETRONAS adalah penaja Hadiah Kewartawanan Malaysia sejak 1994. Ini bermakna apabila MWM 2014 berlangsung nanti, MPI dan PETRONAS akan merayakan kerjasama strategi yang berusia 20 tahun dalam mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan nasional dengan objektif utama untuk meningkatkan mutu kewartawanan di negara ini.

Butiran bilangan HKM 2013 adalah seperti berikut:

Kategori Bilangan Penyertaan Bilangan artikel
Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail 9 36
Kewartawan Perkhidmatan Awam Cemerlang 21 63
Laporan Berita Cemerlang 21 63
Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang 11 33
Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang 8 24
Penulisan Rencana Cemerlang 34 102
Kolumnis Cemerlang 7 21
Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang 8 24
Kewartawanan Foto Cemerlang 78 78
Esei Foto Cemerlang 38 38
Berita Video Terbaik 20 20
Dokumentari Video Terbaik 15 14
Jumlah 270 517

1. Chamil (kanan) dan Mustapa (kiri) mempengerusikan bersama mesyuarat Jawatankuasa Malam Wartawan Malaysia 2014 di MPI, Kuala Lumpur pada 25 Februari 2014.

2. Wakil PETRONAS: Puan Mona Fairuz Nordin.

3. Wakil PETRONAS: Cik Noor Aina Ashraf.

4. Bergaya dan santai: Ahli Jawatankuasa Malam Wartawan Malaysia 2014 bergambar untuk kenangan selepas mesyuarat. Dari kiri (duduk): Nik Mohd Kamal (Jabatan Penerangan Malaysia), Francis Faher (Persatuan Wartawan Sabah), Noor Aina Ashraf (PETRONAS), Mustapa Omar (Setiausaha/Bendahari/Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad). Berdiri: Mona Fairuz Nordin (PETRONAS), Syed Agil Syed Jaafar (Kumpulan Utusan), Sri Diah (Kumpulan Karangkraf), Yong Soo Heong (BERNAMA), Choo Joon Kien (Sin Chew), T. Selva (The Star), Abdul Muis Shefii (Bilik Berita RTM), Eric Foo (Nanyang) dan Chamil Wariya (duduk paling kanan).

Tidak hadir dan tiada dalam gambar: Azri Atan (TV3) dan William Chan (Utusan Sarawak).