Malam Wartawan dan Hotel Istana KL
Pautan asal : Malam Wartawan dan Hotel Istana KL – VOA Media Network (home.blog)
Oleh DATUK DR. CHAMIL WARIYA – 3 Julai 2021
Malam Wartawan Malaysia (MWM), acara tahunan anjuran Malaysian Press Institute (MPI) untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) dan Hotel Istana, Kuala Lumpur sudah menjadi semacam sinonimus dalam kalangan komuniti wartawan di negara ini.
Hal ini kerana dalam tempoh 12 tahun lalu, MWM telah dilangsungkan empat kali di hotel tersebut – pada 2009, 2010, 2013 dan 2015.
Tetamu kehormat pada MWM 2009 ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak; pada 2010 Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir untuk memeriahkan MWM (lihat foto di atas); Datuk Seri Mohd Najib kembali menjadi tetamu kehormat pada MWM 2015 (lihat foto di bawah).
Hotel Istana menjadi pilihan MPI kerana status lima bintangnya serta kedudukannya yang strategik di tengah-tengah ibu negara Kuala Lumpur, dengan itu memudahkan para tetamu untuk hadir.
Bagi MWM 2020, hotel tersebut juga dipilh menjadi venu majlis tersebut.
Tetapi kerana ia menjadi stesen kuarantin Covid-19 bagi rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara, penganjuran MWM telah dipindahkan ke Hotel Majestic, Kuala Lumpur.
Bagi MWM 2021 yang dirancang diadakan pada 20 Ogos, Hotel Istana sekali lagi dipilih sebagai venunya.
Bagaimanapun pelaksanaan Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 1 Julai 2021, dan dijangka berlanjutan ke bulan Ogos, yang tidak mengizinkan penganjuran majlis sosial dengan kehadiran ramai orang, mengakibatkan penganjuran MWM ditunda ke November atau Disember.
Hotel Istana dikekalkan sebagai tempat majlis kerana MPI telah membayar deposit 50 peratus kos penganjurannya.
Tetapi berikutan penutupan Hotel Istana, bermula 1 Setember, maka majlis itu tentulah tidak dapat diadakan di sana seperti yang dirancang.
Sesungguhnya MPI turut bersedih dengan penutupan hotel tersebut. Tapi kami redha dengan apa yang berlaku.
Kuala Lumpur pula kehilangan sebuah hotel ikonik yang menjadi kegemaran tetamu dan pelancong dalam dan luar negara.
Sudah tentu yang menjadi mangsa Covid-19 bukan Hotel Istana sahaja. Menurut Persatuan Hotel Malaysia, 120 buah hotel pelbagai status telah ditutup tahun lalu dan tahun ini kerana mengalami kerugian besar.