Malam Wartawan Malaysia 2013

Malam Wartawan Malaysia 2013, majlis tahunan yang diadakan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM), dijadual berlangsung pada 29 Mac tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak akan diundang sebagai tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Keputusan ini dibuat oleh Majlis Pentadbir Malaysian Press Institute (MPI), penganjur Malam Wartawan Malaysia pada mesyuaratnya pada 30 Oktober 2012.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya.

Turut hadir ialah Setiausaha merangkap Bendahari MPI, Datuk Mustapa Omar yang juga pengarang kumpulan Harian Metro/Metro Ahad. Ahli Majlis Pentadbir lain yang hadir ialah: Datuk Yong Soo Heong (Ketua Pengarang Bernama), Datuk Ibrahim Abdul Rahman (Ketua Pengarah, Jabatan Penerangan Malaysia), T. Selva (Ketua Pengarang Berita, The Star), Syed Agil Syed Jaafar (Pengurus Jabatan Pengarang, Kumpulan Utusan), Choo Joon Kian (Sin Chew Daily), Sri Diah (Kumpulan Karangkraf).

Seperti tahun sebelumnya, 12 kategori hadiah akan dipertandingkan dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia 2012. Penyertaan dibuka mulai 1 Julai 2012. Bagi karya-karya kewartawanan antara Januari hingga Oktober 2012, tarikh tutup penyertaan ialah pada 14 November 2012. Bagi karya-karya November dan Januari 2012, tarikh tutup penyertaan ialah pada 7 Januari 2013.

12 kategori HKM itu ialah: Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail, Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang, Laporan Berita Cemerlang, Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang, Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang, Penulisan Rencana Cemerlang, Penulisan Komentar/Kolumnis Cemerlang, Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang, Kewartawanan Esei Foto Cemerlang, Kewartawanan Foto Cemerlang, Berita Video Cemerlang dan Dokumentari Video Cemerlang.

Hadiah bagi setiap kategori ialah RM15,000.00.

Peserta terbaik di kalangan 12 kategori itu akan dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai, yang menawarkan hadiah wang tunai RM30,000.00 dan sekeping siling emas 100 gram. Penganugerahan bagi Tokoh Wartawan Negara, yang juga menawarkan hadiah RM30,000.00 pula diadakan secara berasingan.

Hadiah keseluruhan yang ditawarkan oleh HKM, tajaan PETRONAS bernilai RM300,000.00 setahun.

1. Datuk Chamil (tengah) mempengerusikan mesyuarat Majlis Pentadbir MPI pada 30 Oktober 2012. Turut hadir (kiri): T. Selva, Syed Agil, Sri Diah, William Chan dan Datuk Yong.

2. Kanan: Datuk Mustapa, Choo dan Datuk Ibrahim.