MALAM WARTAWAN MALAYSIA 2020 BAKAL CIPTA SEJARAH

Cyberjaya , 15 Januari  – Sekiranya segalanya berjalan lancar, majlis Malam Wartawan Malaysia 2020 (MWM 2020) yang dijadualkan berlangsung pada 21 April 2020 akan disiarkan secara langsung oleh stesyen TV ALHijrah.

Bagaimanapun penyiaran langsung ini tertakluk kepada keupayaan TV AlHijrah mengusahakan penajaan untuk membiayai kos keseluruhan penyiaran langsung tersebut termasuk kos penghibur.

Keputusan ini dibuat oleh Ahli Majlis Pentadbir pada mesyuaratnya yang berlangsung pada pagi ini selepas mendengar taklimat yang diberikan oleh Tuan Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV AL Hijrah dan pasukannya.

Menurut Encik Namanzee, “pihaknya akan mengusahakan penajaan sebagai mengambil inspirasi tahun 2020 dengan harapan siaran langsung ini dapat memaju bidang kewartawanan ke arah lebih tinggi dan meniup semangat lebih berkarya dalam kalangan pengamal media dengan melihat kepada cabaran yang sedang kini dialami oleh industri media”.

Tambahnya, ia boleh menjadi perintis kepada sebuah program berprestij yang mengiktiraf industri kewartawanan dan menjulang peranan media dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan Negara.  

Seandainya yang dirancang ini berjaya, Malam Wartawan Malaysia 2020 bakal mencipta sejarah penganjurannya buat pertama kalinya akan disiarkan secara terus menerus menerusi kaca televisyen.

Edisi HKM 2019 mempertaruhkan 20 kategori yang meliputi seluruh elemen kewartawanan diiktiraf menerusi karya-karya kewartawanan terbaik sepanjang tahun 2019. Hadiah para pemenang ditaja oleh PETRONAS yang akan disampaikan pada Malam Wartawan Malaysia 2020.

MPI telah mengundang YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir ke majlis Malam Wartawan Malaysia 2020. Untuk rekod, Malam Wartawan Malaysia dianjurkan oleh MPI bagi menyampaikan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) yang diperkenalkan sejak 1980.

Rakaman gambar-gambar:

Dari kiri: Puan Ida, Tuan Norazimah Tuan Mohamed (Pengurus Penjenamaan); Puan Diana Dominic (SJA); Encik Mohd Azri Atan (TV3), Datuk Dr. Chamil Wariya, Tuan Namanzee Harris (Ketua Pegawai Eksekutif TV ALHijrah), Encik Azizi Othman (NSTP), Encik Choo Joon Kian (Sin Chew Media), Encik Syed Azwan (Penerbit & Editor Berita), Puan Nur Jannah (Pengurus Pembangunan & Perolehan Kandungan), Puan Wan Umul Hani (Eksekutif Perolehan Kandungan) dan Puan Ainur Mardhiah (Ketua Jabatan Penjadualan Media).

Tiada dalam gambar : Encik Foo Tick Fat (Nanyang Siang Pau), Encik Brian Martin (STAR) dan Encik Shazri (Eksekutif Kanan Pengurusan Acara & Penonton)