ANUGERAH
Malam Wartawan Malaysia 2020 patuhi SOP Covid-19

Malam Wartawan Malaysia 2020 patuhi SOP Covid-19

Ucapan alu-aluan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute, Datuk Dr. Chamil Wariya pada Majlis Meraikan Para Penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2020 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada jam 12 tengah hari, 13 Ogos 2020

Pembuka bicara

Pertama-tama, saya ingin menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinnya jua majlis penyerahan sumbangan bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2020 (MWM 2020) pada hari ini dapat kita adakan.

Pada kesempatan awal ini juga saya ingin mengalu-alukan kehadiran 60 orang tetamu, mewakili 33 organisasi korporat yang sudi menghulurkan penajaan masing-masing, sama ada dalam bentuk pembelian meja, sumbangan wang tunai, dan sumbangan barangan bagi dijadikan ole-ole untuk di bawa pulang oleh para tamu MWM 2020 yang akan dilangsungkan pada 11 September 2020 iaitu tidak sampai sebulan dari sekarang.

Mangsa Covid-19

Majlis hari ini dan juga MWM2020 pada asalnya sepatutnya dianjurkan pada bulan April lalu di Hotel Istana di Kuala Lumpur. Tetapi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksanya ditunda. Boleh dikatakan semua kegiatan lain MPI, terutama latihan-latihan yang telah kita atur, sama ada terpaksa kita tangguhkan atau kita batalkan.

Alhamdulilah berikutan perlaksanaan PKPP – Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan – pada 10 Jun lalu, majlis ini dan MWM 2020 kini dapat dilaksanakan, bukan di Hotel Istana, tetapi di Hotel Majestic. Hal ini kerana Hotel Istana memaklumkan bahawa hotel tersebut menyertai skim stesen kuarantin untuk warga Malaysia yang pulang ke tanah air bermula 1 Ogos lalu kalau-kalau selepas 14 hari mereka positif Covid-19.

Oleh kerana MPI mengutamakan kepentingan kesihatan anda, maka kami segera membuat keputusan untuk memindahkan majlis ini dan MWM 2020 ke sebuah hotel yang bukan stesen kuarantin. Inilah situasi yang telah membawa kita berada di Hotel Majestic pada hari ini. Saya mohon maaf sekiranya perubahan tempat pada saat-saat akhir menimbulkan kesukaran kepada pihak tuan-tuan dan puan-puan.

Tetapi tentulah dalam melaksanakan MWM 2020 kami mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia sepenuhnya.

Seperti yang dapat tuan-tuan dan puan-puan saksikan, susunan meja hari ini kita jarakkan satu meter antara satu meja dengan meja yang lain. Satu meja yang biasanya boleh menempatkan 10 orang tetamu, kali ini hanya boleh menempatkan 5 orang sahaja sebagai mematuhi penjarakan sosial satu meter.

Bayangkan pada Malam Wartawan Malaysia 2020 nanti, dewan besar di Hotel Majestic, di mana majlis akan berlangsung, kita hanya boleh menempatkan paling banyak 64 meja sahaja pada jarak satu meter. Jumlah tetamu pula adalah seramai 320 orang sahaja.

Pada hal dalam keadaan normal, ballroom ini boleh menempatkan 120 meja dengan 1,200 orang tetamu.

Tapi jangan risau, bagi setiap pembeli meja, anda tetap diperuntukkan satu meja, tetapi kehadiran tetamu terpaksalah dikurangkan kepada 5 orang sahaja. Kami menghargai pemahaman anda mengenai situasi ini dan insya-Allah, setelah vaksin Covid-19 ini ditemui, tahun hadapan, kita boleh kembali kepada asal.

Selagi vaksin untuk merawat Novel Coronavirus atau Covid-19 tidak ditemui, inilah cara baharu kehidupan kita sewaktu menganjurkan majlis-majlis sosial seperti MWM 2020.

Bukan sahaja kita kena mematuhi jarak sosial satu meter, kita juga diwajibkan untuk memakai pelitup muka ketika berada di kawasan sesak dan tertutup – crowded and confined space dan juga mengimbas suhu badan setiap kali kita masuk ke dewan ini.

MPI ada menyediakan pelitup muka ini untuk kegunaan anda hari ini dan juga pada 11 September nanti.

Terima kasih kerana menyumbang

Kadang-kadang saya berasa tebal muka juga kerana setiap awal tahun saya akan menulis surat kepada syarikat-syarikat korporat, jabatan dan kementerian kerajaan memohon sumbangan untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia. Tahun ini juga tidak terkecuali.

Saya bersyukur kerana tahun ini, sebanyak 27 badan korporat dan agensi kementerian sudi tampil menghulurkan sumbangan ikhlas masing-masing untuk MPI melaksanakan MWM 2020.

Senarai penaja korporat akan diumumkan sebentar lagi sewaktu majlis penyerahan cek sumbangan diadakan.

Saya boleh katakan bahawa ada antara badan korporat yang hadir hari ini telah menaja menjayakan Malam Wartawan Malaysia sejak ia pertama kali diadakan secara berterusan pada tahun 1981.

Saya ingin laporkan bahawa bagi MWM 2020 jumlah keseluruhan sumbangan yang kita terima adalah sebanyak RM335,000 bagi tujuan pembelian meja. Dibandingkan dengan tahun 2019, kuantum tersebut merosot sedikit. Tahun lalu, sumbangan yang kami terima bernilai RM423,500 mewakili 42 organisasi iaitu kurangan sebanyak RM88,500.00

Tetapi kita tetap bersyukur kerana sebagai sebuah yayasan yang tidak bermotifkan keuntungan, apa juga jumlah yang kita terima, kita akan belanjakan untuk tujuan penganjuran MWM 2020 dengan cara yang berhemah.

Jumlah RM335,000.00 itu tidak termasuk penajaan oleh PETRONAS untuk Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2019 sebanyak RM300,000 yang akan kita sampaikan kepada para pemenang HKM MPI PETRONAS pada MWM 2020 nanti.

PETRONAS adalah penaja HKM bermula 1994. Ertinya kerjasama MPI-PETRONAS ini telah terjalin sejak 26 tahun yang lalu. Kami di MPI berharap penajaan oleh PETRONAS itu boleh disambung selepas perjanjian penajaan HKM ini berakhir tahun ini. Mungkin dengan kuantum yang lebih besar.

HKM MPI PETRONAS 2020

Seperti yang kita sedia maklum, MWM 2020 ini kita adakan dengan tujuan utama untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2019. Untuk makluman HKM pertama kali kita perkenalkan pada tahun 1980 dan hadiah kepada para pemenang telah disampaikan pada September 1981.

Saya ingin melaporkan bahawa penyertaan yang kita terima bagi tahun dipertandingkan sejak tarikh penyertaan ditutup pada 14 Januari 2020, adalah sebanyak 306 penyertaan bagi 20 kategori ditawarkan. Mereka telah menghantar sejumlah 522 karya untuk dihakimi.

Angka ini meningkat sebanyak 38 penyertaan berbanding HKM 2018 di mana kita menerima 268 penyertaan.

Tahun ini menampilkan kategori baru iaitu Kewartawanan Multimedia Terbaik, menggantikan kategori Laporan Portal Berita Terbaik yang mula diperkenalkan pada HKM 2015.

Kategori yang menerima penyertaan tertinggi adalah kategori Kewartawanan Foto Cemerlang iaitu sebanyak 50 penyertaan. Manakala yang terendah adalah kategori Kartun Editorial Terbaik dengan 4 penyertaan sahaja.

Perkembangan ini membayangkan bahawa minat terhadap HKM – yang berusia 39 tahun itu, kekal membara dalam kalangan wartawan di negara ini. Mungkin ini ada kaitan dengan hakikat bahawa HKM ini menawarkan hadiah wang tunai yang besar untuk di bawa pulang oleh para pemenang iaitu RM10,000 bagi setiap kategori dan RM30,000 jika mereka dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai.

Apa yang menarik adalah penyertaan bukan sahaja terbatas kepada media cetak dan media penyiaran. Media baharu dalam talian, termasuk portal berita seperti Malaysia Gazette, Media Prima Digital, The Mole, mStar, the Malaysia Insight dan Malaysiakini, juga menghantar penyertaan masing-masing.

Saya tidak hairan jika pada tahun-tahun mendatang, HKM MPI PETRONAS akan didominasi oleh media alam maya, berbanding media alam nyata, selari dengan perkembangan teknologi media yang memungkinkan pengguna mengakses media alam maya secara besar-besaran untuk mendapatkan maklumat kewartawanan.

Dari segi jenama, 32 produk media telah menghantar penyertaan masing-masing meliputi cetak, TV, radio, dan portal berita mewakili tiga wilayah Malaysia – Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Saya harap maklumat-maklumat bahawa HKM terus menjadi tarikan membara pengamal media sesuai dengan peredaran masa akan membantu PETRONAS untuk meneruskan penajaan Hadiah Kewartawanan Malaysia pada masa akan datang.

Dan badan-badan korporat pula terus menghulurkan sumbangan untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia anjuran MPI.

Penutup bicara

Sebelum saya berundur diri, sekali lagi saya dengan rendah hati ini menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada anda semua penyumbang yang hadir pada majlis penyerahan penajaan hari ini. Hanya Allah SWT yang dapat membalas budi baik anda dan organisasi korporat yang anda wakili tengah hari ini.

Pisang emas di bawa belayar

Masak sebiji di atas peti

Hutang emas boleh dibayar

Hutang budi di bawa mati

Sekian. Wabillahitaufik walhidayah wasalam.