Malam Wartawan Malaysia 2021 yang dijadual Ogos ditangguh

KENYATAAN MEDIA

Cyberjaya, 16 Jun: Berikutan pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin semalam, penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2021 (MWM 2021) anjuran Malaysian Press Institute (MPI) yang dirancang pada 20 Ogos terpaksa ditangguhkan.

Majlis penyerahan cek dalam kalangan para penaja dan penyumbang MWM 2021 yang dijadual pada 8 Julai juga turut ditunda kepada satu tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.

Keputusan penangguhkan kedua-dua majlis tersebut diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya hari ini setelah berbincang dengan Ahli Majlis Pentadbir MPI.

Menurut Chamil, keputusan berat itu terpaksa diambil kerana semasa fasa kedua PPN selama dua bulan pada Julai dan Ogos 2021, kerajaan masih menutup sektor sosial yang melarang penganjuran pelbagai kegiatan sosial yang membabitkan kehadiran ramai seperti penganjuran MWM 2021.

Beliau memberitahu, tarikh-tarikh baharu bagi penganjuran majlis penyerahan cek para penyumbang MWM 2021 dan MWM akan diputuskan dalam waktu terdekat setelah Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan butiran terperinci mengenai penganjuran pelbagai kegiatan sosial yang dibenarkan selepas fasa 2 PPN berakhir pada Ogos 2021.

Chamil berkata, MPI akur dengan keputusan kerajaan demi memastikan bahawa jangkitan wabak Covid-19 yang masih mengganas sekarang dapat dikawal dan rantaiannya berupaya diputuskan akhirnya.

“Kami berharap MWM 2021 bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2020 (HKM 2020) tajaan Petronas akan dapat diadakan pada fasa 3 PPN selepas bulan September 2021 apabila kerajaan dijangka mula membenarkan penganjuran sosial,” kata Chamil dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berharap pelbagai pihak yang tidak sabar dengan penganjuran MWM 2021 dapat bersabar kerana MPI percaya majlis tersebut akan dapat diadakan sebelum tahun ini berakhir kerana berdasarkan unjuran kerajaan sendiri, jangkitan wabak Covid-19 akan berupaya dikawal secara berperingkat-peringkat mengikut PPN.

“Saya tahu mereka yang menyertai HKM 2020, tidak sabar untuk mengetahui keputusannya dan untuk tahu siapakah antara mereka yang akan membolot hadiah RM300,000 yang ditaja oleh Petronas. Saya minta mereka bertenang kerana majlis itu insya-Allah akan dapat diadakan tahun ini,” kata Chamil.

Beliau juga meminta syarikat-syarikat korporat yang telah menghulurkan sumbangan dan tajaannya bagi menjayakan MWM 2021 bersabar kerana komitment MPI untuk menjayakan MWM sejak ia pertama kali diadakan pada tahun 1981 kekal membara.

Menurut beliau, MPI menghargai sumbangan yang telah dihulurkan oleh badan-badan korporat dan agensi-agensi kerajaan dalam penganjuran MWM 2021.

MPI juga berterima kasih kepada Petronas atas persetujuannya untuk menaja HKM pada kuantum RM300,000 untuk HKM tiga tahun akan datang.

Mengenai program latihan MPI yang dirancang pada Jun dan Julai 2021, Chamil memberitahu kursus-kursus yang dijadualkan tetap akan diadakan kerana ia akan dilangsungkan secara dalam talian sepenuhnya.

Tarikh-tarikh baharu kursus-kursus MPI seperti yang diumumkan sebelum ini adalah kekal seperti berikut:

  1. Kursus Media & Undang-Undang, 23 – 24 Jun
  2. Kursus Digital Public Relations, 12 – 13 Julai
  3. Bengkel Penulisan Media Berkesan, 22 – 23 Julai
  4. Kursus Creative Digital Media (Marketing), 26 – 27 Julai

Keempat-empat kursus tersebut dan kursus-kursus Latihan yang dirancang pada bulan Ogos dan September akan dilaksanakan secara atas talian sepenuhnya secara Google Meet.

Mereka yang berminat untuk mengikuti kursus-kursus tersebut, boleh mengajukan pertanyaan lanjut kepada unit Latihan MPI menerusi emel di trainingmpi2945@gmail.com.

Tarikh dikeluarkan : 16 Jun 2021