Matlamat Serampang Tiga Mata Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015

Ucapan Ketua Pegawai Eksekutif  Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya pada majlis perasmian Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015 di Sky Hotel, Kota Kinabalu, Sabah pada 19 Januari 2015 jam 9 pagi. Perasmian program yang berlangsung selama dua minggu sehingga 31 Januari 2015 itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Pertama-tama saya ingin memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015 ini dapat kita adakan di Kota Kinabalu dan Kundasang, bermula hari ini sehingga 31 Januari 2015.

Kedua, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Naib Canselor UMS atas kesudian beliau untuk melancarkan program ini sebentar lagi.

Selaku seorang tokoh akademik yang mencintai dunia media dan persuratan serta seorang penyair berbakat sebenarnya, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun tentulah mempunyai pandangan dan pemikiran yang bernas untuk diluahkan dan dikongsi dengan para peserta Zamalah yang boleh dianggap masih mentah ini.

Selaku orang luar dunia media, beliau boleh memberi pandangan yang objektif dan tidak memihak yang boleh dijadikan sebagai guiding principles untuk memandu mereka dalam kerjaya mereka.

Terima kasih juga saya panjangkan kepada Datuk Haji Almain Ajrul, Pengarah Jabatan Penerangan Sabah serta kakitangan beliau yang bekerjasama rapat dengan Malaysian Press Institute (MPI) dalam menjayakan Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia kali ini.

Tanpa kerjasama mereka, program ini barang kali tidak mungkin menjadi kenyataan. Terima kasih Datuk Haji Almain. Syukurlah apa yang kita rancang selama beberapa bulan lalu dapat kita realisasikan dengan pembabitan 23 orang wartawan muda – muda dari segi usia dan juga pengalaman – yang mewakili 14 buah organisasi berita dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang akan berzamalah selama dua minggu.

Kepada mereka iaitu sembilan orang dari Sabah, 8 dari Sarawak dan 6 dari Semenanjung saya ucapkan tahniah kerana terpilih untuk menyertai program ini. Saya juga berterima kasih kepada bos-bos 14 organisasi media berkenaan kerana melepaskan para wartawan masing-masing untuk mengikuti program ini.

Senarai penuh nama mereka serta organisasi yang mereka wakili tercatat dalam buku program yang kita edarkan.

Saya percaya 23 orang wartawan yang telah dipilih oleh organiasasi masing-masing untuk menyertai program ini, tidak akan mensia-siakan atau mengkhianati peluang keemasan yang telah diberikan oleh ketua masing-masing. Atau menganggap 14 hari berada di Kota  Kinabalu ini dan Kundasang nanti sebagai cuti bergaji.

Sebaliknya, berilah komitmen dan tumpuan yang sewajar kepada apa yang mahu disampaikan oleh 13 orang penceramah yang ditampilkan sepanjang tempoh dua minggu ini. Kalau boleh saya mahu anda menjadi para peserta terbaik Zamalah Wartawan Muda yang sudah berusia lima tahun ini.

Penceramah yang akan membimbing anda bukan sembarangan. Mereka merupakan barisan penceramah yang berwibawa dan berethos tinggi. Mereka terdiri daripada kalangan para wartawan veteran yang mempunyai puluhan tahun pengalaman seperti Datuk Mustapa Omar, James Sardar, T. Selva dan lain-lain selain pernah merangkul pelbagai hadiah kewartawanan dalam dan luar negara.

Penceramah-penceramah lain pula merupakan pakar akademik berpengalaman yang mengajar bidang kewartawanan seperti Profesor Dr. Azizah Hamzah dari Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Hamdan Adnan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta ahli akademik yang pernah menjadi wartawan seperti Profesor Dr. Mus Chairil Samani dan Dr. Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Barangkali ada antara anak murid mereka yang ikut serta dalam program ini.

Selain itu, kita juga menampilkan dua orang profesor undang-undang iaitu Profesor Salleh Buang, profesor pelawat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Profesor Dr. Shamrahayu Abdul Aziz dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk memberi pencerahan kepada anda tentang undang-undang yang relevan dalam tugasan anda sebagai seorang wartawan.

Dan juga untuk membantu anda memahami secara mendalam bagaimana tiga cabang kuasa negara iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari berfungsi, berinteraksi atau malah berkonfrontasi untuk memainkan peranan sebagai penyemak dan pengimbang – checks and balances.

Justeru untuk tujuan itu, anda akan berpeluang untuk berdialog dengan ketua cabang kuasa eksekutif Sabah iaitu Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Panglima Musa Aman sendiri pada Isnin depan; anda juga akan bertemu dengan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Tun Said iaitu cabang legislatif, dan juga bersemuka dengan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang bertanggungjawab menegakkan rule of law atau keluhuran undang-undang.

Ketiga-tiga tokoh sudahpun mengesahkan kesediaan mereka untuk bersemuka dengan anda, selain menjamu anda untuk makan tengahari – satu penghormatan yang patut kita semua sanjung dan hargai.

Gunakanlah kesempatan untuk bertemu Ketua Menteri Sabah di kediaman rasminya, Speaker Dewan Undangan Negeri di Dewan Negeri Sabah sertaPesuruhjaya Polis Negeri Sabah di Kontinjen PDRM Negeri Sabah untuk bertanya sebanyak mungkin soalan.

Inilah kesempatan untuk anda menguji kemahiran dan keberanian bertanya yang akan diajar oleh T.Selva (esok dan lusa) dengan mengajukan pertanyaan-pertanyaan yang menggigit, dengan matlamat untuk mendapat sebanyak mungkin maklumat bagi diguna untuk menghasilkan karya yang berkualiti.

Memahami undang-undang yang secara langsung atau tidak langsung membabitkan kita sebagai wartawan adalah penting kerana sebagai wartawan kita tidak berada di atas undang-undang. Bak kata Mat Salleh, nobody is above the law. Jika berlaku pelanggaran undang-undang, anda dan organisasi anda mungkin disaman fitnah; atau didakwa di bawah Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan dan sebagainya.

Percayalah selama 14 hari bersama program yang kita adakan setahun sekali ini, para pengamal media muda akan berupaya merealisasikan tiga matlamat Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia iaitu pertama, menimba pengalaman baharu berkait selok belok kemahiran kewartawanan. Kedua, mereka juga akan beroleh pengetahuan baharu tentang isu-isu kenegaraan, undang-undang dan media serta kaitan kedua-dua elemen secara langsung atau tidak langsung dengan kerjaya pilihan mereka dan organisasi media yang mereka anggotai.

Lebih daripada itu, kita mengharapkan selepas para peserta bersahabat selama dua minggu akan terjalin hubungan yang akrab dalam kalangan mereka iaitu matlamat ketiga dalam bentuk yang tersirat Zamalah iaitu memupuk dan membina semangat setiakawan atau fellowship.

Berdasarkan empat Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia yang kita adakan sebelum ini iaitu yang pertama di Kuala Lumpur pada 2011; diikuti oleh yang kedua di Kuching pada 2012 dan seterusnya di Kuala Lumpur pada 2013 dan 2014 dan tahun 2015 yang kita adakan di Kota Kinabalu, juga berupaya mencapai matlamat tersirat Zamalah untuk memupuk semangat setiakawan yang tinggi dalam kalangan mereka. Inilah doa kita semua. Amin.

Selamat berzamalah.