Memahami fungsi tiga cabang kuasa negara penting untuk wartawan
Ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya pada majlis perasmian Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia di Kuching, Sarawak pada 13 Februari 2012. Program yang berakhir pada 25 Februari itu telah dirasmikan oleh Menteri Muda Perindustrian merangkap Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Sarawak, Haji Juhaili Narawi, mewakili Menteri Tugas-tugas di pejabat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Adnan Satem.
Program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia ini adalah program kedua MPI yang kita diperkenalkan dengan tiga tujuan utama – pertama, untuk meningkatkan pengetahuan kenegaraan di kalangan wartawan yang baru menceburi dunia kewartawanan; kedua untuk mempertajamkan kemahiran kewartawanan mereka yang baru berjinak-jinak dengan bidang penulisan dan pelaporan dan ketiga untuk memupuk semangat setiakawan yang berpanjangan di kalangan para peserta.
Atas sebab itu penyertaan dalam program sulung anjuran MPI ini dihadkan kepada wartawan yang boleh dianggap masih mentah dalam kerjaya yang dianggap mencabar ini.
Sekiranya mereka mengambil sikap yang positif dan terbuka terhadap apa yang akan diajar sepanjang empat minggu mengikuti program ini, sesungguhnya banyak yang dapat mereka pelajari. Pemahaman mereka tentang bagaimana tiga cabang kuasa negara – legislatif, eksekutif dan judisiari – berfungsi akan menjadi lebih jelas kepada mereka.
Dengan pemahaman itu, mereka akan dapat menghasilkan laporan dan tulisan yang baik dan berwibawa untuk diketengahkan kepada audien masing-masing apabila mereka menulis atau melapor tentang pelbagai aspek tentang Malaysia, baik politik, ekonomi, sosial dan sejarahnya. Proses itu akan membantu rakyat negara ini menjadi lebih informed atau cerdik.
Selain mantap ilmu kenegaraan, seorang wartawan juga mestilah tajam dalam kemahiran kewartawannya. Kemahiran asas kewartawanan ini iaitu penulisan sebenarnya boleh dipelajari Bak kata bekas pengarang eksekutif Washington Post, Ben Bradlee dalam memoirnya: “Writing is an acquired skill. I wrote for almost 15 years before I felt reasonably sure of turning in coherent, well written story.”
Atas kesedaran itu, maka sepanjang empat minggu dalam program ini, para peserta akan diberi peluang untuk berkongsi pengalaman dengan generasi wartawan yang sudah menempah nama dan berjaya dalam kerjaya yang mereka ceburi. Nama-nama besar yang akan berkongsi pengalaman secara langsung dengan anda kali ini termasuklah: Zainon Ahmad, editor eksekutif akhbar theSun, bloger tersohor, Datuk Ahirudin Atan pengendali blog Rocky’s Bru dan portal berita the Mole; pemangku pengarah berita dan ehwal semasa RTM, Haji Abdul Muis Shafii, ketua pengarang berita the Star, T. Selva.
Tiga orang ahli akademik yang juga kolumnis dengan akhbar-akhbar nasional turut menyerikan program ini. Mereka ialah Dr. Jeniri Amir, pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak yang pernah menjadi ketua editor Utusan Sarawak; Profesor Madya Dr. Shamrahayu Aziz dari Universiti Islam Antarabangsa dan Profesor Salleh Buang dari Universiti Teknologi Malaysia.
Hari ini, anda sebagai peserta zamalah mungkin dianggap masih berhingus sebagai wartawan. Tetapi 10 atau 15 tahun mendatang, tidak mustahil ada antara mereka yang akan menduduki kerusi berkuasa sebagai pemimpin redaksi atau ketua pengarang. Atau setidak-tidaknya menjadi pengarang berita atau pengarang-pengarang meja.
Waktu itu saya percaya ada antara anda yang akan diiktiraf menjadi wartawan terbilang bergelar Tokoh Wartawan Negara – status yang sehingga waktu ini menjadi milik lapan orang.
Jadi pesan saya kepada mereka yang bertuah mengikuti Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia ini, gunakanlah peluang dan kesempatan ini untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengetahuan berkait kenegaraan dan kemahiran kewartawanan.
Koreklah sebanyak mungkin rahsia untuk berjaya dan bertahanan dalam dunia kewartawanan daripada tokoh besar seperti Datuk Aziz Ishak, Datuk Zainul Ariffin dan lain-lain sewaktu mereka berceramah nanti. Ingat: alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan; dan apabila menggenggam bara api biar sampai arang.
Selamat berzamalah.
Dato’ Chamil Wariya